Kisah 12:1-25

  • Yakobus dibunuh; Petrus dipenjarakan (1-5)

  • Petrus dibebaskan secara mukjizat (6-19)

  • Malaikat menyebabkan Herodes diserang penyakit (20-25)

12  Sekitar masa itu, Raja Herodes mula menganiaya beberapa orang anggota sidang.+  Saudara kandung Yohanes,+ iaitu Yakobus, telah dibunuhnya dengan pedang.+  Apabila dia melihat bahawa perbuatan itu menyenangkan orang Yahudi, dia juga menangkap Petrus. (Hal ini berlaku semasa Perayaan Roti Tidak Beragi.)+  Setelah Petrus ditangkap, Herodes memenjarakannya.+ Ada empat kumpulan askar yang bergilir-gilir menjaganya, dan setiap kumpulan terdiri daripada empat orang askar. Herodes bercadang untuk menghadapkannya kepada* orang ramai selepas Perayaan Paska.*  Oleh itu Petrus ditahan di penjara. Tetapi sidang terus berdoa kepada Tuhan dengan bersungguh-sungguh untuknya.+  Pada malam sebelum Herodes menghadapkan Petrus kepada orang ramai, Petrus tidur terbelenggu dengan dua rantai di antara dua orang askar, dan ada pengawal yang sedang berjaga di depan pintu penjara.  Tiba-tiba, malaikat Yehuwa* berdiri di situ,+ dan cahaya bersinar di dalam bilik penjara itu. Malaikat tersebut menggoyang-goyang Petrus untuk mengejutkannya daripada tidur sambil berkata, “Cepatlah bangun!” Ketika itu, rantai pun jatuh dari tangan Petrus.+  Malaikat itu berkata kepadanya, “Ikatlah pinggangmu dan pakailah kasutmu.” Petrus pun berbuat demikian. Kemudian malaikat itu berkata, “Pakailah jubah luarmu dan ikutlah aku.”  Petrus pun mengikut malaikat itu keluar, tetapi dia tidak tahu bahawa apa yang dilakukan oleh malaikat itu benar-benar berlaku. Sebenarnya, dia menyangka bahawa semua itu hanyalah suatu penglihatan. 10  Setelah mereka berjalan melalui tempat pertama dan kedua yang dijaga oleh kumpulan askar, mereka tiba di pintu besi yang menuju ke kota. Pintu itu terbuka dengan sendiri, lalu mereka keluar. Mereka berjalan melalui satu lorong, dan malaikat itu segera meninggalkannya. 11  Barulah Petrus menyedari apa yang sedang berlaku. Dia berkata, “Sekarang aku benar-benar tahu bahawa Yehuwa* telah mengutus malaikat-Nya untuk menyelamatkan aku daripada tangan Herodes, dan daripada segala perkara yang ingin dilakukan oleh orang Yahudi terhadapku.”+ 12  Setelah menyedari apa yang berlaku, Petrus pergi ke rumah Maria, iaitu ibu kepada Yohanes yang dipanggil Markus.+ Pada masa itu, ramai murid sedang berkumpul dan berdoa di situ. 13  Apabila Petrus mengetuk pintu pagar, seorang hamba perempuan yang bernama Rode datang ke pintu. 14  Sebaik sahaja dia mengenal suara Petrus, dia cepat-cepat masuk tanpa membuka pintu pagar kerana terlalu gembira. Dia memberitahu mereka bahawa Petrus sedang berdiri di depan pintu. 15  Mereka berkata, “Kamu sudah gila.” Tetapi apabila dia berkeras mengatakan bahawa orang itu Petrus, mereka berkata, “Itu malaikatnya.” 16  Sementara itu, Petrus terus mengetuk pintu. Apabila mereka membuka pintu dan melihatnya, mereka berasa hairan. 17  Tetapi Petrus memberikan isyarat dengan tangannya agar mereka senyap. Kemudian dia memberitahu mereka dengan terperinci bagaimana Yehuwa* membawanya keluar dari penjara. Sebelum dia keluar dan pergi ke tempat yang lain, dia berkata, “Laporkanlah hal-hal ini kepada Yakobus+ dan saudara-saudara yang lain.” 18  Ketika hari sudah siang, keadaan dalam kalangan para askar sangat huru-hara kerana mereka tidak tahu apa yang telah berlaku kepada Petrus. 19  Herodes mencarinya dengan teliti, tetapi tidak berjaya menjumpainya. Maka dia menyoal para pengawal dan memerintahkan agar mereka dibawa untuk dihukum.+ Kemudian Herodes meninggalkan Yudea dan pergi ke Kaisarea. Dia tinggal di situ untuk suatu jangka masa. 20  Pada masa itu, Herodes marah terhadap penduduk Tirus dan Sidon. Maka mereka datang bersama-sama untuk menghadapnya kerana bekalan makanan negeri mereka bergantung pada negeri Raja Herodes. Mula-mula mereka memujuk Blastus, pengurus rumah tangga raja, untuk membantu mereka. Kemudian mereka minta berdamai dengan Raja Herodes. 21  Pada suatu hari, semasa orang ramai berkumpul, Herodes mengenakan pakaian kebesarannya dan duduk di tempat pengadilannya lalu mula berucap. 22  Mereka yang berkumpul di situ berseru, “Ini suara tuhan, bukan suara manusia!” 23  Dengan serta-merta, malaikat Yehuwa* menyebabkan Herodes diserang penyakit kerana dia tidak memuliakan Tuhan. Akhirnya dia dimakan ulat lalu meninggal. 24  Firman Yehuwa* terus tersebar dan semakin ramai orang yang menjadi murid Yesus.+ 25  Setelah Barnabas+ dan Saulus menyelesaikan tugas mereka untuk membantu saudara-saudara di Yerusalem,+ mereka membawa Yohanes+ yang juga dipanggil Markus lalu kembali ke Antiokhia.

Nota Kaki

Atau “untuk mengadilinya di hadapan.”
Lihat Kamus.