Keluaran 9:1-35

  • Tulah 5: Ternakan mati (1-7)

  • Tulah 6: Bisul pada manusia dan binatang (8-12)

  • Tulah 7: Hujan batu (13-35)

    • Firaun melihat kuasa Tuhan (16)

    • Nama Yehuwa diisytiharkan (16)

9  Maka Yehuwa berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap Firaun dan katakanlah kepadanya, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Ibrani: “Benarkanlah umat-Ku pergi untuk beribadat kepada-Ku.+ 2  Tetapi jika engkau menghalang mereka dan enggan membenarkan mereka pergi, 3  Aku, Yehuwa, akan menghulurkan tangan-Ku+ untuk menyerang ternakanmu di padang. Kuda, keldai, unta, lembu, dan biri-birimu akan dijangkiti penyakit yang teruk.+ 4  Aku, Yehuwa, pasti akan membezakan ternakan orang Israel daripada ternakan orang Mesir. Tiada seekor pun ternakan orang Israel yang akan mati.”’”+ 5  Yehuwa telah menetapkan masa untuk melaksanakan hal ini. Dia berfirman, “Aku, Yehuwa, akan berbuat demikian di negeri ini pada hari esok.” 6  Yehuwa berbuat demikian pada keesokan harinya, dan semua ternakan orang Mesir mati.+ Tetapi tiada seekor pun ternakan orang Israel yang mati. 7  Apabila Firaun menanyakan apa yang telah berlaku, dia diberitahu bahawa tiada seekor pun ternakan orang Israel yang mati. Namun dia masih berdegil dan enggan membenarkan orang Israel pergi.+ 8  Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa dan Harun, “Ambillah abu dari relau dengan kedua-dua tangan kamu, dan Musa harus menghamburkannya ke udara di hadapan Firaun. 9  Abu itu akan menjadi debu halus yang tersebar ke seluruh Mesir, dan akan menimbulkan bisul yang bernanah pada manusia dan binatang di seluruh Mesir.” 10  Maka mereka mengambil abu dari relau dan pergi menghadap Firaun. Musa menghamburkannya ke udara, lalu abu itu menimbulkan bisul yang bernanah pada manusia dan binatang. 11  Tukang-tukang sihir tidak dapat bertemu dengan Musa kerana mereka diliputi bisul seperti orang Mesir yang lain.+ 12  Tetapi Yehuwa membiarkan Firaun berkeras hati. Dia tidak mendengarkan Musa dan Harun, seperti yang telah difirmankan oleh Yehuwa.+ 13  Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Bangunlah pada awal pagi esok dan pergilah menghadap Firaun lalu beritahulah dia, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Ibrani: “Benarkanlah umat-Ku pergi untuk beribadat kepada-Ku. 14  Jika tidak, Aku akan mendatangkan tulah kepadamu, para pegawaimu, dan rakyatmu. Dengan demikian, engkau akan tahu bahawa tiada sesiapa pun seperti Aku di seluruh bumi.+ 15  Sebenarnya, jika Aku menghulurkan tangan-Ku untuk menghukummu dan rakyatmu dengan wabak penyakit yang teruk, tentu kamu semua sudah lenyap dari muka bumi ini. 16  Namun Aku membenarkan engkau hidup supaya Aku dapat menunjukkan kuasa-Ku kepadamu, dan supaya nama-Ku diisytiharkan ke seluruh bumi.+ 17  Adakah engkau masih angkuh terhadap umat-Ku dan enggan membenarkan mereka pergi? 18  Kira-kira waktu ini esok, Aku akan menurunkan hujan batu yang dahsyat, yang belum pernah berlaku sepanjang sejarah Mesir. 19  Maka perintahkanlah agar ternakan dan segala milikmu yang berada di ladang dibawa ke tempat terlindung. Semua manusia dan binatang yang berada di luar dan tidak terlindung akan mati ditimpa hujan batu.”’” 20  Beberapa orang pegawai Firaun takut akan Yehuwa. Maka, mereka cepat-cepat membawa hamba dan ternakan mereka ke tempat yang terlindung. 21  Tetapi mereka yang tidak mempedulikan firman Yehuwa membiarkan hamba dan ternakan mereka di luar. 22  Yehuwa berfirman kepada Musa, “Angkatlah tanganmu ke arah langit, lalu hujan batu akan turun di seluruh Mesir.+ Hujan ini akan menimpa manusia, ternakan, dan segala tumbuhan di Mesir.”+ 23  Maka Musa mengangkat tongkatnya ke arah langit, lalu Yehuwa mendatangkan guruh dan menurunkan hujan batu dan api.* Yehuwa terus membuat hujan batu turun di seluruh Mesir. 24  Hujan batu turun, dan kilat sabung-menyabung. Hujan batu yang dahsyat ini belum pernah berlaku sepanjang sejarah Mesir.+ 25  Hujan batu yang turun di seluruh Mesir memusnahkan segala sesuatu yang berada di luar, termasuk manusia, ternakan, dan tumbuhan. Pokok-pokok di ladang pun tumbang akibat hujan batu itu.+ 26  Hanya kawasan Gosyen, tempat tinggal orang Israel, tidak ditimpa hujan batu.+ 27  Oleh itu Firaun memanggil Musa dan Harun lalu berkata, “Kali ini beta sudah berdosa. Yehuwa melakukan apa yang benar. Beta dan rakyat beta bersalah. 28  Berdoalah kepada Yehuwa supaya guruh dan hujan batu berhenti. Setelah itu beta akan membenarkan kamu pergi, dan kamu tidak akan tinggal di sini lagi.” 29  Musa berkata kepadanya, “Sebaik sahaja hamba keluar dari kota, hamba akan menadahkan tangan untuk berdoa kepada Yehuwa. Guruh dan hujan batu akan berhenti, dan tuanku akan tahu bahawa bumi ini milik Yehuwa.+ 30  Meskipun begitu, hamba tahu bahawa tuanku dan pegawai-pegawai tuanku tidak akan takut kepada Yehuwa.” 31  Pada masa itu, tanaman flaks* dan barli musnah, kerana barli sudah matang dan flaks sedang berbunga. 32  Tetapi gandum* tidak musnah kerana belum matang. 33  Kemudian Musa meninggalkan Firaun dan keluar dari kota itu. Dia menadahkan tangannya untuk berdoa kepada Yehuwa, lalu guruh, hujan batu, dan hujan pun berhenti.+ 34  Apabila Firaun nampak bahawa hujan, guruh, dan hujan batu sudah berhenti, dia berdosa sekali lagi kerana dia berkeras hati.+ Ya, dia dan para pegawainya tetap berkeras hati. 35  Sebagaimana yang difirmankan oleh Yehuwa melalui Musa, Firaun tetap berdegil dan enggan membenarkan orang Israel pergi.+

Nota Kaki

Mungkin merujuk kepada kilat.
Sejenis tumbuhan yang ditanam sejak masa kuno. Gentiannya digunakan untuk membuat kain linen.
Dalam ayat ini, teks Ibrani menyebutkan dua jenis gandum, dan salah satunya bermutu rendah.