Keluaran 8:1-32
8 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap Firaun dan katakanlah kepadanya, ‘Inilah firman Yehuwa: “Benarkanlah umat-Ku pergi agar mereka dapat menyembah Aku.+
2 Jika engkau masih enggan berbuat demikian, Aku akan memenuhi negerimu dengan katak+ sebagai hukuman.
3 Sungai Nil akan penuh dengan katak, sehingga katak akan masuk ke istanamu, ke bilik tidur dan katilmu, ke rumah pegawaimu dan rakyatmu, bahkan ke dalam ketuhar dan bekas adunan roti.+
4 Katak akan menyerangmu, rakyatmu, dan semua pegawaimu.”’”
5 Yehuwa berfirman lagi kepada Musa, “Katakanlah kepada Harun, ‘Ambillah tongkatmu dan hulurkannya ke arah sungai, saluran air Sungai Nil, dan paya, supaya katak muncul dan meliputi seluruh negeri Mesir.’”
6 Maka Harun menghulurkan tongkatnya ke arah sumber air di Mesir, lalu katak muncul dan meliputi seluruh negeri Mesir.
7 Akan tetapi, tukang-tukang sihir Mesir juga menggunakan ilmu sihir mereka dan menyebabkan katak muncul di seluruh negeri Mesir.+
8 Firaun memanggil Musa dan Harun lalu berkata, “Mohonlah kepada Yehuwa supaya katak-katak ini meninggalkan beta dan rakyat beta,+ kerana beta sudi membenarkan umat Israel pergi untuk mempersembahkan korban kepada Yehuwa.”
9 Musa berkata kepada Firaun, “Hamba akan menurut perintah tuanku. Tuanku tentukanlah bila hamba patut merayu bagi pihak tuanku agar katak-katak ini meninggalkan tuanku, pegawai tuanku, rakyat tuanku, dan rumah-rumah tuanku. Tiada lagi yang akan tinggal kecuali katak di dalam Sungai Nil.”
10 Firaun menjawab, “Esok.” Jadi Musa berkata, “Segala-galanya akan terjadi menurut permintaan tuanku, agar tuanku tahu bahawa tiada sesiapa pun yang setanding Yehuwa,+ Tuhan hamba sekalian.
11 Katak-katak ini akan meninggalkan tuanku, rumah-rumah tuanku, pegawai tuanku, dan rakyat tuanku. Tiada lagi yang akan tinggal kecuali katak di dalam Sungai Nil.”+
12 Maka Musa dan Harun meninggalkan Firaun. Musa berseru kepada Yehuwa agar menghapuskan katak-katak yang didatangkan-Nya kepada Firaun.+
13 Yehuwa mengabulkan permintaan Musa lalu katak-katak di dalam rumah, di halaman, dan di ladang, semuanya mati.
14 Orang Mesir mengumpulkan bangkai-bangkai katak itu sampai bertimbun-timbun, sehingga seluruh Mesir berbau busuk.
15 Apabila Firaun nampak bahawa semua katak sudah mati, dia berkeras hati+ semula dan enggan mendengarkan Musa dan Harun, sebagaimana yang telah difirmankan oleh Yehuwa.
16 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Katakanlah kepada Harun, ‘Pukullah tanah dengan tongkatmu, dan debu akan berubah menjadi agas* di seluruh Mesir.’”
17 Mereka pun berbuat demikian. Harun menghulurkan tongkatnya dan memukul tanah, lalu debu di seluruh Mesir berubah menjadi agas+ yang menyerang manusia dan binatang.
18 Tukang-tukang sihir mencuba menggunakan ilmu sihir mereka+ untuk melakukan hal yang sama, tetapi mereka gagal. Maka manusia dan binatang diseksa agas.
19 Tukang-tukang sihir itu berkata kepada Firaun, “Kuasa suci Tuhan*+ yang membolehkan hal ini terjadi!” Namun Firaun tetap berkeras hati dan enggan mendengarkan Musa dan Harun, sebagaimana yang telah difirmankan oleh Yehuwa.
20 Yehuwa berfirman kepada Musa, “Bangunlah pada awal pagi esok dan pergilah menghadap Firaun, semasa dia pergi ke sungai. Engkau harus berkata, ‘Inilah firman Yehuwa: “Benarkanlah umat-Ku pergi untuk beribadat kepada-Ku.
21 Namun jika engkau enggan berbuat demikian, Aku akan mendatangkan lalat besar* kepadamu, para pegawaimu, dan rakyatmu. Rumah-rumah orang Mesir dan bahkan seluruh tanah Mesir akan diliputi lalat besar.
22 Pada hari itu, Aku akan mengasingkan kawasan Gosyen, tempat tinggal umat-Ku. Lalat besar tidak akan terdapat di sana.+ Dengan demikian, engkau akan tahu bahawa Aku, Yehuwa, berkuasa atas seluruh bumi ini.+
23 Aku akan membezakan umat-Ku daripada rakyatmu. Mukjizat ini akan berlaku pada hari esok.”’”
24 Yehuwa melakukan apa yang telah difirmankan-Nya. Dia mendatangkan lalat besar yang sangat banyak ke istana Firaun dan rumah para pegawainya serta di seluruh Mesir.+ Kawanan lalat besar itu menyerang seluruh Mesir.+
25 Akhirnya Firaun memanggil Musa dan Harun lalu berkata, “Pergilah, persembahkanlah korban kepada Tuhan kamu di negeri beta.”
26 Tetapi Musa menjawab, “Hamba semua tidak boleh berbuat begitu. Orang Mesir akan tersinggung apabila melihat binatang yang hamba semua persembahkan kepada Yehuwa, Tuhan hamba semua.+ Jika hamba semua mempersembahkan korban yang menyinggung perasaan mereka, hamba semua akan direjam.
27 Hamba semua akan pergi sejauh tiga hari perjalanan ke padang belantara untuk mempersembahkan korban kepada Yehuwa, Tuhan hamba semua, seperti yang telah diperintahkan-Nya.”+
28 Lalu Firaun berkata, “Beta akan membenarkan kamu pergi untuk mempersembahkan korban kepada Yehuwa, Tuhan kamu, di padang belantara. Tetapi kamu tidak boleh pergi terlalu jauh. Buatlah permohonan untuk beta.”+
29 Maka Musa berkata, “Hamba akan pergi dan berdoa kepada Yehuwa. Esok kawanan lalat besar itu akan meninggalkan tuanku, pegawai-pegawai tuanku, dan rakyat tuanku. Tetapi janganlah tipu hamba semua lagi dan menghalang hamba semua pergi mempersembahkan korban kepada Yehuwa.”+
30 Kemudian Musa meninggalkan Firaun lalu berdoa kepada Yehuwa.+
31 Yehuwa mengabulkan doa Musa. Semua lalat besar itu meninggalkan Firaun, pegawai-pegawainya, dan rakyatnya. Tidak ada seekor pun yang tertinggal.
32 Akan tetapi, Firaun masih berdegil, dan dia tidak membenarkan orang Israel pergi.