Keluaran 22:1-31
22 “Jika seseorang mencuri seekor lembu jantan atau biri-biri lalu menyembelih atau menjualnya, dia mesti mengganti seekor lembu dengan lima ekor lembu, dan seekor biri-biri dengan empat ekor biri-biri.+
2 (“Jika seorang pencuri+ didapati memecah masuk ke dalam rumah, lalu dia dibunuh, orang yang membunuhnya tidak berhutang darah.
3 Tetapi jika hal itu berlaku pada siang hari, orang yang membunuhnya berhutang darah.)
“Orang yang mencuri mesti membayar ganti rugi. Jika dia tidak mempunyai apa-apa, dia mesti dijual sebagai hamba untuk membayar apa yang telah dicurinya.
4 Jika yang dicuri itu lembu, keldai, ataupun biri-biri, dan didapati masih hidup dalam tangannya, dia harus membayar ganti rugi sebanyak dua kali ganda.
5 “Jika seseorang membiarkan ternakannya meragut rumput di ladang atau ladang anggur, lalu ternakannya memakan tanaman di ladang orang lain, dia mesti memberikan hasil yang terbaik dari ladang atau ladang anggurnya sendiri sebagai ganti rugi.
6 “Jika seseorang menyalakan api lalu api itu merebak ke semak dan ladang orang lain sehingga membakar tanaman bijirin yang sedang tumbuh atau tanaman bijirin yang sudah dituai atau seluruh ladang itu, orang yang menyalakan api itu mesti membayar ganti rugi.
7 “Jika seseorang diberi duit atau barangan untuk disimpan lalu semua itu dicuri dari rumahnya, pencuri itu mesti membayar ganti rugi dua kali ganda,+ jika dia ditangkap.
8 Tetapi jika pencuri tidak dapat ditangkap, orang yang diberi duit atau barangan itu mesti dibawa menghadap Tuhan yang benar*+ untuk menentukan sama ada dia yang mencuri barangan itu atau tidak.
9 Jika ada pertikaian antara dua pihak tentang lembu, keldai, biri-biri, pakaian, atau apa-apa yang sudah hilang, kerana salah seorang berkata, ‘Ini milik aku,’ mereka berdua harus dibawa menghadap Tuhan yang benar.+ Orang yang Aku nyatakan bersalah mesti membayar ganti rugi dua kali ganda.+
10 “Jika seseorang bersetuju menjaga keldai, lembu, biri-biri, atau ternakan kepunyaan orang lain, kemudian binatang itu mati, tercedera, atau dirampas semasa tidak ada orang menyaksikannya,
11 dia perlu bersumpah di hadapan Aku, Yehuwa, bahawa dia tidak mengambil ternakan tersebut, dan pemilik itu mesti menerima hal itu. Dia tidak perlu membayar ganti rugi.+
12 Tetapi jika binatang itu dicuri, dia perlu membayar ganti rugi kepada pemiliknya.
13 Jika binatang itu mati diterkam binatang buas, dia perlu menunjukkan bangkai binatang itu sebagai bukti. Dia tidak perlu membayar ganti rugi.
14 “Jika seseorang meminjam seekor binatang lalu binatang itu cedera atau mati semasa pemiliknya tidak ada di tempat kejadian itu, dia harus membayar ganti rugi.
15 Tetapi jika pemiliknya ada di tempat kejadian itu, dia tidak perlu membayar ganti rugi. Jika binatang itu disewa, bayaran sewa itulah yang menjadi ganti ruginya.
16 “Jika seorang lelaki menggoda anak dara yang belum bertunang dan bersetubuh dengannya, dia mesti membayar mas kahwin dan berkahwin dengannya.+
17 Tetapi jika ayah anak dara itu tidak membenarkan lelaki itu mengahwini anaknya, lelaki itu masih perlu membayar mas kahwin yang telah ditetapkan bagi anak dara.
18 “Setiap perempuan yang melakukan sihir mesti dihukum mati.+
19 “Sesiapa yang melakukan hubungan seks dengan binatang mesti dihukum mati.+
20 “Sesiapa yang mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan lain, kecuali kepada Aku, Yehuwa, mesti dihukum mati.+
21 “Jangan menganiaya atau menindas orang asing,+ kerana dahulu kamu pun orang asing di Mesir.+
22 “Jangan menindas balu atau anak yatim.+
23 Jika kamu menindas mereka lalu mereka berseru kepada-Ku, Aku pasti akan mendengarkan seruan mereka.+
24 Kemurkaan-Ku akan berkobar, dan Aku akan membunuh kamu dengan pedang. Isteri kamu akan menjadi balu, dan anak-anak kamu akan menjadi yatim.
25 “Jika kamu meminjamkan wang kepada umat-Ku yang miskin dalam kalangan kamu, jangan bertindak seperti peminjam wang yang menuntut faedah daripadanya.+
26 “Jika kamu mengambil jubah orang lain sebagai jaminan hutangnya,+ kamu mesti mengembalikan jubah itu sebelum matahari terbenam.
27 Hal ini demikian kerana jubah itu sahajalah penutup tubuhnya. Jika dia tidak mempunyai jubah, apakah yang akan digunakannya semasa dia tidur?+ Apabila dia berseru kepada-Ku, Aku pasti akan mendengarkan seruannya, kerana Aku berbelas kasihan.+
28 “Jangan mengutuk Tuhan+ dan jangan mengutuk para pemimpin dalam kalangan kamu.+
29 “Jangan teragak-agak untuk mempersembahkan sebahagian daripada hasil tuaian, minyak, dan wain kamu yang melimpah kepada-Ku.+ Kamu mesti mengekhaskan setiap anak lelaki sulung kepada-Ku.+
30 Inilah yang harus kamu lakukan terhadap anak sulung lembu dan biri-biri kamu:+ Biarlah binatang itu bersama induknya selama tujuh hari. Tetapi pada hari kelapan, kamu harus mempersembahkannya kepada-Ku.+
31 “Kamu harus menjadi umat-Ku yang suci.+ Kamu tidak boleh memakan daging sebarang binatang yang mati diterkam oleh binatang buas di padang.+ Kamu mesti membuangkan daging itu kepada anjing.
Nota Kaki
^ Iaitu, dibawa menghadap para hakim yang mewakili Tuhan yang benar.