Keluaran 11:1-10

  • Tulah ke-10 diumumkan (1-10)

    • Umat Israel meminta barang kemas (2)

11  (Yehuwa telah pun berfirman kepada Musa, “Aku akan mendatangkan satu lagi tulah kepada Firaun dan orang Mesir. Setelah itu, dia akan membenarkan kamu pergi.+ Malah, dia pasti akan mengusir kamu dari sini.+ 2  Maka suruhlah setiap lelaki dan wanita Israel untuk meminta barang emas dan perak daripada jiran mereka.”+ 3  Yehuwa menyebabkan orang Mesir menghormati orang Israel. Para pegawai Firaun dan rakyat Mesir juga sangat menghormati Musa.) 4  Musa menyambung, “Inilah firman Yehuwa: ‘Pada waktu tengah malam, Aku akan pergi ke negeri Mesir,+ 5  dan setiap anak sulung di Mesir akan mati,+ daripada putera sulung Firaun yang duduk di atas takhta, sehingga anak sulung hamba perempuan yang mengisar biji-bijian. Anak sulung semua ternakan juga akan mati.+ 6  Tangisan yang kuat akan terdengar di seluruh Mesir. Hal ini belum pernah terjadi dan tidak akan terjadi lagi.+ 7  Tetapi tiada perkara buruk yang akan menimpa orang Israel* ataupun ternakan mereka. Dengan demikian, kamu akan tahu bahawa Yehuwa dapat membuat perbezaan antara orang Mesir dengan orang Israel.’+ 8  Semua pegawai tuanku akan datang dan bersujud di hadapan hamba lalu berkata, ‘Pergilah, kamu dan seluruh bangsamu.’+ Selepas itu, hamba akan pergi.” Lalu dengan sangat marah, Musa meninggalkan Firaun. 9  Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Firaun tidak akan mendengarkan engkau+ supaya Aku dapat melakukan lebih banyak mukjizat di Mesir.”+ 10  Musa dan Harun melakukan segala mukjizat itu di hadapan Firaun.+ Namun Yehuwa membiarkan Firaun berkeras hati, sehingga dia enggan membenarkan orang Israel pergi dari negerinya.+

Nota Kaki

Atau “Tetapi anjing pun tidak akan menyalak dan menakut-nakutkan orang Israel.”