Berita Baik yang Disampaikan oleh Markus 13:1-37

  • PENGHUJUNG SISTEM DUNIA (1-37)

    • Peperangan, gempa bumi, kebuluran (8)

    • Berita baik akan disebarkan (10)

    • Kesengsaraan besar (19)

    • Kedatangan Anak manusia (26)

    • Perumpamaan tentang pokok ara (28-31)

    • Teruslah berjaga-jaga (32-37)

13  Semasa Yesus keluar dari Rumah Tuhan, salah seorang muridnya berkata kepadanya, “Guru, lihatlah betapa indahnya batu-batu dan bangunan-bangunan ini!”+ 2  Namun Yesus berkata kepadanya, “Kamu nampak bangunan-bangunan yang indah ini, bukan? Batu-batu di sini pasti dirobohkan sehingga satu batu pun tidak akan tersusun di atas batu yang lain.”+ 3  Yesus duduk di atas Gunung Zaitun di tempat yang berhadapan dengan Rumah Tuhan. Ketika tiada orang lain di situ, Petrus, Yakobus, Yohanes, dan Andreas, datang kepadanya dan bertanya, 4  “Beritahulah kami bila hal-hal ini akan berlaku, dan apakah tanda bahawa penghujung semua ini sudah dekat?”+ 5  Yesus mula berkata kepada mereka, “Berhati-hatilah supaya tiada orang menyesatkan kamu.+ 6  Ramai orang akan datang dengan namaku dan berkata, ‘Akulah Kristus,’ dan menyesatkan banyak orang. 7  Semasa kamu mendengar tentang peperangan di pelbagai tempat, janganlah takut. Semua perkara ini mesti berlaku, tetapi akhir masih belum tiba.+ 8  “Satu bangsa akan menyerang bangsa yang lain, dan satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain.+ Gempa bumi akan terjadi secara berturut-turut di merata tempat, dan kebuluran juga akan berlaku.+ Semua perkara ini hanyalah permulaan kesusahan, seperti kesakitan yang dialami oleh seorang wanita yang akan bersalin.+ 9  “Kamu mesti berjaga-jaga. Orang akan membawa kamu ke mahkamah,+ dan kamu akan dipukul di rumah ibadat.+ Kamu akan dihadapkan kepada gabenor dan raja kerana aku. Maka kamu akan berpeluang untuk memberikan kesaksian kepada mereka.+ 10  Selain itu, berita baik harus disebarkan kepada semua bangsa terlebih dahulu.+ 11  Apabila kamu ditangkap dan dibawa ke mahkamah, janganlah khuatir tentang apa yang hendak kamu katakan. Katakanlah apa sahaja yang diberitahu oleh kuasa suci Tuhan kepada kamu pada waktu itu, kerana yang berkata-kata itu bukan kamu, tetapi kuasa suci Tuhan.+ 12  Tambahan lagi, seseorang akan menyerahkan saudara kandungnya untuk dibunuh, seorang bapa akan menyerahkan anaknya untuk dibunuh, dan anak-anak akan melawan ibu bapa lalu menyerahkan mereka untuk dibunuh.+ 13  Kamu akan dibenci oleh semua orang kerana namaku.+ Tetapi orang yang bertahan sehingga akhir+ akan diselamatkan.+ 14  “Sebaik sahaja kamu nampak benda jijik yang membawa kemusnahan+ berdiri di tempat yang tidak sewajarnya (hendaklah pembaca menggunakan daya penilaian untuk memahami hal ini), hendaklah mereka yang berada di Yudea melarikan diri ke kawasan pergunungan.+ 15  Hendaklah orang yang berada di bumbung rumah* tidak turun atau masuk ke dalam rumah untuk mengambil barang. 16  Begitu juga, hendaklah orang yang berada di ladang tidak balik ke rumah untuk mengambil jubah luar. 17  Alangkah malangnya wanita yang hamil dan ibu yang menyusui bayi pada masa itu!+ 18  Teruslah berdoa agar hal ini tidak terjadi semasa musim sejuk, 19  kerana masa itu ialah masa kesengsaraan.+ Kesengsaraan sebegini tidak pernah berlaku semenjak Tuhan menciptakan segala-galanya sehingga sekarang, dan tidak akan berlaku lagi.+ 20  Sebenarnya, jika Yehuwa* tidak memendekkan tempoh masa itu, tiada seorang pun yang dapat diselamatkan. Tetapi disebabkan umat-Nya yang terpilih, Dia telah memendekkan masa itu.+ 21  “Ketika itu, jika ada orang berkata kepada kamu, ‘Lihatlah! Kristus di sini,’ atau, ‘Lihatlah! Dia di situ,’ janganlah kamu mempercayai mereka,+ 22  kerana Kristus palsu dan nabi palsu akan muncul.+ Mereka akan melakukan keajaiban dan mukjizat agar dapat menyesatkan orang, jika mungkin umat Tuhan yang terpilih juga. 23  Maka, berjaga-jagalah.+ Semua hal itu telah aku beritahukan kepada kamu sebelum semuanya berlaku. 24  “Pada masa itu, selepas kesengsaraan tersebut, matahari akan menjadi gelap dan bulan tidak akan bercahaya.+ 25  Bintang-bintang akan jatuh dari langit, dan kuasa-kuasa di langit akan digoncang. 26  Kemudian, orang akan melihat Anak Manusia+ datang dikelilingi awan dengan kemuliaan dan kuasa yang besar.+ 27  Selepas itu, dia akan mengutus malaikat-malaikat ke empat arah mata angin untuk mengumpulkan umatnya yang terpilih dari hujung bumi ke hujung langit.+ 28  “Belajarlah daripada perumpamaan tentang pokok ara: Sebaik sahaja dahan muda yang lembut mula mengeluarkan daun, kamu tahu bahawa musim panas sudah dekat.+ 29  Demikian juga, apabila kamu melihat semua perkara ini berlaku, ketahuilah bahawa dia sudah berada di ambang pintu.+ 30  Sesungguhnya aku berkata kepada kamu bahawa generasi ini tidak akan lenyap sehingga semua perkara ini berlaku.+ 31  Langit dan bumi akan lenyap,+ tetapi kata-kataku tidak akan lenyap sama sekali.+ 32  “Tiada seorang pun yang tahu hari atau waktunya,* baik malaikat di syurga mahupun Anak. Hanya Bapa yang tahu.+ 33  Teruslah berjaga-jaga dan teruslah berwaspada,+ kerana kamu tidak tahu waktu yang ditentukan oleh Tuhan.+ 34  Keadaannya seperti seorang lelaki yang meninggalkan rumahnya lalu berangkat ke luar negeri. Sebelum bertolak, dia memberi hamba-hambanya kuasa untuk menguruskan rumahnya,+ memberi mereka kerja masing-masing, dan menyuruh penjaga pintu untuk terus berjaga-jaga.+ 35  Kamu tidak tahu bila tuan rumah akan datang, sama ada pada lewat petang, atau pada tengah malam,+ atau sebelum waktu subuh,* atau pada awal pagi.* Maka, teruslah berjaga-jaga+ 36  supaya dia tidak mendapati kamu sedang tidur semasa dia tiba-tiba datang.+ 37  Apa yang aku katakan kepada kamu, aku katakan kepada semua: Teruslah berjaga-jaga.”+

Nota Kaki

Pada masa itu, kebanyakan rumah mempunyai bumbung yang rata. Orang boleh berjalan, tidur, atau menyambut tetamu, di situ.
Harfiah, “jamnya.”
Harfiah, “semasa ayam jantan berkokok.”
Lihat Kamus, “Waktu.”