Keluaran 1:1-22
1 Yakub, yang juga dipanggil Israel, pergi ke Mesir bersama anak-anaknya dan keluarga mereka.+ Anak-anak Yakub yang pergi bersamanya ialah
2 Ruben, Simeon, Lewi, Yehuda,+
3 Isakhar, Zebulon, Benyamin,
4 Dan, Naftali, Gad, dan Asyer.+
5 Yusuf pula sudah berada di Mesir. Keturunan Yakub berjumlah 70 orang.+
6 Akhirnya, Yusuf dan saudara-saudaranya meninggal,+ begitu juga orang yang hidup sezaman dengannya.
7 Tetapi orang Israel mempunyai anak yang banyak. Bilangan mereka bertambah dengan cepat sekali dan mereka menjadi semakin kuat sehingga seluruh negeri penuh dengan mereka.+
8 Kemudian seorang raja baharu yang tidak mengenal Yusuf mula memerintah Mesir.
9 Raja itu berkata kepada rakyatnya, “Orang Israel lebih banyak dan lebih kuat daripada kita.+
10 Marilah kita mencari jalan agar bilangan mereka tidak terus bertambah. Jika tidak, apabila peperangan berlaku, mereka akan bergabung dengan pihak musuh untuk menentang kita lalu meninggalkan negeri ini.”
11 Maka, orang Mesir melantik beberapa orang pengawas abdi untuk menindas orang Israel dengan kerja paksa.+ Orang Israel dipaksa membina kota Pitom dan Raamses, iaitu tempat Firaun* menyimpan perbekalannya.+
12 Namun begitu, semakin keras orang Israel ditindas, semakin banyak bilangan mereka. Mereka semakin tersebar luas sehingga orang Mesir menjadi sangat takut kepada mereka.+
13 Maka, orang Mesir memperhamba mereka dengan kejam.+
14 Orang Mesir menyebabkan orang Israel menderita. Mereka memaksa orang Israel membuat batu bata dan campuran tanah liat serta berjerih lelah di ladang. Mereka memperhamba orang Israel dengan pelbagai jenis kerja paksa.+
15 Raja Mesir memberikan perintah kepada dua orang bidan Ibrani yang bernama Sifra dan Pua.
16 Dia berkata, “Apabila kamu menolong wanita Ibrani bersalin,+ bunuhlah bayinya jika bayi itu lelaki. Tetapi jika bayinya perempuan, biarkanlah bayi itu hidup.”
17 Namun bidan-bidan itu takut akan Tuhan yang benar. Mereka tidak mematuhi perintah raja Mesir dan membiarkan bayi-bayi lelaki terus hidup.+
18 Maka raja Mesir memanggil mereka dan berkata, “Mengapa kamu membiarkan bayi-bayi lelaki terus hidup?”
19 Mereka menjawab, “Wanita Ibrani tidak seperti wanita Mesir. Mereka bertenaga dan sudah melahirkan anak sebelum bidan tiba.”
20 Oleh itu, Tuhan memperlakukan bidan-bidan itu dengan baik, dan orang Israel terus bertambah banyak dan menjadi sangat kuat.
21 Tuhan mengurniakan keturunan kepada bidan-bidan itu kerana mereka takut akan Tuhan.
22 Akhirnya Firaun memerintahkan semua rakyatnya, “Setiap bayi lelaki orang Ibrani yang baru lahir harus dibuang ke dalam Sungai Nil, tetapi setiap bayi perempuan boleh dibiarkan hidup.”+
Nota Kaki
^ Gelaran bagi raja Mesir.