Kejadian 42:1-38

  • Abang-abang Yusuf pergi ke Mesir (1-4)

  • Yusuf berjumpa dengan abang-abangnya dan menguji mereka (5-25)

  • Abang-abang Yusuf kembali kepada Yakub (26-38)

42  Semasa Yakub mendengar bahawa terdapat biji-bijian di Mesir,+ dia berkata kepada anak-anak lelakinya, “Mengapakah kamu hanya memandang satu sama lain dan tidak melakukan apa-apa?”  Dia menambah, “Ayah dengar di Mesir ada biji-bijian. Pergilah ke sana dan belilah makanan untuk kita supaya kita tidak mati kebuluran.”+  Jadi 10 orang abang Yusuf+ pergi ke Mesir untuk membeli biji-bijian.  Yakub tidak mengizinkan Benyamin,+ iaitu adik kandung Yusuf, pergi bersama abang-abangnya. Yakub risau Benyamin akan terbunuh jika sesuatu yang buruk menimpanya dalam perjalanan.+  Maka, anak-anak lelaki Israel pergi ke Mesir bersama dengan orang lain untuk membeli makanan, kerana negeri Kanaan juga dilanda kebuluran.+  Yusuf berkuasa atas negeri Mesir,+ dan dialah yang menjual biji-bijian kepada semua orang di bumi.+ Maka abang-abang Yusuf datang dan sujud di hadapannya.+  Sebaik sahaja Yusuf nampak abang-abangnya, dia mengenal mereka, tetapi dia berkelakuan seperti orang asing di hadapan mereka.+ Dengan kasar, dia bertanya kepada mereka, “Kamu dari mana?” Mereka menjawab, “Kami dari negeri Kanaan. Kami datang untuk membeli makanan.”+  Meskipun Yusuf mengenal abang-abangnya, mereka tidak mengenal dia.  Yusuf serta-merta teringat akan mimpi-mimpinya tentang mereka.+ Kemudian dia berkata, “Kamu ini pengintip! Kamu datang untuk menyiasat kelemahan negeri kami!” 10  Mereka menjawab, “Tidak, tuan. Kami hamba-hamba tuan. Kami datang hanya untuk membeli makanan. 11  Kami semua mempunyai bapa yang sama, dan kami orang baik, bukannya pengintip.” 12  Yusuf berkata kepada mereka, “Tidak! Kamu datang ke sini untuk menyiasat kelemahan negeri ini!” 13  Mereka menjawab, “Tuan, bapa kami tinggal di negeri Kanaan dan dia mempunyai 12 orang anak lelaki.+ Yang bongsu ada bersama dengan bapa kami+ dan yang seorang lagi sudah tiada.”+ 14  Namun Yusuf berkata kepada mereka, “Memang benar kataku. Kamu ini pengintip! 15  Aku mahu menguji kamu. Aku bersumpah demi nama Firaun bahawa kamu tidak akan meninggalkan tempat ini kecuali adik kamu yang bongsu itu datang ke sini.+ 16  Seorang daripada kamu harus pulang untuk membawanya ke mari. Sementara itu, kamu yang lain akan ditahan sampai kata-kata kamu itu terbukti benar. Jika tidak, demi nama Firaun, memang benar bahawa kamu ini pengintip!” 17  Kemudian, Yusuf memasukkan mereka ke dalam penjara selama tiga hari. 18  Pada hari ketiga, Yusuf berkata kepada mereka, “Aku takut akan Tuhan. Jadi, buatlah apa yang aku suruh supaya kamu terus hidup. 19  Jika kamu memang bercakap benar, biarlah salah seorang daripada kamu ditahan di dalam penjara. Yang lain boleh membawa pulang biji-bijian untuk keluarga kamu yang menderita kebuluran.+ 20  Selepas itu, bawalah adik kamu yang bongsu kepadaku supaya kata-kata kamu terbukti benar dan kamu tidak akan dihukum mati.” Mereka pun bersetuju untuk berbuat demikian. 21  Kemudian mereka berkata kepada satu sama lain, “Kita dihukum kerana kesalahan kita terhadap adik kita.+ Sewaktu dia menderita, dia merayu agar kita berbelas kasihan terhadapnya, tetapi kita tidak mempedulikannya. Itulah sebabnya kita mengalami penderitaan ini.” 22  Ruben berkata, “Bukankah aku telah berkata, ‘Jangan cederakan anak itu’? Tetapi kamu tidak mahu dengar.+ Sekarang kita harus bertanggungjawab kerana kita telah menumpahkan darahnya.”+ 23  Tetapi mereka tidak tahu bahawa Yusuf memahami kata-kata mereka, kerana selama itu mereka bercakap kepada Yusuf melalui seorang jurubahasa. 24  Yusuf meninggalkan mereka dan mula menangis.+ Kemudian dia kembali untuk bercakap kepada mereka, lalu memilih Simeon+ dan mengikatnya di hadapan mereka semua.+ 25  Yusuf memerintahkan supaya guni-guni mereka diisi dengan biji-bijian, dan wang mereka dipulangkan lalu dimasukkan ke dalam guni masing-masing. Yusuf juga memerintahkan supaya mereka diberi bekalan makanan untuk perjalanan. Perintahnya itu dituruti. 26  Maka mereka memuatkan biji-bijian itu ke atas keldai mereka lalu beredar. 27  Semasa di tempat penginapan, salah seorang daripada mereka membuka guninya untuk memberikan makanan kepada keldainya. Ketika dia menjumpai wangnya di dalam guni, 28  dia berseru kepada saudara-saudaranya, “Wang saya sudah dikembalikan, dan sekarang wang itu ada di dalam guniku!” Mereka terus hilang semangat dan menjadi takut, lalu berkata kepada satu sama lain, “Apakah yang dilakukan oleh Tuhan terhadap kita?” 29  Apabila mereka sampai di Kanaan, iaitu tempat tinggal bapa mereka Yakub, mereka menceritakan segala yang berlaku. Mereka berkata, 30  “Lelaki yang berkuasa atas negeri itu bercakap dengan kasar kepada kami+ dan menuduh kami mengintip negerinya. 31  Tetapi kami menjawab, ‘Kami orang baik, bukannya pengintip.+ 32  Bapa kami mempunyai 12 orang anak lelaki.+ Yang bongsu ada bersama dengan bapa kami di Kanaan,+ dan yang seorang lagi sudah tiada.’+ 33  Penguasa negeri itu berkata, ‘Jika kamu memang orang yang baik, lakukanlah hal ini: Salah seorang daripada kamu harus tinggal di sini.+ Yang lain boleh membawa pulang makanan untuk keluarga kamu yang menderita kebuluran.+ 34  Selepas itu, bawalah adik kamu yang bongsu kepadaku. Dengan demikian, aku akan tahu bahawa kamu bukan pengintip tetapi orang yang baik. Barulah aku akan kembalikan saudaramu yang aku tahan itu dan mengizinkan kamu berdagang di negeri ini.’” 35  Semasa mereka mengosongkan guni, mereka mendapati bahawa kantung wang setiap orang terdapat di dalam guni masing-masing. Mereka dan bapa mereka nampak wang itu dan menjadi takut. 36  Yakub berseru, “Kamu menyebabkan aku kehilangan anak-anakku!+ Yusuf sudah tiada,+ Simeon sudah tiada,+ dan sekarang kamu hendak mengambil Benyamin? Akulah yang terpaksa menghadapi semua penderitaan ini!” 37  Ruben berkata kepada bapanya, “Ayah boleh membunuh kedua-dua orang anak lelaki saya jika saya tidak membawa Benyamin pulang.+ Serahkanlah dia ke bawah jagaan saya, dan saya akan membawanya kembali kepada ayah.”+ 38  Tetapi Yakub berkata, “Anakku tidak boleh pergi bersamamu. Abangnya sudah mati, dan dia sahaja yang tinggal.+ Jika sesuatu terjadi dalam perjalanan sehingga dia terbunuh, kamu akan menyebabkan aku, orang yang beruban ini, turun ke dalam Kuburan*+ dengan penuh kesedihan.”+

Nota Kaki

Lihat Kamus.