Kejadian 45:1-28

  • Yusuf memperkenalkan diri (1-15)

  • Adik-beradik Yusuf pulang untuk membawa Yakub (16-28)

45  Yusuf tidak dapat menahan perasaannya lagi di hadapan semua hambanya.+ Maka dia berseru, “Suruh semua orang keluar!” Tiada orang lain yang bersamanya semasa dia memperkenalkan diri kepada adik-beradiknya.+ 2  Kemudian Yusuf menangis dengan begitu kuat sehingga orang Mesir dan seisi istana Firaun mendengarnya. 3  Akhirnya Yusuf berkata kepada adik-beradiknya, “Aku Yusuf. Adakah bapaku masih hidup?” Tetapi mereka sangat terkejut sehingga tidak dapat menjawabnya sama sekali. 4  Yusuf berkata, “Marilah dekati aku.” Maka mereka mendekatinya. Lalu dia berkata, “Aku Yusuf, adik kamu yang kamu jual ke Mesir.+ 5  Janganlah kamu susah hati dan janganlah salahkan satu sama lain kerana menjual aku ke sini. Tuhanlah yang telah menghantarku ke sini terlebih dahulu agar dapat menyelamatkan nyawa kamu.+ 6  Sekarang baru tahun kedua masa kebuluran di negeri ini,+ dan ada lima tahun lagi orang tidak akan membajak atau menuai. 7  Tetapi Tuhan telah menghantarku terlebih dahulu agar aku dapat menyelamatkan kamu+ dengan cara yang menakjubkan, supaya keturunan kamu akan terus hidup di bumi. 8  Jadi, yang menghantarku ke sini sebenarnya bukan kamu, tetapi Tuhan yang benar. Dia telah melantikku sebagai ketua penasihat Firaun, penguasa seluruh rumah tangganya, dan pemerintah seluruh negeri Mesir.+ 9  “Pulanglah dengan segera kepada bapaku, dan katakan kepadanya, ‘Anakmu Yusuf berkata, “Tuhan telah melantik saya menjadi penguasa atas seluruh negeri Mesir.+ Datanglah kepada saya dengan segera.+ 10  Ayah dapat tinggal di negeri Gosyen,+ dekat dengan saya, bersama semua anak cucu ayah, ternakan ayah, dan segala sesuatu yang ayah miliki. 11  Di sana, saya akan membekalkan makanan untuk ayah, kerana kebuluran akan berlanjutan selama lima tahun lagi.+ Dengan ini, ayah dan rumah tangga ayah tidak akan menjadi miskin, dan ayah pun tidak akan kehilangan segala-galanya.”’ 12  Sekarang kamu semua dan adikku Benyamin dapat lihat dengan mata sendiri bahawa sayalah yang bercakap kepada kamu.+ 13  Maka, beritahulah bapaku tentang segala kemuliaanku di Mesir dan tentang segala sesuatu yang telah kamu lihat. Bawalah bapaku ke sini dengan segera.” 14  Yusuf memeluk adiknya Benyamin dan menangis. Benyamin juga menangis sambil memeluk abangnya.+ 15  Kemudian Yusuf memeluk dan mencium semua abangnya lalu menangis. Selepas itu, mereka mula bercakap-cakap dengan dia. 16  Berita tentang ketibaan adik-beradik Yusuf sampai ke istana Firaun. Firaun dan para pegawainya senang hati mendengar berita itu. 17  Lalu Firaun berkata kepada Yusuf, “Suruhlah adik-beradikmu meletakkan barang-barang mereka di atas binatang dan pergilah ke Kanaan. 18  Bawalah bapamu dan keluarga mereka ke sini. Beta akan memberi mereka segala yang baik di Mesir, dan mereka akan makan hasil tanah yang terbaik.+ 19  Suruhlah mereka+ mengambil beberapa buah kereta lembu+ dari Mesir untuk membawa anak isteri mereka dan bapamu ke sini.+ 20  Mereka tidak perlu risau tentang harta milik mereka,+ kerana apa yang terbaik di seluruh Mesir akan menjadi milik mereka.” 21  Itulah yang dilakukan oleh anak-anak Israel. Yusuf memberi mereka beberapa buah kereta lembu, seperti yang diperintahkan oleh Firaun. Dia juga memberi mereka bekalan makanan untuk perjalanan. 22  Yusuf memberikan sepasang pakaian baharu kepada setiap abangnya, tetapi dia memberikan 300 keping wang perak dan lima pasang pakaian baharu kepada Benyamin.+ 23  Yusuf mengirim kepada bapanya 10 ekor keldai jantan yang membawa barang-barang yang baik dari Mesir. Selain itu, dia mengirim 10 ekor keldai betina yang membawa biji-bijian, roti, dan makanan lain untuk perjalanan bapanya ke Mesir. 24  Semasa Yusuf menghantar adik-beradiknya pergi, dia berkata, “Janganlah marah dengan satu sama lain semasa dalam perjalanan.”+ 25  Mereka meninggalkan Mesir lalu sampai ke tempat Yakub, bapa mereka, di Kanaan. 26  Mereka berkata kepada Yakub, “Yusuf masih hidup, dan dia sudah menjadi penguasa seluruh Mesir!”+ Tetapi berita itu begitu mengejutkan sehingga Yakub tidak mempercayai mereka.+ 27  Setelah mereka memberitahu Yakub semua yang dikatakan oleh Yusuf kepada mereka, dan ketika Yakub nampak kereta lembu yang dikirim oleh Yusuf untuk membawa dia ke Mesir, pulihlah semangatnya. 28  Israel berseru, “Sekarang barulah aku percaya! Anakku Yusuf masih hidup! Aku mesti pergi berjumpa dengannya sebelum aku mati!”+

Nota Kaki