Markus 12:1-44

  • Perumpamaan tentang peladang yang jahat (1-12)

  • Tuhan dan Kaisar (13-17)

  • Soalan tentang pembangkitan (18-27)

  • Dua hukum yang paling penting (28-34)

  • Adakah Kristus anak Daud? (35-37a)

  • Amaran tentang jurutulis hukum (37b-40)

  • Sumbangan balu miskin (41-44)

12  Kemudian dia mula menceritakan satu perumpamaan kepada mereka. Dia berkata, “Seorang lelaki menanam anggur+ dan mendirikan pagar di sekeliling ladangnya. Dia juga menggali tempat untuk memerah buah anggur, dan membina sebuah menara tempat berkawal.+ Kemudian dia menyewakan ladang itu kepada beberapa orang peladang lalu berangkat ke luar negeri.+  Apabila musim anggur tiba, dia mengutus seorang hamba kepada para peladang itu untuk menerima sebahagian daripada hasil ladang anggur.  Tetapi mereka menangkap hamba itu, memukulnya, dan menyuruhnya pulang dengan tangan kosong.  Maka dia mengutus seorang hamba yang lain kepada mereka. Tetapi mereka memukul kepala hamba itu dan menghinanya.+  Lalu dia mengutus seorang lagi hamba, tetapi mereka membunuhnya. Dia mengutus banyak lagi hamba, tetapi ada yang dipukul dan ada yang dibunuh oleh mereka.  Hanya seorang lagi yang boleh diutusnya, iaitu anak kesayangannya.+ Akhirnya, dia mengutus anak lelakinya kepada mereka kerana dia berfikir, ‘Mereka akan menghormati anakku.’  Tetapi para peladang itu bercakap sesama sendiri, ‘Ini dia pewaris ladang anggur.+ Mari kita bunuh dia supaya kita mendapat harta yang bakal diwarisinya!’  Maka mereka menangkapnya, membunuhnya, dan membuangnya ke luar ladang anggur itu.+  Apakah yang akan dilakukan oleh pemilik ladang anggur itu? Dia akan datang dan membunuh para peladang itu lalu menyewakan ladang anggurnya kepada orang lain.+ 10  Belum pernahkah kamu membaca ayat suci ini yang menyatakan, ‘Batu yang dibuang oleh para pembina bangunan telah menjadi batu penjuru yang utama.+ 11  Batu ini berasal daripada Yehuwa* dan betapa indahnya batu ini di mata kita’?”+ 12  Selepas itu, ketua-ketua imam dan jurutulis hukum mencari jalan untuk menangkap Yesus kerana mereka tahu bahawa perumpamaan itu ditujukan kepada mereka. Tetapi mereka takut kepada orang ramai, jadi mereka meninggalkan Yesus lalu beredar.+ 13  Kemudian mereka mengutus beberapa orang Farisi dan pengikut Herodes untuk memerangkap Yesus berdasarkan kata-kata yang diucapkannya.+ 14  Apabila mereka tiba, mereka berkata, “Guru, kami tahu bahawa Guru jujur dan tidak pilih kasih. Guru tidak menghakimi seseorang berdasarkan penampilannya tetapi mengajarkan jalan Tuhan berdasarkan kebenaran. Jadi, patutkah kita membayar cukai kepala kepada Kaisar?”* 15  Yesus tahu bahawa mereka berniat jahat, jadi dia berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu menguji aku? Tunjukkanlah satu denari* kepadaku.” 16  Mereka pun membawa satu denari kepadanya. Maka dia bertanya kepada mereka, “Muka dan gelaran siapakah ini?” Mereka menjawab, “Kaisar.” 17  Yesus berkata, “Berikanlah milik Kaisar kepada Kaisar,+ tetapi berikanlah milik Tuhan kepada Tuhan.”+ Mereka sangat kagum terhadap Yesus. 18  Orang Saduki tidak percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan.+ Mereka datang kepada Yesus dan bertanya,+ 19  “Guru, Musa menulis bahawa jika seorang lelaki mati sebelum mempunyai anak, saudara kandungnya mesti berkahwin dengan balunya supaya dia mempunyai keturunan.+ 20  Dahulu ada tujuh orang adik-beradik. Yang sulung berkahwin lalu mati tanpa mempunyai anak. 21  Maka yang kedua mengahwini balunya tetapi dia juga mati tanpa mempunyai anak, dan hal yang sama berlaku kepada yang ketiga. 22  Ketujuh-tujuh adik-beradik itu mati tanpa mempunyai anak. Akhirnya, wanita itu juga mati. 23  Memandangkan tujuh orang adik-beradik itu pernah berkahwin dengannya, siapakah antara mereka yang akan menjadi suaminya semasa pembangkitan nanti?” 24  Yesus berkata kepada mereka, “Kamu sudah silap kerana kamu tidak mengetahui Ayat-Ayat Suci ataupun kuasa Tuhan.+ 25  Semasa pembangkitan orang mati, lelaki dan perempuan tidak akan berkahwin, tetapi menjadi seperti malaikat di syurga.+ 26  Berkenaan dengan pembangkitan orang mati, belum pernahkah kamu membaca kisah yang ditulis oleh Musa tentang pokok kecil yang bernyala? Tuhan berfirman kepada Musa, ‘Aku Tuhan Abraham, Tuhan Ishak, dan Tuhan Yakub.’+ 27  Dia ialah Tuhan orang hidup, bukan Tuhan orang mati. Kamu silap sama sekali.”+ 28  Di situ ada seorang jurutulis hukum yang mendengar perbincangan mereka. Dia tahu bahawa Yesus telah menjawab mereka dengan baik. Maka dia bertanya kepada Yesus, “Guru, hukum manakah yang paling penting?”+ 29  Yesus menjawab, “Hukum terpenting ialah ‘Dengarlah, hai Israel! Yehuwa* ialah Tuhan kita dan Yehuwalah* Tuhan yang esa. 30  Kamu mesti mengasihi Yehuwa,* Tuhanmu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa,* dengan segenap akal, dan dengan segenap kekuatan.’+ 31  Yang kedua ialah ‘Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.’+ Tidak ada hukum lain yang lebih penting daripada kedua-dua hukum ini.” 32  Jurutulis hukum itu berkata, “Kata-kata Guru memang bagus dan berdasarkan kebenaran. ‘Tuhan itu Esa, dan tidak ada yang lain kecuali Dia.’+ 33  Manusia harus mengasihi-Nya dengan segenap hati, segenap pengertian, dan segenap kekuatan. Manusia juga harus mengasihi orang lain sepertimana mereka mengasihi diri sendiri. Mematuhi kedua-dua hukum ini lebih bernilai daripada semua persembahan dan korban bakar.”+ 34  Yesus sedar bahawa jurutulis hukum itu telah menjawab dengan bijak. Maka dia berkata, “Kamu tidak jauh daripada Kerajaan Tuhan.” Selepas itu, tiada seorang pun yang berani bertanya lagi kepada Yesus.+ 35  Semasa Yesus sedang mengajar di Rumah Tuhan, dia bertanya, “Mengapakah jurutulis hukum mengatakan bahawa Kristus ialah anak Daud?+ 36  Daud yang diilhami kuasa suci Tuhan+ berkata, ‘Yehuwa* berfirman kepada Tuanku, “Duduklah di sebelah kanan-Ku sehingga Aku meletakkan musuh-musuhmu di bawah kakimu.”’+ 37  Memandangkan Daud memanggil dia Tuan, bagaimana mungkin Kristus itu anak Daud?”+ Orang ramai di situ mendengar kata-kata Yesus dengan senang hati. 38  Dia terus mengajar mereka, “Berhati-hatilah terhadap jurutulis hukum yang suka berjalan-jalan dengan memakai jubah panjang dan suka menerima salam hormat di tempat awam.*+ 39  Mereka suka duduk di kerusi yang terdepan di dalam rumah ibadat dan suka tempat yang terbaik semasa menghadiri jamuan makan.+ 40  Mereka merampas harta* milik balu, dan mereka berdoa panjang untuk dilihat orang. Mereka akan diadili dengan lebih tegas.” 41  Kemudian, Yesus duduk menghadap peti-peti sumbangan+ dan mula memerhatikan orang memasukkan wang ke dalam peti-peti itu. Banyak orang kaya memasukkan banyak wang.+ 42  Lalu seorang balu yang miskin datang dan memasukkan dua keping mata wang yang kecil,* yang sangat rendah nilainya.+ 43  Yesus memanggil murid-muridnya lalu berkata kepada mereka, “Ketahuilah: Apa yang dimasukkan oleh balu yang miskin ini lebih banyak daripada wang yang dimasukkan oleh semua orang ke dalam peti sumbangan.+ 44  Hal ini demikian kerana semua orang lain memberikan persembahan daripada lebihan kekayaan mereka, tetapi wanita ini, walaupun dia sangat miskin, dia memberikan segala nafkah hidup yang ada padanya.”+

Nota Kaki

Gelaran bagi maharaja Roma.
Lihat Kamus.
Atau “pasar.”
Atau “rumah.”
Harfiah, “2 lepton, iaitu 1 kuadrans.” Lihat Lampiran B14.