Keluaran 12:1-51

  • Paska diperkenalkan (1-28)

    • Memercikkan darah pada tiang pintu (7)

  • Tulah 10: Anak sulung dibunuh (29-32)

  • Umat Israel keluar dari Mesir (33-42)

    • Genap tahun ke-430 (40, 41)

  • Peraturan untuk Perayaan Paska (43-51)

12  Yehuwa berfirman kepada Musa dan Harun di Mesir,  “Bulan ini akan menjadi bulan pertama bagimu dalam setahun. Setiap tahun harus bermula dengan bulan tersebut.+  Sampaikanlah perintah ini kepada segenap umat Israel, ‘Pada hari ke-10 bulan ini, setiap orang harus memilih seekor biri-biri+ untuk keluarganya. Setiap keluarga harus mendapatkan seekor biri-biri.  Jika sebuah keluarga terlalu kecil dan tidak dapat menghabiskan seekor biri-biri, mereka boleh memakannya di dalam sebuah rumah bersama jiran yang terdekat. Biri-biri itu harus dibahagikan menurut jumlah orang yang memakannya.  Kamu boleh memilih seekor biri-biri ataupun seekor kambing, tetapi binatang itu mesti jantan yang berumur satu tahun, dan yang tidak ada kecacatan.+  Kamu harus menjaga binatang itu sehingga hari ke-14 bulan ini.+ Pada waktu senja,*+ setiap keluarga dalam kalangan umat Israel harus menyembelih binatang masing-masing.  Mereka harus mengambil sedikit darah binatang itu dan memercikkannya pada kedua-dua batang tiang pintu dan pada ambang pintu rumah, tempat mereka memakan binatang itu.+  “‘Pada malam itu,+ mereka harus memakan daging yang dipanggang atas api, bersama sayur pahit+ dan roti tidak beragi.+  Daging itu harus dipanggang seluruhnya, lengkap dengan kepala, kaki, dan organ dalaman. Makanlah daging yang sudah dipanggang itu. Jangan makan daging yang mentah atau yang direbus. 10  Jangan tinggalkan sedikit pun daripada daging itu sehingga pagi. Apa-apa sahaja yang tertinggal sehingga pagi esok haruslah dibakar.+ 11  Semasa kamu makan, kamu harus sudah memakai tali pinggang dan kasut, serta memegang tongkat. Kamu harus makan cepat-cepat. Inilah Perayaan Paska* bagi Aku, Yehuwa. 12  Pada malam itu, Aku akan pergi ke Mesir dan membunuh setiap anak sulung, baik anak sulung manusia mahupun anak sulung binatang.+ Aku akan menghukum semua dewa orang Mesir.+ Akulah Yehuwa. 13  Darah pada tiang pintu akan menjadi tanda bagi rumah kamu. Semasa Aku melihat darah itu, Aku akan melewati rumah kamu dan tidak memasukinya. Tulah yang Aku datangkan untuk menghukum Mesir tidak akan memusnahkan kamu.+ 14  “‘Kamu dan keturunan kamu harus mengingati hari ini dan menyambutnya sebagai perayaan bagi Aku, Yehuwa. Kamu mesti sentiasa menyambut perayaan ini. 15  Kamu harus memakan roti yang tidak beragi selama tujuh hari.+ Pada hari pertama, kamu harus membuang segala ragi yang ada di dalam rumah kamu. Sepanjang tujuh hari itu, sesiapa yang memakan apa sahaja yang beragi mesti dihukum mati. 16  Pada hari pertama dan hari ketujuh, kamu harus berkumpul untuk beribadat kepada-Ku. Pada kedua-dua hari itu, kamu tidak boleh melakukan sebarang pekerjaan,+ kecuali menyediakan makanan yang diperlukan. 17  “‘Kamu mesti merayakan Perayaan Roti Tidak Beragi,+ kerana pada hari inilah Aku akan membawa kamu keluar dari Mesir secara berkumpulan, seperti pasukan askar. Kamu mesti sentiasa menyambut perayaan ini secara turun-temurun. 18  Dari petang hari ke-14 sehingga petang hari ke-21 bulan ini, kamu harus memakan roti yang tidak beragi.+ 19  Selama tujuh hari, ragi tidak boleh disimpan di dalam rumah kamu, kerana sesiapa yang memakan roti yang beragi akan dihukum mati,+ baik orang asing mahupun orang Israel.+ 20  Di mana pun kamu tinggal, kamu harus memakan roti yang tidak beragi. Kamu tidak boleh memakan apa-apa pun yang beragi.’” 21  Musa segera mengumpulkan para pemimpin orang Israel+ dan berkata, “Pergilah dan pilihlah anak biri-biri atau anak kambing untuk keluarga masing-masing. Sembelihlah binatang itu sebagai korban Paska. 22  Kemudian kamu harus mencelup seikat rumput hisop ke dalam bekas yang berisi darah binatang itu, lalu percikkan darah itu pada kedua-dua batang tiang pintu dan ambang pintu rumah. Tiada seorang pun boleh keluar dari rumahnya sehingga pagi. 23  Yehuwa akan menjelajahi Mesir untuk menghukum orang Mesir. Apabila Dia nampak darah pada tiang pintu dan ambang pintu rumah kamu, Yehuwa akan melewati rumah kamu dan kamu tidak akan ditimpa tulah yang membawa kematian.+ 24  “Kamu dan keturunan kamu mesti sentiasa mematuhi peraturan ini.+ 25  Apabila kamu masuk ke tanah yang telah dijanjikan oleh Yehuwa kepada kamu, kamu mesti menyambut perayaan ini.+ 26  Apabila anak-anak kamu bertanya, ‘Apakah makna perayaan ini?’+ 27  kamu harus menjawab, ‘Kita mempersembahkan korban Paska kepada Yehuwa kerana Dia telah melewati rumah orang Israel di Mesir. Dia mendatangkan tulah kepada orang Mesir, tetapi menyelamatkan keluarga kita.’” Kemudian mereka semua bersujud. 28  Umat Israel melakukan segala yang telah diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa dan Harun.+ Mereka melakukan semuanya seperti yang diperintahkan. 29  Pada tengah malam, Yehuwa membunuh setiap anak sulung di seluruh Mesir,+ daripada putera sulung Firaun yang duduk di atas takhta, sehingga anak sulung orang tawanan di dalam penjara. Semua anak sulung binatang pun dibunuh.+ 30  Pada malam itu, Firaun dan semua pegawainya serta semua orang Mesir terjaga. Tangisan yang kuat terdengar di seluruh Mesir kerana di setiap rumah terdapat kematian.+ 31  Pada malam itu juga Firaun memanggil Musa dan Harun+ lalu berkata, “Pergilah, kamu dan semua orang Israel! Tinggalkanlah negeri beta! Pergilah menyembah Yehuwa, seperti yang kamu minta.+ 32  Bawalah ternakan kamu dan pergi, seperti yang kamu minta.+ Tetapi mohonlah berkat untuk beta juga.” 33  Orang Mesir mendesak orang Israel agar meninggalkan negeri mereka dengan segera.+ Mereka berkata, “Jika kamu tidak pergi, kami semua akan mati!”+ 34  Maka orang Israel mengambil adunan tepung yang tidak beragi bersama bekas adunannya, membungkusnya dengan kain, lalu menyandangnya pada bahu mereka. 35  Orang Israel melakukan apa yang diperintahkan oleh Musa. Mereka meminta barang perak dan emas serta pakaian daripada orang Mesir.+ 36  Yehuwa menyebabkan orang Israel dihormati oleh orang Mesir sehingga orang Mesir memberikan apa sahaja yang diminta oleh mereka. Demikianlah mereka menjarah harta orang Mesir.+ 37  Kemudian orang Israel berangkat dari Rameses+ ke Sukot.+ Lelaki yang berjalan kaki berjumlah kira-kira 600,000 orang, tidak termasuk kanak-kanak.+ 38  Orang Israel membawa banyak sekali ternakan, termasuk biri-biri dan lembu. Sekumpulan besar orang daripada bangsa-bangsa lain*+ juga pergi bersama mereka. 39  Mereka membakar adunan yang dibawa dari Mesir menjadi kepingan roti tidak beragi yang berbentuk bulat. Mereka tidak sempat menyediakan roti yang beragi dan bekalan makanan yang lain, kerana mereka diusir dari Mesir secara tiba-tiba.+ 40  Orang Israel yang keluar dari Mesir, telah tinggal di negeri asing+ selama 430 tahun.*+ 41  Apabila genap tahun yang ke-430, ya, pada hari terakhir itu, semua umat Yehuwa keluar dari Mesir secara berkumpulan, seperti pasukan askar. 42  Pada malam itu, Yehuwa membawa mereka keluar dari Mesir. Maka umat Israel dan keturunan mereka harus memperingati malam itu dengan menyambut perayaan bagi Yehuwa.+ 43  Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa dan Harun, “Inilah peraturan untuk Perayaan Paska: Orang asing tidak boleh memakan korban Paska.+ 44  Tetapi hamba yang kamu beli boleh memakan korban Paska, jika dia sudah disunat.+ 45  Penduduk sementara dan buruh upahan tidak boleh memakan korban Paska. 46  Korban Paska hanya boleh dimakan di dalam rumah. Kamu tidak boleh membawa dagingnya keluar dari rumah, dan kamu juga tidak boleh mematahkan satu pun daripada tulangnya.+ 47  Segenap umat Israel mesti menyambut perayaan ini. 48  Jika orang asing yang tinggal bersama kamu ingin menyambut Perayaan Paska bagi Aku, Yehuwa, semua lelaki dalam keluarganya mesti disunat. Selepas itu barulah dia boleh menyambutnya, dan dia akan dianggap sebagai orang Israel asli. Tetapi lelaki yang tidak disunat tidak boleh memakan korban Paska.+ 49  Peraturan yang sama berlaku bagi kamu dan orang asing dalam kalangan kamu.”+ 50  Orang Israel melakukan segala yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa dan Harun. Mereka melakukan semuanya seperti yang diperintahkan. 51  Pada hari itu, Yehuwa membawa orang Israel keluar dari Mesir secara berkumpulan, seperti pasukan askar.

Nota Kaki

Iaitu, selepas matahari terbenam, tetapi sebelum hari menjadi gelap sepenuhnya.
Lihat Kamus.
Orang Mesir juga termasuk dalam kumpulan ini.
Beberapa manuskrip kuno menyatakan bahawa jangka waktu ini merangkumi masa orang Israel tinggal di Mesir dan di Kanaan.