Kejadian 7:1-24
7 Selepas itu, Yehuwa berfirman kepada Nuh, “Masuklah ke dalam bahtera bersama-sama seluruh keluargamu, kerana Aku mendapati bahawa antara orang yang hidup pada masa ini, hanya engkaulah yang melakukan apa yang benar.+
2 Engkau mesti membawa tujuh ekor* daripada setiap jenis binatang yang halal;+ bawalah yang jantan dan yang betina. Tetapi engkau harus membawa hanya dua ekor daripada setiap jenis binatang yang haram, seekor jantan dan seekor betina.
3 Selain itu, bawalah juga tujuh ekor* daripada setiap jenis makhluk terbang, jantan dan betina, supaya binatang-binatang itu dapat terus hidup dan bertambah banyak di seluruh bumi.+
4 Dalam masa tujuh hari, Aku akan menyebabkan hujan turun+ ke bumi selama 40 hari dan 40 malam.+ Segala hidupan yang telah Aku ciptakan akan Aku lenyapkan dari muka bumi.”+
5 Nuh pun melakukan segala yang diperintahkan oleh Yehuwa.
6 Nuh berumur 600 tahun apabila banjir melanda bumi.+
7 Nuh dan isterinya, bersama dengan anak-anaknya dan isteri-isteri mereka, masuk ke dalam bahtera sebelum banjir berlaku.+
8 Setiap jenis binatang halal dan haram, serta makhluk terbang dan semua makhluk yang bergerak di darat,+
9 masuk ke dalam bahtera dan pergi kepada Nuh. Semuanya masuk secara berpasangan, seekor jantan dan seekor betina, seperti yang diperintahkan oleh Tuhan kepada Nuh.
10 Tujuh hari kemudian, banjir melanda bumi.
11 Semasa Nuh berumur 600 tahun, pada hari ke-17, bulan kedua, semua pintu di langit terbuka dan semua air di langit turun.+
12 Hujan lebat turun ke bumi selama 40 hari dan 40 malam.
13 Pada hari itu juga, Nuh dan isterinya masuk ke dalam bahtera bersama dengan anak-anak lelakinya, iaitu Sem, Ham, dan Yafet,+ serta tiga orang menantunya.+
14 Bersama-sama mereka juga terdapat setiap binatang liar, binatang jinak, binatang menjalar, dan makhluk terbang, termasuk semua burung dan makhluk bersayap, semuanya menurut jenis masing-masing.
15 Setiap makhluk yang mempunyai nafas kehidupan masuk ke dalam bahtera secara berpasangan dan pergi kepada Nuh.
16 Seperti yang diperintahkan oleh Tuhan kepadanya, semua jenis binatang masuk ke dalam bahtera, seekor jantan dan seekor betina. Selepas itu, Yehuwa menutup pintu bahtera.
17 Hujan turun selama 40 hari berturut-turut, dan paras air semakin meningkat sehingga bahtera terapung jauh dari permukaan bumi.
18 Air semakin bertambah dan mula meliputi seluruh bumi, dan bahtera terapung-apung di atas permukaan air.
19 Air yang membanjiri bumi begitu banyak sehingga semua gunung yang tinggi di seluruh bumi pun diliputi air.+
20 Air terus naik sehingga kira-kira tujuh meter* lebih tinggi daripada puncak gunung.
21 Maka lenyaplah semua makhluk hidup yang bergerak di bumi:+ Makhluk terbang, binatang yang jinak atau binatang yang liar, binatang kecil yang hidup berkelompok, dan semua manusia.+
22 Semua makhluk di darat yang memiliki nafas kehidupan telah mati.+
23 Demikianlah Tuhan melenyapkan semua hidupan di bumi, termasuk manusia, binatang, makhluk yang berterbangan di langit, dan binatang menjalar. Semuanya lenyap dari muka bumi.+ Hanya Nuh, keluarganya, dan semua binatang yang ada bersamanya di dalam bahtera terselamat.+
24 Air yang menenggelami bumi tidak surut selama 150 hari.+
Nota Kaki
^ Atau mungkin, “tujuh pasang.”
^ Atau mungkin, “tujuh pasang.”
^ Harfiah, “15 hasta.” Lihat Lampiran B14.