Maleakhi 3:1-18

  • Tuan yang benar datang untuk menyucikan Rumah-Nya (1-5)

    • Utusan perjanjian (1)

  • Kembalilah kepada Yehuwa (6-12)

    • Yehuwa tidak berubah (6)

    • “Kembalilah kepada Aku, maka Aku akan kembali kepada kamu” (7)

    • ‘Bawalah semua persepuluhan dan Yehuwa akan mencurahkan berkat’ (10)

  • Orang baik dan orang jahat (13-18)

    • Kitab peringatan ditulis di hadapan Tuhan (16)

    • Perbezaan antara orang baik dengan orang jahat (18)

3  “Lihatlah! Aku akan menghantar utusan-Ku dan dia akan membuka jalan di hadapan-Ku.+ Lalu dengan tiba-tiba, Aku, Tuan yang benar yang kamu cari, akan datang ke Rumah-Ku.+ Utusan perjanjian yang kamu nanti-nantikan dengan sukacita akan datang. Sesungguhnya, dia pasti akan datang,” firman Yehuwa, ketua angkatan syurga. 2  “Namun, siapakah yang dapat bertahan pada hari kedatangannya, dan siapakah yang akan bersedia semasa kemunculannya? Dia akan menjadi seperti api yang digunakan untuk memurnikan logam, dan seperti sabun+ yang digunakan untuk membasuh pakaian. 3  Seperti seseorang yang duduk untuk membersihkan dan memurnikan perak,+ dia akan membersihkan orang Lewi dan memurnikan mereka sebagaimana emas dan perak dimurnikan. Dengan demikian, mereka akan menjadi umat yang mempersembahkan korban kepada Aku, Yehuwa, dengan tulus hati. 4  Persembahan daripada penduduk Yehuda dan Yerusalem akan menyenangkan hati Aku, Yehuwa, seperti pada zaman dahulu.+ 5  “Aku akan datang kepada kamu untuk melaksanakan penghakiman. Aku akan segera menjadi saksi untuk menuduh ahli sihir,+ penzina, dan mereka yang mengucapkan sumpah palsu.+ Aku juga akan menuduh mereka yang menipu pekerja upahan,+ balu, dan anak yatim,+ serta mereka yang enggan membantu* orang asing.+ Mereka semua tidak menghormati Aku,” firman Yehuwa, ketua angkatan syurga. 6  “Akulah Yehuwa dan Aku tidak berubah.+ Kamulah keturunan Yakub dan itulah sebabnya kamu belum dibinasakan. 7  Sejak zaman nenek moyang kamu, kamu telah menyimpang daripada peraturan-peraturan-Ku dan tidak mematuhinya.+ Kembalilah kepada Aku, maka Aku akan kembali kepada kamu,”+ firman Yehuwa, ketua angkatan syurga. Tetapi kamu bertanya, “Bagaimanakah kami dapat kembali kepada-Mu?” 8  “Mana mungkin manusia merompak Tuhan? Tetapi kamu merompak Aku.” Lalu kamu bertanya, “Bagaimanakah kami merompak Engkau?” “Dalam hal memberikan persepuluhan dan sumbangan. 9  Terkutuklah kamu semua* kerana seluruh bangsa telah merompak Aku. 10  Bawalah semua persepuluhan itu ke dalam Rumah-Ku*+ supaya Rumah-Ku ada makanan.+ Ujilah Aku dalam hal ini, dan Aku pasti akan membuka tingkap-tingkap di syurga+ dan mencurahkan berkat ke atas kamu sehingga kamu tidak kekurangan apa-apa pun,”+ firman Yehuwa, ketua angkatan syurga. 11  “Aku tidak akan membiarkan serangga merosakkan tanaman kamu, dan pokok anggur di ladang kamu akan berbuah lebat,”+ firman Yehuwa, ketua angkatan syurga. 12  “Semua bangsa akan mengatakan bahawa kamu berbahagia+ kerana negeri kamu akan menjadi tempat bersukacita,” firman Yehuwa, ketua angkatan syurga. 13  Yehuwa berfirman, “Kata-kata kamu sangat menghina Aku.” Tetapi kamu bertanya, “Apakah yang telah kami katakan tentang Engkau?”+ 14  “Kamu berkata, ‘Sia-sia sahaja menyembah Tuhan.+ Apa gunanya memenuhi kewajipan kita terhadap-Nya, atau menunjukkan bahawa kita menyesali kesalahan kita di hadapan Yehuwa, ketua angkatan syurga? 15  Sekarang kita hendak mengatakan bahawa orang sombonglah yang berbahagia, dan orang yang berbuat jahatlah yang berjaya.+ Mereka berani menguji Tuhan tetapi dapat melepaskan diri.’” 16  Pada masa itu, orang yang takut akan Yehuwa bercakap sesama sendiri, dan Yehuwa mendengar dengan penuh perhatian. Di hadapan Yehuwa, sebuah kitab peringatan ditulis.+ Nama setiap orang yang takut akan-Nya dan merenungkan* nama-Nya dicatat dalam kitab itu.+ 17  Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, “Mereka akan menjadi umat-Ku.+ Pada hari Aku bertindak kelak, mereka akan menjadi milik-Ku yang khas.*+ Aku akan berbelas kasihan terhadap mereka sebagaimana seorang bapa berbelas kasihan kepada anaknya yang taat.+ 18  Mereka akan melihat lagi perbezaan antara orang baik dengan orang jahat,+ serta antara orang yang menyembah Aku dengan yang tidak.”

Nota Kaki

Atau “yang menafikan hak.”
Atau mungkin, “Kamu semua sedang mengutuk Aku.”
Harfiah, “gudang-Ku.”
Atau “memikirkan.” Atau mungkin, “menghargai.”
Atau “yang amat bernilai.”