Keluaran 2:1-25
2 Pada masa itu, seorang lelaki daripada suku Lewi mengahwini anak perempuan Lewi.+
2 Wanita itu mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Apabila dia melihat betapa comelnya bayi itu, dia menyembunyikan bayinya selama tiga bulan.+
3 Namun, apabila dia tidak dapat menyembunyikan bayinya lagi,+ dia mengambil sebuah bakul* yang diperbuat daripada papirus* dan menyalutnya dengan tar. Dia memasukkan bayinya ke dalam bakul itu lalu meletakkannya di tengah-tengah rumput tinggi di pinggir Sungai Nil.
4 Kakak bayi itu+ berdiri tidak jauh dari situ untuk melihat apa yang akan berlaku kepada bayi itu.
5 Puteri Firaun turun ke Sungai Nil untuk mandi, sementara dayang-dayangnya berjalan di tepi sungai. Dia ternampak bakul itu di tengah-tengah rumput tinggi, lalu dia segera memanggil seorang hamba perempuan untuk mengambilnya.+
6 Dia membuka bakul itu dan nampak seorang bayi lelaki yang sedang menangis. Dia berkata, “Ini bayi orang Ibrani.” Meskipun demikian, dia berasa kasihan terhadap bayi itu.
7 Kemudian kakak bayi itu berkata kepada puteri Firaun, “Bolehkah hamba pergi memanggil seorang wanita Ibrani untuk menyusui dan menjaga anak ini?”
8 Puteri Firaun menjawab, “Baik, pergilah.” Gadis itu segera pergi dan memanggil ibu bayi tersebut.+
9 Puteri Firaun berkata kepada wanita itu, “Bawalah anak ini dan susuilah dia untukku. Aku akan memberimu upah.” Maka wanita itu mengambil bayi tersebut dan menyusuinya.
10 Apabila anak itu sudah besar, wanita itu membawanya kepada puteri Firaun, lalu puteri Firaun menjadikan dia anak angkatnya.+ Puteri Firaun menamakannya Musa* sebab katanya, “Aku telah menariknya keluar dari air.”+
11 Apabila Musa sudah dewasa, dia pergi melawat saudara-saudaranya, dan dia melihat kerja berat yang terpaksa ditanggung oleh mereka.+ Dia juga nampak seorang lelaki Mesir memukul seorang lelaki Ibrani, iaitu orang yang sebangsa dengannya.
12 Musa melihat di sekelilingnya, dan apabila dia nampak tiada orang lain di situ, dia membunuh orang Mesir itu lalu menyembunyikan mayatnya di dalam pasir.+
13 Pada keesokan harinya, dia keluar lagi lalu melihat dua orang Ibrani sedang bergaduh. Maka dia berkata kepada orang yang bersalah, “Mengapakah kamu memukul saudaramu?”+
14 Orang itu menjawab, “Siapakah yang melantik kamu untuk menjadi pemimpin dan hakim kami? Adakah kamu mahu membunuh aku seperti kamu membunuh orang Mesir itu?”+ Musa menjadi takut dan berfikir, “Pastilah hal itu sudah diketahui orang!”
15 Firaun mendengar hal itu dan mahu membunuh Musa. Tetapi Musa melarikan diri ke Midian dan tinggal di sana.+ Apabila dia tiba, Musa berehat dekat sebuah perigi.
16 Imam Midian+ mempunyai tujuh orang anak perempuan. Mereka datang untuk menimba air dan mengisi palung untuk memberi minum kepada ternakan ayah mereka.
17 Namun, seperti biasa para gembala datang dan mengusir mereka. Oleh itu, Musa berdiri untuk membantu mereka dan memberi minum kepada ternakan mereka.
18 Apabila mereka pulang, Rehuel,*+ ayah mereka bertanya, “Mengapa kamu cepat sekali pulang hari ini?”
19 Mereka menjawab, “Seorang lelaki Mesir+ telah menyelamatkan kami daripada gembala-gembala itu. Dia juga menimba air untuk kami dan memberi minum kepada ternakan kita.”
20 Bapa mereka berkata, “Di manakah orang itu? Mengapa kamu meninggalkannya? Pergilah jemput dia untuk makan bersama kita.”
21 Kemudian Musa bersetuju untuk tinggal dengan mereka. Rehuel mengahwinkan anak perempuannya Zipora,+ dengan Musa.
22 Zipora kemudiannya melahirkan seorang anak lelaki. Musa berkata, “Aku telah menjadi orang asing di negeri ini.+ Itulah sebabnya aku menamakan anak ini Gersom.”*+
23 Bertahun-tahun kemudian, raja Mesir meninggal.+ Tetapi orang Israel masih merintih dan berseru meminta tolong kerana diperhamba. Seruan mereka sampai kepada Tuhan yang benar.+
24 Tuhan mendengar rintihan mereka.+ Dia tidak lupa akan perjanjian-Nya dengan Abraham, Ishak, dan Yakub.+
25 Tuhan memperhatikan keadaan orang Israel dan Dia mengambil berat tentang mereka.