Berita Baik yang Disampaikan oleh Lukas 19:1-48
19 Yesus masuk ke Yerikho dan berjalan melalui kota itu.
2 Di situ ada seorang lelaki kaya yang bernama Zakheus. Dia ialah ketua pemungut cukai.
3 Dia ingin melihat Yesus tetapi dia tidak dapat berbuat demikian kerana ada ramai orang di situ. Lagipun dia pendek.
4 Oleh itu, dia berlari mendahului orang ramai dan memanjat sebatang pokok ara agar dia dapat melihat Yesus yang akan lalu di situ.
5 Apabila Yesus tiba di tempat itu, dia memandang ke atas lalu berkata, “Zakheus, cepatlah turun! Hari ini aku mesti menumpang di rumah kamu.”
6 Zakheus turun dengan segera dan menyambut Yesus dengan sukacita.
7 Semua orang yang menyaksikan hal itu mula bersungut-sungut dan berkata, “Dia menumpang di rumah orang yang berdosa.”+
8 Tetapi, Zakheus berdiri dan berkata kepada Tuan Yesus, “Tuan, aku akan memberikan separuh daripada hartaku kepada orang miskin. Apa sahaja yang pernah aku peras* daripada orang, akan aku bayar kembali empat kali ganda.”+
9 Maka Yesus berkata, “Hari ini, Tuhan telah menyelamatkan lelaki ini dan keluarganya, kerana dia juga keturunan Abraham.
10 Anak Manusia datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang sesat.”+
11 Sementara murid-muridnya masih mendengar, Yesus menceritakan satu lagi perumpamaan. Dia berbuat demikian kerana dia hampir tiba di Yerusalem dan mereka menyangka bahawa Kerajaan Tuhan akan muncul dalam sekelip mata.+
12 Oleh itu, Yesus berkata, “Seorang bangsawan hendak pergi ke tempat yang jauh+ untuk menjadi raja, dan kemudian dia akan kembali.
13 Sebelum bertolak, dia memanggil 10 orang hambanya dan memberi mereka 10 mina.* Dia berkata kepada mereka, ‘Berniagalah dengan wang ini sampai aku pulang.’+
14 Tetapi orang yang sebangsa dengannya membencinya dan menghantar duta-duta untuk berkata kepadanya, ‘Kami tidak mahu kamu menjadi raja kami.’
15 “Selepas dia dilantik sebagai raja, dia pulang dan memanggil hamba-hamba yang diberinya duit perak itu. Dia ingin mengetahui keuntungan yang diperoleh mereka daripada perniagaan masing-masing.+
16 Hamba yang pertama datang dan berkata, ‘Tuan, daripada satu mina yang tuan beri, hamba mendapat 10 mina.’+
17 Maka dia berkata kepada hambanya, ‘Bagus, kamu hamba yang baik! Oleh sebab kamu setia dalam perkara yang sangat kecil, aku memberi kamu kuasa atas 10 buah kota.’+
18 Hamba yang kedua datang lalu berkata, ‘Tuan, daripada satu mina yang tuan beri, hamba mendapat lima mina.’+
19 Dia juga berkata kepada hamba tersebut, ‘Kamu akan diberi kuasa atas lima buah kota.’
20 Tetapi seorang lagi hamba datang lalu berkata, ‘Tuan, inilah duit mina tuan yang hamba sembunyikan dalam sehelai kain.
21 Hamba takut akan tuan kerana tuan seorang yang amat tegas. Tuan mengeluarkan duit daripada bank meskipun tidak memasukkannya terlebih dahulu dan menuai meskipun tidak menanam.’+
22 Dia berkata kepada hamba itu, ‘Hamba yang jahat! Aku akan menghakimi kamu menurut kata-kata kamu. Kamu tahu bahawa aku seorang yang amat tegas dan mengeluarkan duit daripada bank meskipun tidak memasukkannya terlebih dahulu dan menuai meskipun tidak menanam.+
23 Kalau begitu, mengapakah kamu tidak menyimpan duit perakku di dalam bank, supaya apabila aku datang, aku dapat menerima wangku dengan bunganya?’
24 “Kemudian dia berkata kepada orang yang berdiri di situ, ‘Ambillah duit mina daripadanya dan berikan duit itu kepada hamba yang mempunyai 10 mina.’+
25 Tetapi mereka berkata kepadanya, ‘Tuan, dia sudah ada 10 mina!’ Dia menjawab,
26 ‘Aku berkata kepada kamu: Bagi setiap orang yang mempunyai sesuatu, dia akan diberi lebih banyak. Tetapi bagi orang yang tiada apa-apa, bahkan apa yang dimilikinya pun akan diambil daripadanya.+
27 Sekarang, bawalah musuh-musuhku yang tidak mahu aku menjadi raja mereka dan bunuhlah mereka di hadapanku.’”
28 Selepas Yesus menceritakan perumpamaan itu, dia meneruskan perjalanannya ke Yerusalem.
29 Semasa dia hampir tiba di Betfagi dan Betania yang terletak di sebuah gunung yang disebut Gunung Zaitun,+ Yesus mengutus dua orang muridnya+
30 dan berkata, “Pergilah ke pekan yang ada di hadapan itu. Selepas kamu masuk, kamu akan menjumpai seekor anak keldai yang terikat, yang belum pernah ditunggangi orang. Lepaskanlah dan bawalah anak keldai itu kepadaku.
31 Tetapi jika ada sesiapa yang bertanya, ‘Mengapakah kamu melepaskan keldai ini?’ jawablah, ‘Tuan memerlukannya.’”
32 Mereka yang diutus pun pergi dan mendapati semuanya sama seperti yang dikatakan oleh Yesus.+
33 Semasa mereka sedang melepaskan anak keldai itu, pemiliknya berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu melepaskan anak keldai ini?”
34 Mereka menjawab, “Tuan memerlukannya.”
35 Kemudian, mereka membawa anak keldai itu kepada Yesus. Mereka meletakkan jubah luar mereka di atas anak keldai itu dan menolong Yesus naik ke atasnya.+
36 Semasa Yesus lalu di situ, orang ramai membentangkan jubah luar mereka di atas jalan.+
37 Sebaik sahaja Yesus menghampiri jalan yang menurun dari Gunung Zaitun, semua muridnya mula bersukacita. Dengan suara yang lantang, mereka memuji Tuhan atas semua mukjizat yang disaksikan oleh mereka.
38 Mereka berkata, “Diberkatilah Raja yang datang atas nama Yehuwa!* Moga syurga damai dan kemuliaan diberikan kepada Tuhan yang ada di tempat tertinggi!”+
39 Namun, beberapa orang Farisi dalam kalangan orang ramai itu berkata kepadanya, “Guru, tegurlah murid-muridmu.”+
40 Tetapi dia berkata, “Aku berkata kepada kamu: Jika mereka diam, batu-batu akan berseru.”
41 Semasa dia menghampiri Yerusalem, dia melihat kota itu dan menangis.+
42 Dia berkata, “Alangkah baiknya jika kamu mengetahui apa yang mendatangkan kedamaian! Tetapi sekarang hal-hal itu telah disembunyikan daripada mata kamu.+
43 Masanya akan tiba apabila musuh kamu menancapkan kayu-kayu yang tajam di sekelilingmu. Mereka akan mengepung kamu dan mengasak kamu dari semua arah+
44 serta menghempaskan kamu dan anak-anak kamu ke tanah.+ Mereka tidak akan membiarkan satu batu pun di dalam kota ini tersusun di atas batu yang lain,+ kerana Tuhan datang untuk menghakimi kamu tetapi kamu tidak menyedarinya.”
45 Selepas itu, Yesus masuk ke dalam Rumah Tuhan dan mengusir para penjual di sana.+
46 Dia berkata kepada mereka, “Ada tertulis, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa,’+ tetapi kamu menjadikannya sarang perompak.”+
47 Setiap hari, Yesus mengajar di Rumah Tuhan. Walaupun ketua-ketua imam, para jurutulis hukum, dan pemimpin orang Yahudi, mencari jalan untuk membunuhnya,+
48 mereka tidak berpeluang untuk berbuat demikian kerana semua orang sentiasa mengikutinya untuk mendengar kata-katanya.+
Nota Kaki
^ Atau “peras dengan menggunakan tuduhan palsu.”
^ Lihat Lampiran B14.
^ Lihat Lampiran A5.