Keluaran 36:1-38
36 “Bezaleel akan bekerja bersama Oholiab dan semua tukang yang mahir. Yehuwa telah mengurniai mereka pemahaman dan kebijaksanaan. Dengan demikian, mereka dapat melakukan semua pekerjaan yang berkaitan dengan khidmat suci, seperti yang telah diperintahkan oleh Yehuwa.”+
2 Maka Musa memanggil Bezaleel dan Oholiab serta semua tukang yang mahir. Mereka telah dikurniai kebijaksanaan daripada Yehuwa,+ dan hati mereka terdorong untuk melakukan pekerjaan itu secara sukarela.+
3 Musa memberi mereka segala sumbangan+ yang dibawa oleh orang Israel untuk pekerjaan suci. Sementara itu, orang Israel terus-menerus membawa sumbangan sukarela kepada Musa setiap pagi.
4 Para tukang yang mahir mula melakukan pekerjaan yang berkaitan dengan khemah suci. Kemudian mereka datang seorang demi seorang
5 kepada Musa dan berkata, “Umat ini telah memberikan lebih daripada apa yang diperlukan untuk pekerjaan yang diperintahkan oleh Yehuwa.”
6 Maka Musa mengarahkan agar pengumuman ini dibuat di seluruh perkhemahan: “Hai umat Israel, usahlah membawa sumbangan untuk khemah suci lagi.” Dengan demikian, mereka tidak lagi memberikan apa-apa sumbangan.
7 Bahan-bahan yang sudah disumbangkan lebih daripada cukup untuk menyelesaikan segala pekerjaan itu.
8 Tukang-tukang yang mahir+ membuat 10 helai kain untuk khemah suci.+ Kain-kain itu dibuat daripada kain linen halus yang dipintal, benang biru, benang merah, dan kain bulu yang dicelup ungu. Bezaleel menyulam kain-kain itu dengan gambar kerub.+
9 Ukuran setiap kain itu sama, iaitu 12.5 meter panjang dan 1.8 meter lebar.*
10 Bezaleel menyambungkan lima helai kain itu menjadi sehelai kain besar. Dia juga berbuat demikian dengan lima helai kain yang lain.
11 Kemudian dia membuat gelung-gelung daripada benang biru pada pinggir kain besar itu. Dia juga berbuat demikian pada pinggir kain besar yang satu lagi supaya kedua-duanya dapat disambungkan.
12 Dia membuat 50 gelung pada pinggir kain besar itu, dan 50 gelung pada pinggir kain besar yang satu lagi, supaya gelungan pada kedua-dua helai kain itu saling berpadanan apabila disambungkan.
13 Akhirnya, dia membuat 50 bentuk cangkuk emas untuk menyambungkan kedua-dua kain itu, supaya mendapat sehelai kain yang besar untuk khemah suci.
14 Dia membuat 11 helai kain daripada bulu kambing untuk dijadikan penutup khemah suci.+
15 Kesemua kain yang berjumlah 11 helai itu mempunyai ukuran yang sama, iaitu 13.4 meter panjang dan 1.8 meter lebar.*
16 Dia menyambungkan lima helai kain menjadi sehelai kain besar. Dia juga berbuat demikian dengan enam helai kain yang lain.
17 Seterusnya dia membuat 50 gelung pada pinggir kain besar itu, dan 50 gelung pada pinggir kain besar yang satu lagi, supaya kedua-duanya dapat disambungkan.
18 Dia membuat 50 bentuk cangkuk tembaga untuk menyambungkan kedua-dua kain itu, supaya mendapat sehelai kain khemah yang besar.
19 Dia membuat sehelai penutup khemah daripada kulit bebiri jantan yang dicelup merah, dan membuat sehelai lagi daripada kulit anjing laut untuk diletakkan di atasnya.+
20 Dia juga membuat rangka-rangka daripada kayu akasia.+ Rangka-rangka itu ditegakkan supaya membentuk dinding khemah suci.+
21 Setiap rangka berukuran 445 sentimeter tinggi dan kira-kira 67 sentimeter lebar.*
22 Setiap rangka mempunyai dua unjuran yang bersebelahan. Semua rangka untuk khemah suci mempunyai unjuran seperti itu.
23 Dia membuat 20 rangka untuk bahagian selatan khemah suci.
24 Kemudian dia membuat 40 buah alas daripada perak dan meletakkan alas-alas itu di bawah 20 rangka khemah, iaitu 2 buah alas di bawah setiap rangka untuk menyangga kedua-dua unjurannya.+
25 Dia juga membuat 20 rangka untuk bahagian utara khemah suci.
26 Kemudian dia membuat 40 buah alas daripada perak, dan meletakkan 2 buah alas di bawah setiap rangka.
27 Dia telah membuat enam rangka untuk bahagian belakang khemah suci yang menghadap barat.+
28 Dia membuat dua rangka untuk menyokong kedua-dua sudut belakang khemah suci.
29 Rangka itu mempunyai dua batang kayu yang bahagian atasnya disambungkan pada gelang yang pertama. Demikianlah dia membuat rangka-rangka yang menyokong kedua-dua sudut belakang khemah suci.
30 Oleh itu, semuanya ada lapan rangka dengan 16 buah alas daripada perak, iaitu 2 buah alas di bawah setiap rangka.
31 Dia membuat kayu lintang daripada kayu akasia untuk menyambungkan rangka-rangka khemah: Lima batang untuk rangka-rangka pada satu sisi khemah,+
32 lima batang pada sisi yang lain, dan lima batang lagi di bahagian belakang khemah yang menghadap barat.
33 Dia membuat kayu lintang untuk bahagian tengah rangka dan memasangnya dari satu hujung ke hujung yang lain khemah itu.
34 Dia menyaluti semua rangka khemah dan semua kayu lintang dengan emas. Dia juga membuat gelang-gelang emas untuk menyangga kayu-kayu lintang itu.+
35 Dia membuat tirai+ daripada benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus yang dipintal. Dia menyulam tirai itu dengan gambar kerub.+
36 Dia membuat empat batang tiang kayu akasia yang bersalut emas dan cangkuk-cangkuk emas untuk tirai itu. Dia juga membuat empat buah alas perak untuk tiang-tiang itu.
37 Kemudian dia menenun tabir untuk pintu masuk khemah. Tabir itu dibuat daripada benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus yang dipintal.+
38 Dia membuat lima batang tiang dengan cangkuk-cangkuknya untuk tabir tersebut. Selepas itu, dia menyaluti bahagian atas tiang dan penghubung-penghubungnya* dengan emas. Dia juga membuat lima buah alas tiang daripada tembaga.
Nota Kaki
^ Harfiah, “28 hasta panjang dan 4 hasta lebar.” Lihat Lampiran B14.
^ Harfiah, “30 hasta panjang dan 4 hasta lebar.”
^ Harfiah, “10 hasta tinggi dan 1.5 hasta lebar.” Lihat Lampiran B14.
^ Atau “gelang-gelangnya.”