Kejadian 43:1-34

  • Abang-abang Yusuf pergi ke Mesir buat kali kedua; bersama Benyamin (1-14)

  • Yusuf berjumpa dengan adik-beradiknya sekali lagi (15-23)

  • Yusuf makan bersama adik-beradiknya (24-34)

43  Kebuluran di negeri Kanaan sangat teruk.+ 2  Apabila makanan yang dibeli oleh mereka dari Mesir+ sudah habis, Yakub berkata kepada anak-anaknya, “Pergilah ke sana lagi dan belilah sedikit makanan untuk kita.” 3  Yehuda berkata kepada bapanya, “Lelaki itu dengan tegas memberikan amaran kepada kami, ‘Jika kamu tidak membawa adik kamu bersama, jangan datang menghadap aku.’+ 4  Jika ayah membenarkan adik ikut kami, kami akan pergi ke sana dan membeli makanan untuk ayah. 5  Tetapi jika ayah tidak membenarkan adik ikut, kami tidak akan pergi kerana lelaki itu berkata, ‘Jika kamu tidak membawa adik kamu bersama, jangan datang menghadap aku.’”+ 6  Israel+ berkata, “Mengapa kamu menyusahkan aku dengan memberitahu lelaki itu bahawa kamu masih mempunyai seorang lagi adik?” 7  Mereka menjawab, “Lelaki itu bertanya tentang kami dan sanak saudara kami. Dia bertanya, ‘Masih hidupkah bapa kamu? Adakah kamu mempunyai adik lelaki yang lain?’ Oleh itu, kami pun menjawab segala pertanyaannya.+ Bagaimana kami boleh tahu bahawa dia akan berkata, ‘Bawalah adik kamu ke sini’?”+ 8  Kemudian Yehuda memujuk bapanya Israel, “Izinkanlah anak itu ikut saya,+ dan kami akan berangkat ke sana supaya kita semua, termasuk ayah dan anak-anak kami, tidak mati kebuluran.+ 9  Saya akan menjamin keselamatannya+ dan bertanggungjawab terhadapnya. Jika saya gagal membawanya pulang dan menyerahkannya kepada ayah, saya akan menanggung dosa terhadap ayah seumur hidupku. 10  Sebenarnya jika kami tidak berlengah-lengah, pasti kami sudah berulang-alik dua kali.” 11  Oleh itu, bapa mereka berkata, “Jika begitu, lakukanlah hal ini: Bawalah hasil yang terbaik dari negeri ini. Masukkanlah semuanya ke dalam guni-guni kamu untuk dihadiahkan kepada lelaki itu.+ Bawalah sedikit balsam,+ madu, getah wangi, kulit pokok,*+ kacang pistasio, dan buah badam. 12  Selain itu, bawalah wang dua kali ganda banyaknya, dan kembalikanlah wang yang telah dimasukkan ke dalam guni kamu.+ Mungkin itu suatu kesilapan. 13  Bawalah adik kamu dan pergilah berjumpa dengan lelaki itu. 14  Semoga Tuhan Yang Maha Kuasa membuat lelaki itu berbelas kasihan terhadap kamu, supaya dia mengizinkan kamu membawa kembali Simeon dan Benyamin. Bagi aku, jika aku terpaksa kehilangan anakku, aku harus menghadapinya.”+ 15  Maka mereka membawa hadiah-hadiah itu, dan membawa wang dua kali ganda. Kemudian mereka berangkat ke Mesir bersama-sama Benyamin lalu menghadap Yusuf.+ 16  Apabila Yusuf nampak Benyamin bersama abang-abangnya, dia berkata kepada hamba yang mengurus rumahnya, “Bawalah mereka ke rumahku. Kemudian sembelihlah binatang-binatang dan sediakanlah makanan, kerana mereka akan makan bersama-sama aku tengah hari ini.” 17  Hamba itu segera menurut perintah Yusuf+ dan membawa mereka ke rumah Yusuf. 18  Tetapi apabila mereka dibawa ke rumah Yusuf, mereka berasa takut dan berkata, “Kita dibawa ke sini kerana wang yang telah dikembalikan ke dalam guni-guni kita pada masa kita datang ke sini dahulu. Sekarang mereka akan menangkap kita dan menjadikan kita hamba lalu merampas keldai-keldai kita!”+ 19  Maka mereka mendekati hamba yang mengurus rumah Yusuf dan bercakap kepadanya di depan pintu masuk rumah. 20  Mereka berkata, “Maafkan kami, tuan! Dahulu kami pernah datang ke sini untuk membeli makanan.+ 21  Tetapi apabila kami tiba di tempat penginapan dan membuka guni-guni kami, kami nampak semua wang kami di dalam guni masing-masing.+ Sekarang kami ingin mengembalikan wang itu. 22  Kami juga membawa lebih banyak wang untuk membeli makanan. Kami tidak tahu siapa yang telah memasukkan wang itu ke dalam guni-guni kami.”+ 23  Hamba itu berkata, “Bertenanglah dan janganlah takut kerana Tuhan kamu, iaitu Tuhan yang disembah oleh bapa kamu, telah meletakkan wang itu ke dalam guni-guni kamu. Aku sudah menerima bayaran kamu.” Kemudian, hamba itu membawa Simeon kepada mereka.+ 24  Lalu hamba itu membawa mereka masuk ke dalam rumah Yusuf. Dia memberi mereka air untuk membasuh kaki dan juga makanan untuk keldai-keldai mereka. 25  Mereka menyediakan hadiah+ untuk diberikan kepada Yusuf apabila dia datang pada waktu tengah hari, kerana mereka sudah diberitahu bahawa mereka akan makan di sana.+ 26  Apabila Yusuf masuk ke dalam rumah, mereka memberikan hadiah-hadiah itu kepadanya dan bersujud di hadapannya.+ 27  Selepas itu, Yusuf bertanya tentang keadaan mereka. Dia juga berkata, “Kamu pernah memberitahu aku tentang bapa kamu yang sudah tua. Bagaimanakah keadaannya? Adakah dia masih hidup?”+ 28  Mereka menjawab, “Bapa kami, hamba tuan, masih hidup dan sihat.” Kemudian mereka bersujud di hadapannya.+ 29  Apabila Yusuf melihat Benyamin, adiknya yang seibu dengannya,+ dia berkata, “Inikah adik kamu yang bongsu itu, yang kamu beritahu aku dahulu?”+ Dia juga berkata, “Anakku, semoga Tuhan memberkati kamu.” 30  Yusuf segera keluar untuk mencari tempat untuk menangis kerana dia begitu terharu semasa melihat adiknya. Dia masuk ke dalam sebuah bilik untuk bersendirian lalu mula menangis.+ 31  Kemudian, dia membasuh mukanya, lalu keluar lagi. Setelah dia dapat menahan perasaannya, dia berkata, “Hidangkan makanan.” 32  Makanan dihidangkan kepada Yusuf di sebuah meja tersendiri, dan adik-beradiknya makan di meja yang lain. Orang Mesir yang ada di situ makan di meja yang lain lagi, kerana mereka benci apabila orang Ibrani makan bersama mereka.+ 33  Adik-beradik Yusuf diberi tempat duduk di meja yang berhadapan dengan Yusuf, menurut urutan umur masing-masing, mulai daripada anak sulung yang mempunyai hak sebagai anak sulung,+ sampai kepada yang bongsu. Ketika mereka nampak hal ini, mereka saling memandang dengan hairan. 34  Yusuf terus memberikan makanan dari mejanya kepada mereka, dan Benyamin mendapat makanan lima kali lebih banyak daripada abang-abangnya.+ Demikianlah mereka makan dan minum bersama-sama Yusuf sehingga kenyang.

Nota Kaki

Getah daripada kulit pokok ini digunakan untuk membuat minyak wangi.