Kejadian 34:1-31
34 Dina, anak perempuan Yakub yang dilahirkan oleh Lea,+ sering menghabiskan masa bersama gadis-gadis Kanaan.+
2 Apabila Sikhem nampak Dina, dia membawanya pergi dan merogolnya. Sikhem ialah anak Hamor, orang Hewi+ yang menjadi pemimpin di negeri itu.
3 Sikhem sangat tertarik kepada Dina anak Yakub. Dia jatuh cinta dengan gadis itu dan menggunakan kata-kata manis untuk menawan hatinya.
4 Oleh itu, Sikhem berkata kepada Hamor+ bapanya, “Ayah, dapatkanlah gadis ini untuk dijadikan isteri saya.”
5 Yakub mendengar bahawa Sikhem telah mencabuli kehormatan anak perempuannya Dina, tetapi dia tidak mahu memberitahu sesiapa tentang hal itu sebelum anak-anak lelakinya pulang. Pada waktu itu, anak-anak lelakinya sedang menjaga ternakannya di padang.
6 Kemudian Hamor, iaitu bapa Sikhem, pergi kepada Yakub untuk bercakap dengannya.
7 Sebaik sahaja anak-anak lelaki Yakub mendengar tentang hal itu, mereka segera pulang dari padang. Mereka sakit hati dan sangat marah kerana Sikhem telah menghina Israel dengan merogol anak perempuan Yakub.+ Ya, perbuatannya itu tidak patut dilakukan.+
8 Hamor berkata, “Anakku Sikhem sangat menginginkan anak perempuanmu. Berikanlah dia untuk dijadikan isteri anakku.
9 Hendaklah bangsamu dan bangsaku menjalin ikatan perkahwinan.* Kami akan mengahwini gadis-gadismu, dan kamu juga boleh mengahwini gadis-gadis kami.+
10 Kamu boleh tinggal bersama kami di negeri ini, di mana sahaja kamu suka. Kamu boleh berniaga, memiliki harta benda, dan menetap di sini.”
11 Sikhem berkata kepada bapa Dina dan abang-abangnya, “Mintalah apa-apa sahaja, dan aku akan memberikannya, supaya aku dapat menyenangkan hati kamu.
12 Walaupun kamu meminta wang hantaran dan hadiah yang banyak sekali,+ aku akan memberikannya. Aku sudi menunaikan apa sahaja permintaan kamu asalkan gadis itu dapat menjadi isteriku.”
13 Anak-anak lelaki Yakub memberikan jawapan yang licik kepada Sikhem dan bapanya Hamor, kerana Sikhem telah mencabuli kehormatan Dina.
14 Mereka berkata, “Mustahil kami memberikan adik perempuan kami kepada lelaki yang tidak bersunat,+ kerana hal itu memalukan kami.
15 Kami hanya akan setuju jika kamu memenuhi syarat ini: Semua lelaki dalam kalangan kamu harus disunat seperti kami.+
16 Barulah kami akan mengizinkan kamu mengahwini gadis-gadis kami, dan kami juga akan mengahwini gadis-gadis kamu. Kami akan tinggal bersama-sama kamu dan menjadi satu bangsa.
17 Tetapi jika kamu tidak mahu mengikut syarat kami dan tidak mahu disunat, kami akan membawa adik perempuan kami dan pergi dari sini.”
18 Cadangan mereka menyenangkan hati Hamor+ dan anaknya Sikhem.+
19 Pemuda itu segera bertindak untuk memenuhi syarat mereka,+ kerana dia menyukai anak perempuan Yakub. Lagipun, dialah yang paling dihormati dalam rumah tangga bapanya.
20 Hamor dan anaknya Sikhem pergi ke pintu gerbang kota dan berkata kepada penduduk kota itu,+
21 “Mereka ingin hidup damai dengan kita. Biarlah mereka tinggal di sini dan berniaga, kerana negeri kita cukup luas bagi mereka. Kita boleh mengahwini gadis-gadis mereka, dan mereka juga boleh mengahwini gadis-gadis kita.+
22 Tetapi mereka hanya akan tinggal bersama kita dan menjadi sebangsa dengan kita jika kita memenuhi syarat ini: Semua lelaki dalam kalangan kita harus disunat seperti mereka.+
23 Dengan itu, semua kekayaan, ternakan, dan harta milik mereka akan menjadi kepunyaan kita. Marilah kita memenuhi permintaan mereka supaya mereka tinggal bersama kita.”
24 Semua orang yang berkumpul di pintu gerbang bersetuju dengan cadangan Hamor dan anaknya Sikhem, lalu semua lelaki di kota itu disunat.
25 Tetapi pada hari ketiga, semasa mereka masih kesakitan, dua orang anak lelaki Yakub, iaitu abang-abang Dina yang bernama Simeon dan Lewi,+ mengambil pedang masing-masing, lalu memasuki kota itu tanpa menimbulkan kecurigaan penduduk di situ. Kemudian mereka membunuh semua lelaki di situ.+
26 Mereka membunuh Hamor dan Sikhem dengan pedang, kemudian mereka pergi ke rumah Sikhem dan membawa Dina pergi dari situ.
27 Anak-anak lelaki Yakub yang lain datang lalu nampak bahawa semua lelaki di kota itu telah dibunuh. Mereka pun merompak kota itu kerana adik perempuan mereka telah dicabuli.+
28 Mereka merampas kambing, biri-biri, lembu, keldai, dan apa sahaja yang terdapat di kota itu dan di padang.
29 Mereka juga merampas semua harta milik penduduk kota itu dan segala sesuatu yang ada di dalam rumah-rumah mereka serta mengambil wanita dan kanak-kanak sebagai tawanan.
30 Maka Yakub berkata kepada Simeon dan Lewi,+ “Kamu berdua telah banyak menyusahkan aku. Kamu membuat aku menjadi seperti bau busuk kepada orang Kanaan dan orang Feris yang menduduki negeri ini. Mereka pasti akan berkumpul untuk menyerang aku. Orang kita tidak banyak. Aku dan seluruh rumah tanggaku pasti dihapuskan.”
31 Mereka berkata, “Patutkah kami membiarkan adik perempuan kami dilayan seperti pelacur?”
Nota Kaki
^ Atau “Hendaklah bangsamu dan bangsaku kahwin campur.”