Kejadian 32:1-32
32 Yakub meneruskan perjalanannya, dan malaikat-malaikat Tuhan datang berjumpa dengannya.
2 Sebaik sahaja Yakub nampak mereka, dia berkata, “Inilah perkhemahan Tuhan!” Maka dia menamakan tempat itu Mahanaim.*
3 Kemudian, Yakub menyuruh utusan-utusannya berjalan mendahuluinya ke Seir+ di kawasan Edom untuk berjumpa dengan abangnya Esau.+
4 Yakub berkata kepada mereka, “Beritahulah tuanku Esau, ‘Demikianlah pesanan daripada hambamu Yakub: “Sudah lama aku tinggal* bersama Laban. Selama ini,+
5 aku telah mendapat lembu jantan, keldai, biri-biri, hamba lelaki, dan hamba perempuan.+ Sekarang aku mengirim utusan untuk memberitahukan hal ini kepada tuan agar aku dapat menyenangkan hati tuan.”’”
6 Apabila utusan-utusan itu kembali, mereka berkata kepada Yakub, “Kami sudah berjumpa dengan Esau, abang tuan. Sekarang dia dalam perjalanan ke sini untuk berjumpa dengan tuan, dan ada 400 orang yang datang bersamanya.”+
7 Yakub sangat takut dan risau.+ Kemudian dia membahagikan orang yang ada bersama dengannya menjadi dua kumpulan. Demikian juga yang dilakukannya dengan biri-biri, kambing, lembu, dan untanya.
8 Dia berfikir, “Jika Esau menyerang satu kumpulan, kumpulan yang kedua masih dapat melarikan diri.”
9 Kemudian Yakub berdoa, “Ya Yehuwa, Tuhan kepada datukku Abraham dan bapaku Ishak. Engkau telah berfirman kepadaku, ‘Pulanglah ke negerimu dan kepada sanak saudaramu. Aku akan memberkatimu.’+
10 Aku tidak layak menerima kesetiaan dan kebaikan hati,* yang telah Engkau tunjukkan kepada hamba-Mu ini.+ Semasa aku menyeberangi Sungai Yordan, aku hanya memegang sebatang tongkat, tetapi kini aku sudah kembali bersama dua kumpulan ini.+
11 Aku mohon, selamatkanlah aku+ daripada abangku Esau. Aku takut dia akan datang dan menyerang kami semua,+ termasuk anak-anak dan ibu-ibu.
12 Engkau sudah berjanji, ‘Aku pasti memberkatimu, dan Aku akan memberimu banyak keturunan. Bilangan mereka akan menjadi banyak seperti pasir di pantai yang tidak dapat dihitung.’”+
13 Setelah bermalam di situ, Yakub mengambil sebilangan daripada ternakannya untuk dihadiahkan kepada abangnya Esau.+ Hadiah itu ialah
14 200 ekor kambing betina, 20 ekor kambing jantan, 200 ekor biri-biri betina, 20 ekor biri-biri jantan,
15 30 ekor unta yang sedang menyusui anak unta, 40 ekor lembu betina, 10 ekor lembu jantan, 20 ekor keldai betina, dan 10 ekor keldai jantan dewasa.+
16 Yakub membahagikan ternakannya kepada beberapa kawanan lalu menyerahkan semua binatang itu kepada hamba-hambanya. Dia berkata, “Seberangilah sungai itu, dan berjalanlah mendahului aku. Pastikan ada jarak di antara satu kawanan dengan kawanan yang seterusnya.”
17 Dia juga memberikan perintah berikut kepada hamba-hamba yang menjaga kawanan pertama: “Jika abangku Esau bertemu dengan kamu dan bertanya, ‘Siapakah tuan kamu? Ke manakah kamu semua hendak pergi? Siapakah pemilik semua binatang yang ada di depanmu itu?’
18 kamu harus jawab, ‘Semua ini milik hambamu Yakub. Dia mengirim semua ini sebagai hadiah kepada tuan Esau,+ dan dia sedang mengikut kami dari belakang.’”
19 Yakub juga memberikan perintah yang sama kepada hamba-hamba yang menjaga kawanan kedua dan kawanan ketiga serta semua orang yang berjalan mengikut kawanan-kawanan itu. Yakub berkata, “Semasa kamu berjumpa dengan Esau, itulah yang harus kamu katakan kepadanya.
20 Kamu juga harus berkata, ‘Yakub hambamu sedang mengikut kami dari belakang.’” Yakub berbuat demikian kerana dia berfikir, “Jika aku menghantar hadiah-hadiah dahulu untuk menyenangkan hati Esau,+ mungkin dia akan menyambut aku dengan baik semasa aku bertemu dengannya.”
21 Maka hadiah-hadiah Yakub dikirimkan terlebih dahulu, tetapi dia sendiri bermalam di perkhemahan.
22 Kemudian pada malam itu juga, Yakub bangun lalu membawa kedua-dua orang isterinya,+ dua orang hamba perempuannya,+ dan 11 orang anak lelakinya yang masih kecil ke Sungai Yabok.+ Mereka sampai ke kawasan yang cetek lalu menyeberangi sungai itu.
23 Demikianlah caranya Yakub membawa mereka dan segala miliknya ke seberang sungai.*
24 Semasa Yakub seorang diri, ada seorang lelaki* yang datang lalu bergelut dengannya sehingga matahari mula terbit.+
25 Semasa lelaki itu sedar bahawa dia tidak dapat menang, dia menyentuh sendi pinggul Yakub. Maka semasa Yakub bergelut dengannya, sendi pinggulnya terkehel.+
26 Selepas itu, lelaki tersebut berkata, “Lepaskanlah aku, kerana matahari akan terbit.” Tetapi Yakub berkata, “Aku tidak akan melepaskan kamu, selagi kamu tidak memberkatiku.”+
27 “Siapakah namamu?” tanya lelaki itu. “Yakub,” jawabnya.
28 Lelaki itu berkata, “Namamu bukan lagi Yakub. Mulai sekarang kamu akan dipanggil Israel,*+ kerana kamu telah bergelut dengan Tuhan+ dan manusia, dan akhirnya kamu menang.”
29 Yakub bertanya, “Siapakah namamu?” Tetapi lelaki itu menjawab, “Mengapakah kamu mahu mengetahui namaku?”+ Lalu dia memberkati Yakub.
30 Yakub berkata, “Meskipun aku telah bersemuka dengan Tuhan, nyawaku tetap terpelihara.”+ Oleh itu, dia menamakan tempat itu Peniel.*+
31 Semasa Yakub lalu dekat Peniel,* matahari telah terbit. Yakub berjalan tempang kerana pinggulnya tercedera.+
32 Itulah sebabnya sampai hari ini, orang Israel tidak makan urat paha binatang, iaitu urat yang terletak di sendi pinggul binatang, kerana lelaki itu telah menyentuh urat sendi pinggul Yakub.