Kejadian 50:1-26

  • Yusuf mengebumikan Yakub di Kanaan (1-14)

  • Pengampunan Yusuf yang tulus (15-21)

  • Sebelum Yusuf meninggal; kematiannya (22-26)

    • Perintah Yusuf mengenai tulang-tulangnya (25)

50  Yusuf merebahkan dirinya ke atas bapanya+ sambil menangis dan menciumnya. 2  Selepas itu, Yusuf memerintahkan para doktor yang merupakan hambanya untuk mengawet+ mayat bapanya. Maka mereka pun berbuat demikian. 3  Pengawetan itu memakan masa 40 hari. Itulah masa yang diperlukan untuk mengawet mayat. Orang Mesir meratapi kematian Yakub selama 70 hari. 4  Apabila selesai tempoh masa untuk berkabung, Yusuf berkata kepada para pegawai* Firaun, “Jika aku menyenangkan hatimu, tolong sampaikan pesanan berikut kepada Firaun: 5  ‘Bapa hamba menyuruh hamba bersumpah+ dengan berkata, “Tidak lama lagi aku akan meninggal.+ Kamu mesti mengebumikan aku di kubur+ yang telah aku sediakan di Kanaan.”+ Oleh itu, izinkanlah hamba pergi mengebumikan bapa hamba. Selepas itu, hamba akan kembali.’” 6  Firaun menjawab, “Pergilah kebumikan bapa kamu selaras dengan sumpahmu kepadanya.”+ 7  Yusuf pun pergi untuk mengebumikan bapanya. Semua pegawai Firaun, iaitu semua pegawai tinggi istana* dan semua pegawai tinggi+ di Mesir, juga pergi bersama Yusuf. 8  Semua ahli keluarga Yusuf, adik-beradiknya, dan semua ahli keluarga bapanya turut pergi bersamanya.+ Hanya anak-anak mereka yang masih kecil dan kawanan biri-biri dan kambing serta kawanan lembu mereka ditinggalkan di Gosyen. 9  Kereta-kereta kuda+ dan para penunggang kuda juga mengiringi mereka sehingga rombongan mereka menjadi sangat besar. 10  Apabila mereka tiba di tempat mengirik* gandum di Atad yang terletak di daerah Yordan, mereka meratap dengan sangat sedih dan dengan suara yang nyaring. Yusuf terus berkabung untuk bapanya selama tujuh hari. 11  Apabila penduduk negeri itu, iaitu orang Kanaan, nampak perkabungan di tempat mengirik gandum di Atad, mereka berkata, “Ini perkabungan yang besar bagi orang Mesir!” Itulah sebabnya tempat yang terletak di daerah Yordan itu dinamakan Abel-mizraim.* 12  Maka anak-anak Yakub melakukan segala yang dipesan oleh bapa mereka.+ 13  Mereka membawa mayat Yakub ke Kanaan dan mengebumikannya di dalam gua di tanah Makhpela. Itulah tanah yang berdekatan Mamre, yang dibeli oleh Abraham daripada Efron, orang Het, untuk dijadikan kuburan.+ 14  Selepas Yusuf mengebumikan bapanya, dia kembali ke Mesir bersama adik-beradiknya dan semua orang yang mengikutinya untuk mengebumikan bapanya. 15  Setelah bapa mereka meninggal, abang-abang Yusuf berkata, “Bagaimana jika Yusuf masih berdendam dengan kita dan mahu membalas semua kejahatan yang telah kita lakukan kepadanya?”+ 16  Maka mereka mengirim pesanan berikut kepada Yusuf: “Sebelum bapamu meninggal, dia berkata, 17  ‘Beritahulah Yusuf, “Aku memohon kepadamu, ampunkanlah kesalahan yang dilakukan oleh abang-abangmu dan kejahatan yang dilakukan oleh mereka terhadapmu.”’ Sebagai hamba-hamba kepada Tuhan yang disembah oleh bapa kita, kami mohon, ampunkanlah kesalahan yang sudah kami lakukan.” Yusuf menangis ketika menerima pesanan itu. 18  Kemudian adik-beradiknya datang dan bersujud di hadapannya lalu berkata, “Kami hamba tuan!”+ 19  Yusuf berkata kepada mereka, “Janganlah takut. Adakah aku ini Tuhan yang dapat menghakimi kamu? 20  Walaupun kamu berbuat jahat kepadaku,+ Tuhan telah mengubahnya menjadi kebaikan, supaya banyak orang dapat diselamatkan, seperti yang dilakukan-Nya sekarang.+ 21  Jadi, janganlah takut. Aku akan terus membekalkan makanan untuk kamu dan anak-anak kecil kamu.”+ Demikianlah Yusuf melegakan hati mereka dan meyakinkan mereka dengan kata-katanya. 22  Yusuf terus tinggal di Mesir bersama keluarga bapanya. Dia hidup selama 110 tahun. 23  Yusuf sempat melihat anak cucu Efraim+ sampai generasi yang ketiga, dan juga melihat anak-anak Makhir,+ iaitu cucu Manasye. Mereka semua adalah seperti anaknya sendiri.* 24  Akhirnya Yusuf berkata kepada adik-beradiknya, “Aku hampir mati, tetapi Tuhan akan membantu kamu+ dan membawa kamu keluar dari negeri ini, ke negeri yang dijanjikan-Nya. Dia telah bersumpah untuk memberikan negeri itu kepada Abraham, Ishak, dan Yakub.”+ 25  Oleh itu, Yusuf menyuruh mereka bersumpah. Dia berkata, “Tuhan pasti membantu kamu. Pada masa itu, bawalah juga tulang-tulangku keluar dari sini.”+ 26  Yusuf meninggal ketika dia berumur 110 tahun. Kemudian mayatnya diawet+ dan diletakkan di dalam sebuah keranda di Mesir.

Nota Kaki

Atau “kepada seisi rumah.”
Atau “semua orang tua dalam rumah tangganya.”
Proses memisahkan buah daripada tangkai.
Maksudnya “Perkabungan Orang Mesir.”
Harfiah, “Mereka dilahirkan di atas lutut Yusuf.” Maksudnya mereka dianggap sebagai anak kandung dan dilayan dengan cara yang istimewa.