Kisah 21:1-40

  • Dalam perjalanan ke Yerusalem (1-14)

  • Tiba di Yerusalem (15-19)

  • Paulus mengikut nasihat penatua (20-26)

  • Rusuhan di Rumah Tuhan; Paulus ditangkap (27-36)

  • Paulus diizinkan bercakap kepada orang ramai (37-40)

21  Walaupun berat hati, kami terpaksa meninggalkan mereka. Kemudian, kami belayar terus ke Kos. Keesokan harinya, kami pergi ke Rodes dan bertolak dari situ ke Patara.  Setelah menjumpai kapal yang akan menyeberang ke Fenisia, kami menaiki kapal itu dan mula belayar.  Selepas kami melihat Pulau Siprus di sebelah kiri, kami meneruskan pelayaran kami ke arah Siria. Kemudian kapal kami berlabuh di Tirus untuk menurunkan muatan.  Kami mencari murid-murid di situ. Setelah menjumpai mereka, kami tinggal dengan mereka selama tujuh hari. Di bawah pimpinan kuasa suci Tuhan, mereka berulang kali memberitahu Paulus supaya tidak menjejakkan kaki di Yerusalem.+  Apabila tiba masanya kami melanjutkan perjalanan, kami pun bertolak. Namun mereka semua, termasuk wanita dan anak-anak, menemani kami sampai ke luar kota. Kami berlutut di pantai, berdoa,  lalu mengucapkan selamat berpisah kepada satu sama lain. Kemudian, kami naik ke kapal dan mereka pulang ke rumah masing-masing.  Kapal kami bertolak dari Tirus dan belayar ke Ptolemais. Kami memberikan salam kepada saudara-saudara di situ dan tinggal dengan mereka selama sehari.  Keesokan harinya kami bertolak dan tiba di Kaisarea. Di situ, kami masuk ke dalam rumah Filipus dan tinggal bersamanya. Dia seorang penginjil dan merupakan salah seorang daripada tujuh orang lelaki+ yang dipilih oleh para rasul di Yerusalem.  Dia mempunyai empat orang anak perempuan yang belum berkahwin,* dan mereka dapat bernubuat.+ 10  Setelah berada di situ untuk suatu jangka masa, seorang nabi yang bernama Agabus+ datang dari Yudea. 11  Dia datang kepada kami dan mengambil tali pinggang Paulus. Kemudian dia mengikat kaki dan tangannya sendiri dengan tali pinggang itu lalu berkata, “Kuasa suci Tuhan berkata, ‘Orang yang memiliki tali pinggang ini akan diikat seperti ini oleh orang Yahudi di Yerusalem,+ dan mereka akan menyerahkannya ke dalam tangan orang bangsa asing.’”+ 12  Apabila kami mendengar kata-katanya, kami dan semua orang di situ merayu Paulus supaya tidak pergi ke Yerusalem. 13  Tetapi Paulus berkata, “Mengapakah kamu semua menangis dan mencuba melemahkan azamku? Percayalah, aku sudah bersedia bukan sahaja untuk diikat, tetapi juga untuk mati di Yerusalem demi nama Tuan Yesus.”+ 14  Oleh sebab Paulus enggan mendengarkan kami, kami tidak memaksanya lagi lalu berkata, “Biarlah kehendak Yehuwa* terjadi.” 15  Beberapa lama kemudian, kami bersiap sedia untuk perjalanan ke Yerusalem. Semasa kami bertolak, 16  beberapa orang murid dari Kaisarea juga mengikut kami. Mereka menghantar kami ke tempat kami akan menumpang, iaitu rumah Manason. Dia ialah seorang lelaki dari Siprus yang sudah menjadi murid Yesus sejak dulu lagi. 17  Semasa kami tiba di Yerusalem, saudara-saudara menyambut kami dengan gembira. 18  Pada hari berikutnya, Paulus pergi bersama-sama kami untuk berjumpa dengan Yakobus.+ Semua penatua pun ada di situ. 19  Maka Paulus memberikan salam kepada mereka dan memberitahu mereka secara terperinci apa yang telah dilakukan oleh Tuhan dalam kalangan bangsa-bangsa lain melalui kerja penyebarannya. 20  Setelah mendengar hal itu, mereka memuliakan Tuhan dan berkata kepada Paulus, “Saudara, lihatlah! Ada beribu-ribu pengikut Yesus dalam kalangan orang Yahudi. Mereka semua mematuhi Hukum+ dengan bersungguh-sungguh. 21  Tetapi mereka mendengar khabar angin bahawa kamu mengajar semua orang Yahudi yang tinggal dalam kalangan bangsa-bangsa lain agar meninggalkan Hukum Musa, kerana kamu menyuruh mereka agar tidak menyunat anak-anak mereka dan tidak mengikut adat istiadat mereka.+ 22  Apakah yang harus dilakukan? Mereka pasti akan mendengar bahawa kamu sudah sampai. 23  Oleh itu, lakukanlah apa yang kami katakan ini: Ada empat orang lelaki di sini yang sudah berikrar kepada Tuhan. 24  Bawalah mereka bersamamu dan jalankanlah upacara penyucian bersama mereka. Hendaklah kamu membayar perbelanjaan mereka juga, supaya mereka boleh mencukur rambut. Dengan demikian, semua orang akan tahu bahawa khabar angin tentang kamu itu tidak berasas, kerana kamu mematuhi dan hidup selaras dengan Hukum.+ 25  Tetapi bagi pengikut Yesus daripada bangsa-bangsa lain, mereka sudah menerima keputusan bertulis daripada kita bahawa mereka harus menjauhi apa sahaja yang dipersembahkan kepada berhala,+ menjauhi darah,+ menjauhi daging binatang yang mati dicekik,*+ dan menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral.”*+ 26  Pada hari berikutnya, Paulus membawa empat orang itu dan menjalankan upacara penyucian bersama mereka.+ Kemudian dia masuk ke dalam Rumah Tuhan dan mengumumkan bila tempoh upacara penyucian itu akan tamat, supaya korban dapat dipersembahkan untuk mereka masing-masing. 27  Apabila tujuh hari upacara penyucian itu hampir berakhir, orang Yahudi dari Asia melihat Paulus di dalam Rumah Tuhan. Mereka menghasut orang ramai lalu menangkap Paulus. 28  Mereka berseru, “Hai orang Israel, tolonglah kami! Inilah orang yang pergi ke merata tempat dan mengajar semua orang untuk menentang bangsa kita, Hukum kita, dan tempat ibadat kita. Bukan itu sahaja, dia bahkan membawa orang Yunani ke dalam Rumah Tuhan dan menajiskan tempat suci ini.”+ 29  Sebelum ini, mereka pernah melihat Trofimus,+ orang Efesus itu, bersama Paulus di kota. Jadi mereka menyangka bahawa Paulus telah membawanya ke dalam Rumah Tuhan. 30  Maka seluruh kota itu menjadi kacau-bilau. Orang ramai berlari bersama-sama ke Rumah Tuhan dan menangkap Paulus lalu mengheretnya keluar dari situ. Dengan segera, pintu Rumah Tuhan ditutup. 31  Sementara mereka mencuba membunuh Paulus, ketua pasukan tentera diberitahu bahawa seluruh Yerusalem berada dalam keadaan huru-hara. 32  Maka dengan serta-merta, dia membawa askar dan pegawai tentera lalu bergegas turun ke situ. Semasa orang ramai nampak ketua pasukan tentera dan para askar, mereka berhenti memukul Paulus. 33  Kemudian ketua pasukan tentera itu menghampiri Paulus dan menangkapnya. Setelah menyuruh askarnya membelenggu Paulus dengan dua rantai,+ dia bertanya kepada orang ramai untuk mengetahui siapa Paulus dan apa yang telah dilakukan olehnya. 34  Namun, keadaan di situ huru-hara. Ada antara orang ramai yang berteriak begini, manakala yang lain berteriak begitu, sehingga ketua pasukan tentera itu langsung tidak dapat mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Maka, dia memerintahkan agar Paulus dibawa ke tempat tinggal askar. 35  Tetapi apabila Paulus tiba di tangga, askar-askar terpaksa mengangkatnya, kerana orang ramai mula mengganas. 36  Mereka terus mengikutnya sambil menjerit, “Bunuhlah dia!” 37  Apabila Paulus hampir tiba di tempat tinggal askar, dia berkata kepada ketua pasukan tentera itu, “Bolehkah aku mengatakan sesuatu kepada tuan?” Ketua pasukan tentera itu berkata, “Kamu dapat bercakap dalam bahasa Yunani? 38  Adakah kamu orang Mesir yang sebelum ini mencetuskan pemberontakan dan memimpin 4,000 orang lelaki yang bersenjatakan pisau belati ke padang belantara?” 39  Paulus menjawab, “Tidak. Sebenarnya, aku orang Yahudi+ yang berasal dari Tarsus+ di Kilikia. Aku rakyat kota yang penting itu. Tolong izinkan aku bercakap kepada orang ramai ini.” 40  Setelah ketua pasukan tentera itu mengizinkannya berbuat demikian, Paulus berdiri di tangga dan memberikan isyarat dengan tangannya kepada orang ramai. Apabila mereka semua senyap, dia bercakap kepada mereka dalam bahasa Ibrani.+ Paulus berkata,

Nota Kaki

Harfiah, “yang merupakan anak dara.”
Atau “yang dibunuh tanpa mengeluarkan darahnya.”
Yunani, por·neiʹa. Lihat Kamus.