Berita Baik yang Disampaikan oleh Lukas 13:1-35
13 Pada masa itu, beberapa orang di situ melaporkan kepada Yesus bahawa sesetengah orang Galilea telah dibunuh oleh Pilatus semasa mereka mempersembahkan korban.
2 Maka dia berkata kepada mereka, “Adakah kamu sangka bahawa hal ini terjadi kerana beberapa orang Galilea itu lebih berdosa daripada semua orang Galilea yang lain?
3 Tidak. Aku berkata kepada kamu: Jika kamu tidak bertaubat, kamu semua akan binasa seperti mereka.+
4 Fikirkanlah juga tentang 18 orang yang terbunuh semasa menara di Siloam runtuh menimpa mereka. Adakah kamu sangka bahawa dosa mereka lebih besar daripada dosa semua penduduk Yerusalem yang lain?
5 Tidak. Aku berkata kepada kamu: Jika kamu tidak bertaubat, kamu semua akan binasa seperti mereka.”
6 Kemudian dia menceritakan perumpamaan ini: “Seorang lelaki telah menanam pokok ara di ladang anggurnya. Semasa dia mencari buah pada pokok itu, dia tidak menjumpai sebiji buah pun.+
7 Maka dia berkata kepada pekerja di ladang itu, ‘Sudah tiga tahun aku mencari buah pada pokok ara ini tetapi tidak menjumpai sebiji buah pun. Tebang sahajalah pokok ini! Apa gunanya pokok ini tumbuh di atas tanah tetapi tidak menghasilkan buah?’
8 Pekerja itu menjawab, ‘Tuan, biarlah pokok ini hidup satu tahun lagi. Aku akan menggali tanah di sekelilingnya dan menabur baja.
9 Selepas itu, jika pokok ini menghasilkan buah, baguslah. Jika tidak, biarlah pokok ini ditebang.’”+
10 Pada hari Sabat, Yesus mengajar orang di dalam sebuah rumah ibadat.
11 Di situ ada seorang wanita yang sudah sakit selama 18 tahun. Ada roh jahat yang menyebabkannya bongkok dan langsung tidak dapat berdiri tegak.
12 Apabila Yesus nampak wanita itu, dia memanggilnya lalu berkata, “Hai wanita, kamu disembuhkan daripada penyakitmu.”+
13 Kemudian dia meletakkan tangannya ke atas wanita itu, lalu wanita itu segera berdiri tegak dan mula memuliakan Tuhan.
14 Apabila ketua rumah ibadat nampak Yesus menyembuhkan orang pada hari Sabat, dia menjadi marah lalu berkata kepada orang ramai, “Ada enam hari untuk bekerja.+ Maka datanglah pada masa itu untuk disembuhkan, bukan pada hari Sabat!”+
15 Namun Tuan Yesus berkata kepadanya, “Orang yang bermuka dua!+ Pada hari Sabat, tidakkah kamu melepaskan lembu jantan atau keldai masing-masing dan membawanya keluar dari kandang untuk minum air?+
16 Wanita ini ialah keturunan Abraham yang telah dibelenggu oleh Syaitan selama 18 tahun. Tidak patutkah dia dibebaskan daripada belenggunya pada hari Sabat?”
17 Semasa Yesus berkata demikian, semua penentangnya mula berasa malu. Namun, orang ramai bersukacita atas semua perbuatannya yang menakjubkan.+
18 Oleh itu, dia menyambung, “Kerajaan Tuhan bagaikan apa? Apakah yang boleh disamakan dengannya?
19 Kerajaan Tuhan seperti biji sawi yang diambil lalu ditanam oleh seorang lelaki di kebunnya. Biji itu kemudiannya bertumbuh menjadi sebatang pokok, dan burung-burung di langit pun membuat sarang di dahan-dahannya.”+
20 Sekali lagi dia berkata, “Kerajaan Tuhan boleh disamakan dengan apa?
21 Kerajaan Tuhan bagaikan ragi yang diambil oleh seorang wanita untuk dicampurkan dengan tiga bekas* tepung sehingga seluruh adunan itu naik.”+
22 Dalam perjalanan ke Yerusalem, Yesus mengunjungi kota demi kota dan pekan demi pekan untuk mengajar orang.
23 Seorang lelaki bertanya kepadanya, “Tuan, sedikit sahajakah orang yang akan diselamatkan?” Dia berkata kepada mereka,
24 “Berusahalah sedaya upaya untuk masuk melalui pintu yang sempit.+ Aku berkata kepada kamu: Ramai orang akan berusaha memasukinya tetapi tidak akan berjaya.
25 Selepas tuan rumah bangun dan mengunci pintu, kamu akan berdiri di luar dan mengetuk pintu sambil berkata, ‘Tuan, bukalah pintu untuk kami.’+ Tetapi dia akan berkata kepada kamu, ‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang.’
26 Kemudian kamu akan berkata, ‘Kami pernah makan dan minum bersama tuan, dan tuan juga pernah mengajar di jalan utama kota kami.’+
27 Namun dia akan berkata kepada kamu, ‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang. Pergilah dari sini, hai kamu semua yang berbuat jahat!’
28 Kamu akan melihat Abraham, Ishak, Yakub, dan semua nabi, dalam Kerajaan Tuhan, tetapi kamu pula dibuang ke luar. Di situ kamu akan menangis dan menggertakkan gigi.+
29 Tambahan lagi, orang yang datang dari timur, barat, utara, dan selatan, akan duduk dan makan dalam Kerajaan Tuhan.
30 Sesungguhnya, sesetengah orang yang terakhir akan menjadi yang pertama, manakala sesetengah orang yang pertama akan menjadi yang terakhir.”+
31 Pada masa itu juga, beberapa orang Farisi datang kepadanya dan berkata, “Pergilah dan tinggalkanlah tempat ini, kerana Herodes ingin membunuhmu.”
32 Dia berkata kepada mereka, “Pergilah dan beritahulah si licik* itu, ‘Hari ini dan hari esok, aku akan mengusir roh jahat dan menyembuhkan orang sakit. Pada hari ketiga, kerjaku akan selesai.’
33 Namun, aku mesti meneruskan perjalananku pada hari ini, esok, dan lusa, kerana seorang nabi tidak boleh dibunuh di luar Yerusalem.+
34 Yerusalem, Yerusalem, kamu membunuh para nabi dan merejam orang yang diutus kepada kamu.+ Sudah banyak kali aku ingin mengumpulkan anak-anak kamu sepertimana seekor ayam betina mengumpulkan anak-anaknya di bawah sayapnya! Tetapi kamu semua tidak mahu.+
35 Lihatlah, rumah ini* akan terbiar dan diserahkan kepada kamu!+ Aku berkata kepada kamu: Kamu pasti tidak akan melihat aku lagi sehingga kamu berkata, ‘Diberkatilah dia yang datang atas nama Yehuwa!’”*+
Nota Kaki
^ Harfiah, “3 seah.” Lihat Lampiran B14.
^ Harfiah, “rubah.”
^ Harfiah, “rumah kamu,” iaitu Rumah Tuhan.
^ Lihat Lampiran A5.