Kejadian 35:1-29

  • Yakub membuang patung dewa asing (1-4)

  • Yakub kembali ke Bethel (5-15)

  • Kelahiran Benyamin; kematian Rahel (16-20)

  • 12 orang anak lelaki Israel (21-26)

  • Kematian Ishak (27-29)

35  Tuhan berfirman kepada Yakub, “Berangkatlah dan pergilah ke Bethel.+ Tinggallah di sana dan binalah sebuah mazbah untuk Aku, Tuhan yang benar, yang menampakkan diri kepadamu semasa engkau melarikan diri daripada Esau abangmu.”+  Kemudian Yakub berkata kepada keluarganya dan semua orang yang ada bersamanya, “Buanglah patung-patung dewa asing yang ada pada kamu,+ lalu bersihkanlah diri kamu dan tukarlah pakaian kamu.  Marilah kita berangkat dan pergi ke Bethel. Di situ aku akan membina sebuah mazbah untuk Tuhan yang benar. Dialah yang telah mendengarkan permohonanku sewaktu aku dalam kesusahan, dan Dialah yang menyertaiku ke mana sahaja aku pergi.”+  Oleh itu, mereka memberi Yakub semua patung dewa asing dan anting-anting* yang ada pada mereka. Lalu Yakub menanam semua benda itu di bawah pokok besar dekat kota Sikhem.  Sepanjang perjalanan mereka, Tuhan menyebabkan penduduk kota-kota di sekitar mereka berasa takut. Oleh itu, mereka tidak berani mengejar dan menghalau anak-anak Yakub.  Akhirnya Yakub dan semua orang yang ada bersamanya tiba di Lus,+ iaitu Bethel, di negeri Kanaan.  Di situ, dia membina sebuah mazbah dan memanggil tempat itu El-bethel,* kerana di situlah Tuhan menampakkan diri kepada Yakub semasa dia melarikan diri daripada abangnya.+  Kemudian, Debora,+ iaitu pengasuh Ribka, meninggal lalu dikebumikan di bawah sebatang pokok oak yang berdekatan Bethel. Maka Yakub menamakan pokok itu Alon-bakut.*  Semasa Yakub datang dari Padan-aram, Tuhan menampakkan diri kepadanya sekali lagi dan memberkatinya. 10  Tuhan berfirman kepadanya, “Nama engkau ialah Yakub,+ tetapi engkau tidak akan dipanggil dengan nama itu lagi. Mulai sekarang namamu akan dipanggil Israel.”+ Lalu Tuhan mula memanggilnya Israel. 11  Tuhan juga berfirman kepadanya, “Akulah Tuhan Yang Maha Kuasa.+ Hendaklah engkau mempunyai anak cucu yang banyak. Engkau akan menjadi bapa kepada banyak bangsa,+ dan nenek moyang kepada raja-raja.+ 12  Tanah yang sudah Aku berikan kepada Abraham dan Ishak akan Aku berikan kepadamu dan keturunanmu.”+ 13  Selepas berfirman kepada Yakub di situ, Tuhan pun beredar. 14  Maka Yakub menegakkan sebuah batu menjadi batu peringatan di tempat Tuhan berfirman kepadanya. Dia mencurahkan wain ke atas batu itu sebagai persembahan kepada Tuhan, lalu menuangkan minyak ke atasnya.+ 15  Yakub terus memanggil tempat itu Bethel+ kerana di situlah Tuhan berfirman kepadanya. 16  Kemudian mereka berangkat dari Bethel. Ketika mereka masih agak jauh dari Efrat, Rahel hendak bersalin tetapi dia susah sekali untuk melahirkan anaknya. 17  Apabila kesakitannya memuncak, bidan itu berkata, “Janganlah takut kerana kamu akan mendapat seorang lagi anak lelaki.”+ 18  Apabila Rahel hampir meninggal, iaitu ketika dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia menamakan anaknya Ben-oni,* tetapi bapa anak itu menamakannya Benyamin.*+ 19  Setelah Rahel meninggal, dia dikebumikan di jalan yang menuju ke Efrat, iaitu Betlehem.+ 20  Yakub meletakkan sebuah batu besar untuk menandakan tempat Rahel dikuburkan. Batu itu masih di situ sehingga hari ini. 21  Kemudian Israel berangkat lalu mendirikan khemahnya selepas melalui menara Eder. 22  Pernah sekali, semasa Israel tinggal di tempat itu, Ruben meniduri Bilha, gundik bapanya. Hal itu diketahui oleh Israel.+ Yakub mempunyai 12 orang anak lelaki. 23  Anak-anak lelaki yang dilahirkan oleh Lea ialah Ruben, iaitu anak sulung Yakub,+ diikuti dengan Simeon, Lewi, Yehuda, Isakhar, dan Zebulon. 24  Anak-anak lelaki yang dilahirkan oleh Rahel ialah Yusuf dan Benyamin. 25  Anak-anak lelaki yang dilahirkan oleh Bilha, hamba perempuan Rahel, ialah Dan dan Naftali. 26  Anak-anak lelaki yang dilahirkan oleh Zilpa, hamba perempuan Lea, ialah Gad dan Asyer. Merekalah anak-anak lelaki Yakub yang dilahirkan di Padan-aram. 27  Akhirnya Yakub tiba di tempat tinggal bapanya, Ishak, di Mamre+ yang terletak di Kiryat-arba. Kiryat-arba juga dikenali sebagai Hebron, dan di situlah tempatnya Abraham dan Ishak tinggal sebagai orang asing.+ 28  Ishak hidup selama 180 tahun.+ 29  Ishak menikmati umur yang panjang dan puas hati dengan kehidupannya. Dia menghembuskan nafasnya yang terakhir lalu dikebumikan seperti nenek moyangnya. Dia dikebumikan oleh anak-anaknya, iaitu Esau dan Yakub.+

Nota Kaki

Pada zaman kuno, bangsa-bangsa lain memakai anting-anting sebagai tangkal atau azimat.
Maksudnya “Tuhan Bethel.”
Maksudnya “Pokok Besar Tangisan.”
Maksudnya “Anak Lelaki daripada Kesedihanku.”
Maksudnya “Anak Lelaki Tangan Kanan,” iaitu anak kesayanganku.