Keluaran 16:1-36
16 Sesudah itu, seluruh umat Israel berangkat dari Elim. Pada hari ke-15, bulan kedua, setelah mereka meninggalkan Mesir, mereka tiba di padang belantara Sin,+ yang terletak di antara Elim dengan Sinai.
2 Di padang belantara itu, seluruh umat Israel mula bersungut-sungut terhadap Musa dan Harun.+
3 Mereka asyik berkata, “Lebih baik kami mati di bawah tangan Yehuwa di Mesir. Di sana sekurang-kurangnya kami dapat makan daging dan roti sampai puas.+ Tetapi sekarang kamu telah membawa kami ke padang belantara ini supaya kami semua mati kelaparan.”+
4 Yehuwa berfirman kepada Musa, “Sekarang Aku akan menghujani kamu semua dengan roti dari syurga.+ Setiap hari, kamu masing-masing harus keluar mengumpulkan roti yang diperlukan untuk hari itu.+ Dengan demikian, Aku dapat menguji sama ada umat ini akan mematuhi hukum-Ku atau tidak.+
5 Tetapi pada hari yang keenam,+ mereka harus mengumpulkan dua kali lebih banyak makanan+ daripada apa yang biasanya dikumpulkan pada hari-hari lain. Mereka harus mengumpulkan makanan dan menyediakannya terlebih dahulu.”
6 Maka Musa dan Harun berkata kepada seluruh umat Israel, “Pada waktu petang, kamu semua pasti akan tahu bahawa Yehuwalah yang telah membawa kamu keluar dari Mesir.+
7 Pada waktu pagi, kamu akan melihat kemuliaan Yehuwa. Yehuwa telah mendengar sungutan kamu terhadap-Nya. Siapakah kami ini sehingga kamu bersungut-sungut terhadap kami?”
8 Musa menyambung, “Yehuwa akan memberi kamu daging pada waktu petang dan roti pada waktu pagi. Kamu akan memakannya sehingga puas. Dengan demikian, kamu akan tahu bahawa Yehuwa telah mendengar sungutan kamu terhadap-Nya. Siapakah kami ini sehingga kamu bersungut-sungut terhadap kami? Sesungguhnya, sungutan kamu bukanlah terhadap kami, tetapi terhadap Yehuwa.”+
9 Kemudian Musa berkata kepada Harun, “Beritahulah segenap umat Israel, ‘Datanglah menghadap Yehuwa, kerana Dia telah mendengar sungutan kamu semua.’”+
10 Setelah Harun habis berucap, seluruh umat Israel memandang ke arah padang belantara. Kemuliaan Yehuwa kelihatan di dalam awan.+
11 Sekali lagi, Yehuwa berfirman kepada Musa,
12 “Aku telah mendengar sungutan orang Israel.+ Beritahulah mereka, ‘Pada waktu senja,* kamu akan memakan daging, dan pada waktu pagi, kamu akan memakan roti sehingga puas.+ Dengan itu, kamu pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.’”+
13 Pada petang itu, burung puyuh datang dan meliputi seluruh perkhemahan mereka.+ Pada waktu pagi pula, terdapat lapisan embun di sekeliling perkhemahan.
14 Setelah embun itu mengewap, sesuatu yang halus seperti salji kelihatan di atas tanah.+
15 Apabila orang Israel melihatnya, mereka tidak tahu apa benda itu. Mereka bertanya sesama sendiri, “Apakah benda ini?” Musa menjawab, “Inilah makanan yang dikurniakan oleh Yehuwa kepada kamu semua.+
16 Inilah perintah Yehuwa, ‘Setiap orang harus mengumpulkan makanan menurut keperluannya. Kamu harus mengumpulkan makanan menurut jumlah orang yang tinggal di dalam khemah kamu. Setiap orang harus mendapat satu omer.’”*+
17 Orang Israel berbuat demikian. Ada yang mengumpulkan banyak dan ada pula yang mengumpulkan sedikit.
18 Apabila mereka menyukatnya, orang yang mengumpulkan banyak tidak berkelebihan, dan orang yang mengumpulkan sedikit tidak berkekurangan.+ Setiap orang telah mengumpulkan makanan menurut keperluannya.
19 Musa berkata kepada mereka, “Tiada sesiapa yang boleh menyimpan makanan walau sedikit pun sehingga pagi esok.”+
20 Tetapi ada yang mengingkari kata-kata Musa lalu menyimpan makanan itu. Pagi esoknya, makanan itu berulat dan berbau busuk. Maka Musa marah dengan mereka.
21 Setiap pagi mereka mengumpulkan makanan menurut keperluan masing-masing, dan apabila matahari panas terik, makanan yang tertinggal mencair.
22 Pada hari keenam, mereka mengumpulkan dua kali lebih banyak makanan,+ iaitu dua omer untuk setiap orang. Jadi para pemimpin orang Israel datang dan memberitahukan hal itu kepada Musa.
23 Musa berkata kepada mereka, “Yehuwa telah berfirman, ‘Esok ialah hari rehat yang suci, hari Sabat* bagi Aku, Yehuwa.+ Oleh itu, bakarlah apa yang hendak kamu bakar, dan rebuslah apa yang hendak kamu rebus.+ Hendaklah kamu menyimpan makanan yang selebihnya untuk pagi esok.’”
24 Sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Musa, mereka menyimpan lebihan makanan itu sampai keesokan harinya. Makanan itu tidak menjadi basi dan tidak berulat.
25 Kemudian Musa berkata, “Makanlah makanan itu pada hari ini, kerana hari ini hari Sabat bagi Yehuwa. Kamu tidak dapat mengumpulkan sebarang makanan pada hari ini.
26 Selama enam hari kamu akan mengumpulkan makanan. Tetapi pada hari ketujuh, hari Sabat,+ tidak ada makanan untuk dipungut.”
27 Pada hari ketujuh, ada juga orang yang keluar untuk mengumpulkan makanan, tetapi mereka tidak menjumpai apa-apa.
28 Maka Yehuwa berfirman kepada Musa, “Sampai bila umat ini enggan mematuhi perintah dan hukum-Ku?+
29 Ingatlah bahawa Aku, Yehuwa, telah memerintahkan kamu merayakan hari Sabat.+ Itulah sebabnya pada hari keenam, Aku memberi kamu makanan untuk dua hari. Pada hari ketujuh, semua orang mesti berada di tempat kediaman masing-masing, dan tidak boleh pergi ke mana-mana.”
30 Maka orang Israel merayakan hari Sabat pada hari ketujuh.+
31 Orang Israel menamakan makanan itu “manna.”* Rupanya seperti biji-biji kecil* yang berwarna putih, dan rasanya seperti kuih nipis yang bercampur madu.+
32 Kemudian Musa berkata, “Inilah perintah Yehuwa, ‘Simpanlah satu omer manna untuk keturunan kamu.+ Dengan demikian, mereka dapat melihat makanan yang Aku berikan kepada kamu di padang belantara, ketika Aku membawa kamu keluar dari Mesir.’”
33 Maka Musa berkata kepada Harun, “Ambillah sebuah bekas dan simpanlah satu omer manna di dalamnya. Letakkanlah bekas itu di hadapan Yehuwa untuk disimpan secara turun-temurun.”+
34 Harun meletakkan bekas itu di hadapan sebuah kotak khas*+ untuk disimpan, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.
35 Orang Israel memakan manna selama 40 tahun+ sehingga mereka tiba di kawasan yang berpenduduk.+ Mereka memakan manna sehingga mereka tiba di sempadan tanah Kanaan.+
36 Satu omer sama dengan satu persepuluh efa.*
Nota Kaki
^ Iaitu, selepas matahari terbenam, tetapi sebelum hari menjadi gelap sepenuhnya.
^ Lihat Lampiran B14.
^ Harfiah, “biji-biji ketumbar.”
^ Mungkin daripada ungkapan Ibrani yang bererti “Apa itu?”
^ Kotak yang digunakan untuk menyimpan benda-benda yang penting sebagai peringatan.
^ 1 efa = 22 L.