Kejadian 39:1-23

  • Yusuf di rumah Potifar (1-6)

  • Yusuf menolak godaan isteri Potifar (7-20)

  • Yusuf dipenjarakan (21-23)

39  Yusuf dibawa oleh orang Ismael+ ke Mesir,+ lalu dijual kepada seorang lelaki Mesir yang bernama Potifar.+ Dia ialah seorang pegawai Firaun yang merupakan ketua pengawal istana. 2  Yehuwa menyertai Yusuf+ sehingga dia berjaya dalam segala pekerjaannya. Dia dilantik untuk mengurus rumah tangga tuannya, orang Mesir itu. 3  Tuannya melihat bahawa Yehuwa menyertai Yusuf, dan Yehuwa memberinya kejayaan dalam segala yang dilakukannya. 4  Yusuf disukai Potifar, dan dilantik menjadi pembantu peribadinya. Potifar melantik Yusuf untuk mengurus seluruh rumah tangganya dan segala kepunyaannya. 5  Sejak Potifar berbuat demikian, Yehuwa sentiasa memberkati rumah tangganya demi Yusuf. Yehuwa memberkati segala yang dimiliki orang Mesir itu, baik yang di rumah, mahupun yang di ladang.+ 6  Akhirnya, Potifar mempercayakan semua yang dimilikinya kepada Yusuf. Dia langsung tidak perlu risau tentang hal-hal yang diurus oleh Yusuf, kecuali soal makanannya. Yusuf ialah seorang yang berbadan tegap dan kacak. 7  Beberapa lama kemudian, isteri Potifar terpikat dengan Yusuf dan berkata, “Tidurlah dengan aku.” 8  Tetapi Yusuf menolak dan berkata, “Tuan Potifar tidak perlu mengawasi apa yang aku lakukan di dalam rumahnya. Dia sudah mempercayakan segala miliknya kepadaku. 9  Di dalam rumah ini, akulah yang paling berkuasa, dan aku diberi kuasa atas segala-galanya kecuali puan, kerana puan isterinya. Jadi bagaimana mungkin aku melakukan perbuatan sejahat ini dan berdosa terhadap Tuhan?”+ 10  Hari demi hari, dia memujuk Yusuf tetapi Yusuf tetap tidak mahu berdua-duaan dengannya ataupun tidur dengannya. 11  Tetapi pada suatu hari, semasa Yusuf masuk ke dalam rumah untuk melakukan pekerjaannya, tiada seorang hamba pun yang berada di situ. 12  Isteri Potifar menarik baju Yusuf dan berkata, “Tidurlah dengan aku!” Yusuf melarikan diri ke luar, tetapi bajunya tertinggal di tangan wanita itu. 13  Sebaik sahaja wanita itu nampak bahawa Yusuf telah melarikan diri dan bajunya tertinggal, 14  dia mula berteriak kepada hamba-hambanya, “Lihat! Orang Ibrani yang dibawa oleh suami aku menghina kita. Dia datang kepada aku untuk merogol aku, tetapi aku menjerit dengan sekuat hati. 15  Sebaik sahaja dia mendengar aku berteriak dengan sekuat hati, dia meninggalkan bajunya di sampingku lalu berlari ke luar.” 16  Isteri Potifar meletakkan baju itu di sampingnya sehingga Potifar, majikan Yusuf, pulang. 17  Isteri Potifar kemudiannya memberitahu suaminya hal yang sama. Dia berkata, “Hamba Ibrani yang kamu bawa itu datang untuk menghina aku. 18  Tetapi sebaik sahaja aku menjerit dengan sekuat hati, dia meninggalkan bajunya di sampingku lalu berlari ke luar.” 19  Ketika majikan Yusuf mendengar isterinya berkata, “Begitulah hambamu memperlakukan aku,” dia menjadi sangat marah. 20  Dia menangkap Yusuf dan memasukkannya ke dalam penjara. Penjara itu merupakan tempat raja mengurung tahanan, dan di situlah Yusuf ditahan.+ 21  Tetapi Yehuwa terus menyertai Yusuf dan menunjukkan kasih setia kepadanya sehingga dia disenangi oleh ketua penjara.+ 22  Ketua penjara itu menugaskan Yusuf untuk mengurus semua tahanan di dalam penjara itu. Yusuf bertanggungjawab atas segala pekerjaan yang dilakukan oleh mereka di dalam penjara.+ 23  Ketua penjara itu langsung tidak risau tentang hal-hal yang dipercayakan kepada Yusuf, kerana Yehuwa menyertai Yusuf dan Yehuwa membuat Yusuf berjaya dalam segala pekerjaannya.+

Nota Kaki