Keluaran 29:1-46

  • Pelantikan imam (1-37)

  • Persembahan harian (38-46)

29  “Lakukanlah hal-hal ini untuk menyucikan Harun dan anak-anak lelakinya supaya mereka dapat berkhidmat sebagai imam kepada-Ku. Ambillah seekor anak lembu jantan dan dua ekor bebiri jantan yang tidak ada kecacatan.+  Buatlah tiga jenis roti yang tidak beragi daripada tepung gandum yang terbaik: Roti yang berbentuk bulat, roti berbentuk gelang yang dicampurkan dengan minyak, dan roti nipis yang disapu dengan minyak.+  Letakkan semua roti itu di dalam bakul.+ Kemudian persembahkanlah roti itu bersama lembu jantan dan dua ekor bebiri jantan tersebut.  “Bawalah Harun dan anak-anak lelakinya ke hadapan pintu masuk khemah pertemuan,+ dan suruhlah mereka membasuh diri dengan air.+  Kemudian kenakanlah pakaian+ berikut pada Harun: Jubah yang bercorak petak, jubah yang tidak berlengan, efod, dan penutup dada. Pengikat yang dijahit pada efod haruslah diikatkan dengan rapi pada pinggangnya.+  Pakaikan serban di atas kepalanya dan ikatkan tanda pembaktian suci pada serban+ itu.  Ambillah minyak suci+ dan tuangkan minyak itu ke atas kepala Harun untuk mengurapinya.+  “Kemudian bawalah anak-anak lelaki Harun ke hadapan dan kenakanlah jubah-jubah pada mereka.+  Lilitkan pengikat pinggang jubah pada mereka, seperti yang telah engkau lakukan untuk Harun. Kenakanlah juga pengikat kepala pada mereka. Aku telah menetapkan bahawa Harun dan keturunannya akan sentiasa berkhidmat sebagai imam kepada-Ku.+ Beginilah caranya engkau melantik mereka untuk berkhidmat sebagai imam.+ 10  “Bawalah lembu jantan itu ke hadapan khemah pertemuan. Harun dan anak-anak lelakinya haruslah meletakkan tangan mereka di atas kepala lembu itu.+ 11  Kemudian, sembelihlah lembu itu di hadapan Aku, Yehuwa, iaitu di depan pintu masuk khemah pertemuan.+ 12  Ambillah sedikit darah lembu jantan itu, lalu dengan jarimu, sapukan darah itu pada tanduk-tanduk mazbah.+ Selepas itu, tuangkan sisa darah itu di bahagian bawah mazbah.+ 13  Ambillah semua lemak+ pada usus dan hati lembu itu, serta kedua-dua ginjal dengan lemaknya, lalu bakarlah semua itu sehingga asap naik dari mazbah.+ 14  Tetapi bakarlah daging, kulit, dan tahi lembu itu di luar perkhemahan. Buatlah semua ini sebagai korban dosa. 15  “Ambillah seekor bebiri jantan, lalu Harun dan anak-anak lelakinya haruslah meletakkan tangan mereka di atas kepala bebiri itu.+ 16  Kemudian, sembelihlah bebiri itu lalu ambillah darahnya dan percikkannya pada keempat-empat sisi mazbah.+ 17  Potonglah bebiri itu menjadi beberapa potongan. Basuhlah usus+ dan betisnya, lalu susunkan semua bahagian ini bersama dengan kepalanya. 18  Bakarlah seluruh bebiri jantan itu untuk Aku, Yehuwa, sehingga asap naik dari mazbah. Bau daripada korban yang dibakar ini menyenangkan hati-Ku.+ Inilah korban bakar untuk Aku, Yehuwa. 19  “Ambillah bebiri jantan yang satu lagi, lalu Harun dan anak-anak lelakinya haruslah meletakkan tangan mereka di atas kepala bebiri itu.+ 20  Sembelihlah bebiri itu lalu ambillah sedikit darahnya dan sapukannya pada cuping telinga kanan Harun dan cuping telinga kanan anak-anak lelakinya, ibu jari tangan kanan mereka, dan ibu jari kaki kanan mereka. Percikkan darah itu pada keempat-empat sisi mazbah juga. 21  Kemudian, ambillah sedikit darah dari mazbah dan sedikit minyak suci+ lalu percikkan semuanya pada Harun, anak-anaknya, dan pakaian mereka. Dengan ini, Harun, anak-anaknya, dan pakaian mereka akan menjadi suci.+ 22  “Ambillah lemak bebiri jantan itu, termasuk lemak pada usus dan hatinya. Ambillah juga ekornya yang berlemak, kedua-dua ginjal dengan lemaknya,+ dan kaki kanannya. Inilah bebiri yang dikorbankan semasa upacara pelantikan imam.+ 23  Daripada bakul roti tidak beragi yang terletak di hadapan Yehuwa, ambillah seketul roti berbentuk bulat, seketul roti berbentuk gelang yang dicampurkan dengan minyak, dan sekeping roti nipis. 24  Letakkan semuanya di tangan Harun dan tangan anak-anak lelakinya lalu engkau harus mengayunkannya ke depan dan belakang sebagai korban kepada Aku, Yehuwa. 25  Kemudian, ambillah korban itu daripada mereka dan bakarnya di atas mazbah bersama korban bakar untuk dipersembahkan kepada Aku, Yehuwa. Bau daripada korban ini menyenangkan hati-Ku. Inilah korban bakar untuk Aku, Yehuwa. 26  “Ambillah dada bebiri jantan yang dikorbankan semasa pelantikan Harun sebagai imam,+ dan ayunkannya ke depan dan belakang sebagai korban kepada Aku, Yehuwa. Bahagian ini akan menjadi milik engkau. 27  Sucikanlah bahagian-bahagian daripada bebiri jantan yang dikorbankan semasa pelantikan+ Harun dan anak-anak lelakinya, iaitu dada bebiri jantan yang telah diayunkan ke depan dan belakang sebagai korban dan kakinya yang menjadi milik imam. 28  Dada dan kaki bebiri ialah bahagian yang dikhaskan+ untuk para imam, dan akan menjadi milik Harun dan keturunannya. Semasa orang Israel mempersembahkan korban pendamaian,+ mereka haruslah sentiasa mematuhi perintah ini dengan mengekhaskan bahagian ini untuk Aku, Yehuwa. 29  “Pakaian-pakaian suci+ milik Harun akan digunakan oleh keturunannya+ apabila mereka diurapi dan dilantik sebagai imam. 30  Keturunan Harun yang menggantikannya sebagai imam, dan yang memasuki khemah pertemuan untuk bertugas di tempat suci, haruslah memakai pakaian itu selama tujuh hari.+ 31  “Ambillah daging bebiri yang dikorbankan semasa upacara pelantikan imam, dan rebuslah daging itu di tempat suci.+ 32  Harun dan anak-anak lelakinya haruslah memakan+ daging itu bersama roti yang ada di dalam bakul, di pintu masuk khemah pertemuan. 33  Mereka haruslah memakan semua ini yang telah dipersembahkan untuk pengampunan dosa semasa mereka dilantik sebagai imam dan disucikan. Tetapi orang lain* tidak boleh memakannya kerana makanan itu sesuatu yang suci.+ 34  Jika ada roti atau daging daripada bebiri yang dikorbankan itu yang tertinggal sampai keesokan paginya, roti atau daging itu mesti dibakar.+ Jangan memakannya kerana makanan itu sesuatu yang suci. 35  “Lakukanlah hal ini kepada Harun dan anak-anak lelakinya, sebagaimana yang telah Aku perintahkan kepada engkau. Laksanakanlah upacara pelantikan mereka selama tujuh hari.+ 36  Setiap hari, engkau haruslah mempersembahkan lembu jantan sebagai korban untuk memohon pengampunan dosa dan untuk menyucikan mazbah. Urapilah mazbah itu dengan minyak agar menjadi suci.+ 37  Persembahkanlah korban pengampunan dosa selama tujuh hari untuk menyucikan mazbah itu. Dengan berbuat demikian, mazbah itu akan menjadi suci sepenuhnya.+ Sesiapa yang bertugas di mazbah haruslah suci. 38  “Persembahkanlah dua ekor bebiri jantan yang berumur satu tahun di atas mazbah itu. Teruslah berbuat demikian setiap hari.+ 39  Persembahkanlah seekor bebiri pada waktu pagi dan seekor lagi pada waktu senja.*+ 40  Bersama bebiri yang pertama itu, persembahkanlah satu persepuluh efa* tepung yang terbaik, yang telah dicampurkan dengan satu perempat hin* minyak zaitun tulen, dan persembahkanlah juga satu perempat hin wain sebagai korban wain. 41  Pada waktu senja, persembahkanlah bebiri yang kedua bersama tepung yang terbaik dan korban wain kepada Aku, Yehuwa, sama seperti yang dipersembahkan pada waktu pagi. Bau daripada korban yang dibakar ini menyenangkan hati-Ku. 42  Keturunanmu haruslah sentiasa mempersembahkan korban bakar ini di pintu masuk khemah pertemuan di hadapan-Ku. Aku, Yehuwa, akan menampakkan diri dan berfirman kepadamu di sana.+ 43  “Di sana, Aku akan bertemu dengan orang Israel, dan kemuliaan-Ku+ akan menjadikan tempat itu suci. 44  Aku akan menyucikan khemah pertemuan dan mazbah. Aku juga akan menyucikan Harun dan anak-anak lelakinya+ supaya mereka dapat berkhidmat sebagai imam kepada-Ku. 45  Aku akan tinggal bersama umat Israel, dan Aku akan menjadi Tuhan mereka.+ 46  Mereka pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa, Tuhan mereka. Aku telah membawa mereka keluar dari Mesir supaya Aku dapat tinggal bersama mereka.+ Akulah Yehuwa, Tuhan mereka.

Nota Kaki

Iaitu, orang yang bukan keturunan Harun.
Iaitu, selepas matahari terbenam, tetapi sebelum hari menjadi gelap sepenuhnya.
1 efa = 22 L.
1 hin = 3.67 L.