Kejadian 47:1-31

  • Yakub berjumpa dengan Firaun (1-12)

  • Pentadbiran Yusuf yang baik (13-26)

  • Orang Israel tinggal di Gosyen (27-31)

47  Maka Yusuf berkata kepada Firaun,+ “Bapa dan adik-beradik hamba sudah datang dari Kanaan bersama biri-biri, kambing, dan lembu serta segala harta milik mereka. Sekarang mereka berada di Gosyen.”+ 2  Yusuf memilih lima orang adik-beradiknya dan membawa mereka menghadap Firaun.+ 3  Firaun bertanya kepada mereka, “Apakah pekerjaan kamu?” Mereka menjawab, “Hamba sekalian gembala biri-biri, seperti nenek moyang hamba sekalian.”+ 4  Mereka berkata lagi, “Hamba sekalian datang ke sini untuk menetap sebagai orang asing,+ kerana kebuluran di Kanaan sangat teruk sehingga tidak ada rumput untuk ternakan.+ Oleh itu, hamba sekalian ingin memohon agar diizinkan untuk tinggal di Gosyen.”+ 5  Maka Firaun berkata kepada Yusuf, “Bapa kamu dan adik-beradik kamu telah datang kepadamu. 6  Seluruh Mesir berada di bawah kuasamu. Oleh itu, suruhlah mereka tinggal di tempat yang paling baik di negeri ini.+ Biarlah mereka tinggal di Gosyen. Jika ada orang yang cekap dalam kalangan mereka, tugaskanlah orang itu untuk menjaga ternakan beta.” 7  Yusuf juga membawa bapanya Yakub untuk menghadap Firaun. Kemudian Yakub memberkati Firaun. 8  Firaun bertanya kepada Yakub, “Berapakah umurmu?” 9  Yakub menjawab, “Hamba sudah hidup 130 tahun sebagai pengembara.*+ Hidup hamba ini singkat dan penuh dengan kesukaran, tidak seperti panjangnya umur nenek moyang hamba yang hidup sebagai pengembara.”*+ 10  Selepas itu, Yakub memberkati Firaun lalu beredar dari hadapannya. 11  Yusuf membantu bapa dan adik-beradiknya agar mereka dapat menetap di Mesir. Dia memberi mereka tanah yang terbaik di negeri itu, iaitu tanah di Rameses,+ seperti yang diperintahkan oleh Firaun. 12  Yusuf terus membekalkan makanan kepada bapanya dan adik-beradiknya serta seluruh rumah tangga bapanya. Dia memberi mereka makanan sesuai dengan jumlah anak-anak mereka. 13  Seluruh negeri Mesir dan Kanaan kehabisan makanan kerana kebuluran sangat teruk. Penduduk di tempat itu menjadi lemah dan tidak berdaya kerana kebuluran itu.+ 14  Apabila orang dari Mesir dan Kanaan datang untuk membeli biji-bijian,+ Yusuf mengumpulkan semua wang mereka lalu menyimpannya di istana Firaun. 15  Beberapa lama kemudian, semua orang di Mesir dan Kanaan kehabisan wang. Mereka datang kepada Yusuf lalu berkata, “Wang kami sudah habis. Tolonglah beri kami makanan! Janganlah biarkan kami mati di hadapanmu.” 16  Yusuf berkata, “Jika wang kamu sudah habis, berikanlah ternakanmu kepada aku, lalu aku akan memberikan makanan kepada kamu sebagai ganti ternakanmu itu.” 17  Maka mereka pun membawa ternakan mereka kepada Yusuf. Yusuf pula memberi mereka makanan sebagai ganti untuk kuda, biri-biri, kambing, lembu, dan keldai mereka. Sepanjang tahun itu, Yusuf memberikan makanan kepada mereka sebagai ganti semua ternakan mereka. 18  Setelah tahun itu berakhir, mereka datang menghadap Yusuf pada tahun berikutnya dan berkata, “Kami berterus terang kepada tuan bahawa wang kami sudah habis dan ternakan kami sudah diberikan kepada tuan. Kami tidak ada apa-apa lagi yang dapat diberikan kepada tuan kecuali diri kami sendiri dan tanah kami. 19  Janganlah biarkan kami mati di hadapanmu, dan janganlah biarkan tanah kami menjadi tandus. Belilah kami dan tanah kami dengan makanan. Kami akan menjadi hamba Firaun, dan tanah kami akan menjadi miliknya. Berilah kami benih supaya kami dapat terus hidup, dan supaya tanah kami tidak terbiar.” 20  Maka Yusuf pun membeli semua tanah orang Mesir untuk Firaun. Setiap orang Mesir menjual ladang mereka kerana kebuluran itu sangat teruk. Lalu semua tanah di Mesir menjadi milik Firaun. 21  Kemudian Yusuf memerintahkan orang yang tinggal di merata tempat di Mesir untuk berpindah ke kawasan kota.+ 22  Hanya tanah para imam yang tidak dibeli oleh Yusuf.+ Para imam tidak perlu menjual tanah mereka kerana mereka menerima makanan daripada Firaun. 23  Lalu Yusuf berkata kepada rakyat, “Hari ini aku telah membeli kamu dan tanah kamu untuk Firaun. Ambillah benih ini untuk ditanam di ladang. 24  Apabila kamu menuai hasilnya, berikanlah satu perlima kepada Firaun.+ Yang selebihnya boleh kamu gunakan sebagai benih, dan sebagai makanan bagimu, anak-anakmu, dan seisi rumah tanggamu.” 25  Lalu mereka berkata, “Tuan telah menyelamatkan nyawa kami.+ Semoga tuan senang hati dengan kami; kami rela menjadi hamba Firaun.”+ 26  Kemudian Yusuf menjadikan hal itu undang-undang di Mesir, iaitu satu perlima daripada hasil tuaian mesti menjadi milik Firaun. Sampai hari ini, undang-undang itu masih dipatuhi. Hanya tanah milik para imam yang tidak menjadi milik Firaun.+ 27  Demikianlah orang Israel tinggal di Gosyen di Mesir.+ Mereka terus menetap di situ dan beranak cucu sehingga bilangan mereka bertambah banyak.+ 28  Yakub tinggal di Mesir selama 17 tahun sehingga dia berusia 147 tahun.+ 29  Apabila Israel hampir meninggal,+ dia memanggil anaknya Yusuf lalu berkata, “Jika ayah menyenangkan hatimu, letakkanlah tanganmu di bawah pahaku.* Tunjukkanlah kesetiaan dan kebaikan hati* kepadaku. Tolong jangan mengebumikan aku di Mesir.+ 30  Apabila aku mati, bawalah mayatku keluar dari Mesir dan kebumikanlah aku di kuburan nenek moyangku.”+ Yusuf pun berkata, “Saya akan melakukan apa yang ayah suruh.” 31  Yakub berkata, “Bersumpahlah kepadaku.” Maka Yusuf bersumpah kepada bapanya+ yang sedang duduk di kepala katil, dan Israel membongkok lalu berdoa.+

Nota Kaki

Atau “penduduk asing.”
Atau “penduduk asing.”
Cara orang pada zaman kuno memberikan kepastian bahawa sumpahnya tidak akan berubah.
Atau “dan kasih setia.”