Kejadian 8:1-22

  • Air banjir beransur-ansur surut (1-14)

    • Burung merpati dilepaskan (8-12)

  • Keluar dari bahtera (15-19)

  • Janji Tuhan tentang bumi (20-22)

8  Tuhan tidak melupakan Nuh dan semua binatang liar serta binatang jinak yang ada di dalam bahtera.+ Tuhan menyebabkan angin bertiup di bumi dan air mula surut. 2  Air di langit tidak lagi turun dan semua pintu di langit ditutup, maka hujan pun berhenti.*+ 3  Sedikit demi sedikit, air mula surut dari bumi. Selepas 150 hari, paras air telah berkurang. 4  Pada hari ke-17 bulan ketujuh, bahtera berhenti di pergunungan Ararat. 5  Air beransur-ansur surut sehingga bulan ke-10. Pada hari pertama bulan ke-10, puncak-puncak gunung mula kelihatan.+ 6  Setelah 40 hari, Nuh membuka tingkap+ bahtera yang telah dibuat olehnya 7  lalu melepaskan seekor burung gagak. Burung itu terbang berulang-alik sehingga air banjir kering dari muka bumi. 8  Kemudian Nuh melepaskan seekor burung merpati untuk mengetahui sama ada air sudah surut dari permukaan bumi atau tidak. 9  Oleh sebab air masih meliputi seluruh muka bumi,+ burung merpati itu tidak menjumpai tempat untuk hinggap. Jadi burung itu kembali ke bahtera. Nuh menghulurkan tangannya lalu membawa burung itu ke dalam bahtera. 10  Nuh menunggu selama tujuh hari lagi, dan melepaskan semula burung merpati itu dari bahtera. 11  Pada petang hari, burung itu kembali kepada Nuh sambil membawa sehelai daun zaitun yang segar pada paruhnya. Dengan itu, Nuh mengetahui bahawa air sudah surut dari bumi.+ 12  Dia menunggu selama tujuh hari lagi. Kemudian dia melepaskan burung merpati itu, tetapi kali ini burung itu tidak kembali kepadanya. 13  Ketika Nuh berumur 601 tahun,+ pada hari pertama, bulan pertama, air telah surut dari bumi. Nuh membuka sebahagian bumbung bahtera dan memandang ke luar. Dia mendapati bahawa permukaan tanah sudah mula kering. 14  Pada hari ke-27 bulan kedua, permukaan bumi telah kering. 15  Tuhan berfirman kepada Nuh, 16  “Keluarlah dari bahtera bersama-sama isterimu, anak-anak lelakimu, dan isteri mereka.+ 17  Bawalah keluar semua makhluk hidup,+ yang terbang dan yang menjalar, serta binatang darat, supaya semua makhluk itu dapat membiak dan bertambah banyak di bumi.”+ 18  Maka Nuh pun keluar bersama-sama isterinya, anak-anaknya,+ dan isteri mereka. 19  Semua makhluk hidup, semua binatang yang menjalar, semua makhluk terbang, dan semua binatang yang bergerak di bumi keluar dari bahtera itu. Semuanya keluar mengikut kumpulan masing-masing.+ 20  Nuh mendirikan sebuah mazbah+ untuk Yehuwa. Dia mengambil beberapa ekor binatang yang halal dan beberapa ekor makhluk terbang yang halal,+ lalu mempersembahkan semuanya di atas mazbah sebagai korban bakar.+ 21  Bau korban itu menyenangkan hati Yehuwa. Maka Yehuwa berfirman dalam hati-Nya, “Aku tidak lagi mengutuk tanah+ kerana perbuatan manusia. Hal ini demikian kerana kecenderungan untuk berbuat jahat sudah ada dalam hati manusia sejak kecil lagi.+ Aku tidak lagi membinasakan semua makhluk hidup sebagaimana yang telah Aku lakukan sebelum ini.+ 22  Mulai sekarang, bumi akan sentiasa mempunyai musim menanam dan menuai, cuaca sejuk dan cuaca panas, musim panas dan musim sejuk, siang dan malam.”+

Nota Kaki

Atau “ditahan.”