Kejadian 4:1-26

  • Kain dan Habel (1-16)

  • Keturunan Kain (17-24)

  • Set dan anak lelakinya Enos (25, 26)

4  Adam bersetubuh dengan isterinya Hawa, lalu isterinya hamil.+ Apabila Hawa melahirkan Kain,+ dia berkata, “Aku telah melahirkan seorang anak lelaki dengan bantuan Yehuwa.”  Kemudian dia melahirkan Habel, iaitu adik lelaki Kain.+ Habel menjadi gembala, tetapi Kain menjadi petani.  Beberapa waktu kemudian, Kain membawa sebahagian daripada hasil tanamannya untuk dipersembahkan kepada Yehuwa.  Tetapi Habel mempersembahkan beberapa ekor anak bebiri sulung daripada kawanannya,+ termasuklah bahagian yang berlemak. Yehuwa berasa senang hati dengan Habel dan persembahannya,+  tetapi Dia tidak senang hati dengan Kain dan persembahannya. Maka Kain berasa marah dan kecewa.  Kemudian Yehuwa berfirman kepada Kain, “Mengapakah engkau begitu marah dan kecewa?  Jika engkau berubah dan berbuat baik, bukankah Aku akan berasa senang hati dengan engkau? Namun jika engkau tidak berubah dan tidak berbuat baik, dosa sedang menunggu di pintu dan menanti-nantikan peluang untuk menguasai engkau. Tetapi engkau harus berusaha untuk mengalahkannya.”  Kemudian Kain berkata kepada adiknya Habel, “Mari kita pergi ke padang.” Apabila mereka berada di padang, Kain menyerang Habel lalu membunuhnya.+  Setelah itu, Yehuwa berfirman kepada Kain, “Di manakah Habel, adikmu?” Dia menjawab, “Aku tidak tahu. Aku bukan penjaganya.” 10  Maka Tuhan berfirman kepadanya, “Apakah yang sudah engkau lakukan? Dengarlah! Darah adikmu berseru kepada-Ku dari tanah seperti suara yang berseru meminta keadilan.+ 11  Engkau telah menumpahkan darah adikmu, dan tanah sudah membuka mulutnya untuk menerima darah adikmu. Oleh itu, engkau akan dikutuk dan diusir dari sini.+ 12  Jika engkau bercucuk tanam, tanah tidak akan memberikan banyak hasil. Engkau akan menjadi pelarian yang merayau-rayau di bumi.” 13  Kemudian Kain berkata kepada Yehuwa, “Hukuman itu terlalu berat bagiku. Aku tidak dapat menanggungnya. 14  Engkau mengusir aku dari sini dan dari hadapan-Mu pada hari ini. Aku akan menjadi pelarian yang merayau-rayau di bumi, dan aku akan dibunuh oleh sesiapa sahaja yang menjumpai aku.” 15  Maka Yehuwa berfirman kepada Kain, “Atas sebab itu, sesiapa yang membunuh engkau akan ditimpa balasan sebanyak tujuh kali.” Kemudian Yehuwa menetapkan suatu tanda untuk Kain supaya sesiapa sahaja yang menjumpainya tidak membunuhnya. 16  Kemudian Kain pergi dari hadapan Yehuwa dan menetap di tanah Pembuangan,* di sebelah timur Eden.+ 17  Kain bersetubuh dengan isterinya,+ dan isterinya hamil lalu melahirkan Henokh. Kemudian Kain mula membina sebuah kota, dan menamakan kota itu menurut nama anak lelakinya, Henokh. 18  Henokh kemudiannya mendapat seorang anak lelaki yang bernama Irad. Irad ialah bapa Mehuyael, Mehuyael ialah bapa Metusael, dan Metusael ialah bapa Lamekh. 19  Lamekh mempunyai dua orang isteri. Yang pertama bernama Adah dan yang kedua bernama Zilah. 20  Adah melahirkan Yabal. Yabal ialah orang pertama yang tinggal di dalam khemah dan memelihara ternakan. 21  Adiknya bernama Yubal. Yubal ialah orang pertama yang memainkan kecapi dan seruling. 22  Zilah melahirkan Tubal-kain, pembuat segala macam alat tembaga dan besi. Kakak* Tubal-kain bernama Naama. 23  Lamekh menggubah puisi berikut untuk Adah dan Zilah, iaitu isteri-isterinya: “Dengarlah suaraku, hai isteri-isteriku;Dengarlah kata-kataku: Seorang lelaki telah kubunuh kerana dia melukai aku,Ya, seorang pemuda telah kubunuh kerana dia memukul aku. 24  Jika orang yang membunuh Kain harus ditimpa balasan sebanyak 7 kali,+Orang yang membunuhku harus ditimpa balasan sebanyak 77 kali.” 25  Adam bersetubuh lagi dengan isterinya. Maka isterinya melahirkan seorang anak lelaki dan menamakannya Set.*+ Dia berkata, “Tuhan telah memberi aku seorang anak* untuk menggantikan Habel yang dibunuh oleh Kain.”+ 26  Set pun mendapat seorang anak lelaki dan menamakannya Enos.+ Pada waktu itulah orang mula menyeru nama Yehuwa.*

Nota Kaki

Atau “tanah Nod.”
Atau mungkin, “Adik perempuan.” Perkataan Ibrani yang digunakan boleh merujuk kepada adik perempuan atau kakak.
Maksudnya “Dilantik; Diletakkan; Ditetapkan.”
Atau “keturunan.”
Atau “orang mula menghina nama Yehuwa.”