Berita Baik yang Disampaikan oleh Markus 14:1-72
-
Para imam berkomplot membunuh Yesus (1, 2)
-
Minyak wangi dituang ke atas Yesus (3-9)
-
Yudas mengkhianati Yesus (10, 11)
-
Paska terakhir (12-21)
-
Perjamuan Malam Tuan diasaskan (22-26)
-
Penyangkalan Petrus dinubuatkan (27-31)
-
Yesus berdoa di Getsemani (32-42)
-
Yesus ditangkap (43-52)
-
Di hadapan Majlis Orang Yahudi (53-65)
-
Petrus menyangkal Yesus (66-72)
14 Dua hari lagi, Perayaan Paska*+ dan Perayaan Roti Tidak Beragi+ akan berlangsung.+ Para ketua imam dan jurutulis hukum mencari jalan untuk menangkap Yesus dengan cara yang licik dan membunuhnya.+
2 Mereka asyik berkata, “Kita tidak patut melakukannya semasa perayaan kerana orang ramai mungkin menimbulkan huru-hara.”
3 Kemudian, Yesus pergi ke Betania, ke rumah Simon yang dahulunya menghidap penyakit kusta. Semasa dia sedang makan,* seorang wanita datang kepadanya sambil membawa sebuah botol* berisi minyak wangi. Minyak itu sangat mahal dan merupakan minyak akar wangi yang tulen. Wanita tersebut membuka botol minyak itu dan mula menuangkannya ke atas kepala Yesus.+
4 Sesetengah orang di situ berkata sesama sendiri dengan marah, “Mengapakah minyak itu dibazirkan?
5 Minyak wangi itu dapat dijual dengan harga lebih daripada 300 denari* dan wangnya boleh diberikan kepada orang miskin!” Lalu mereka berasa sangat marah terhadap* wanita itu.
6 Tetapi Yesus berkata, “Janganlah ganggu wanita ini. Mengapakah kamu semua menyusahkan dia? Dia melakukan sesuatu yang baik untuk aku.+
7 Orang miskin sentiasa ada bersama kamu,+ dan kamu boleh menolong mereka bila-bila sahaja. Tetapi aku tidak akan sentiasa bersama kamu.+
8 Wanita ini melakukan apa yang dapat dilakukannya. Dia menuangkan minyak wangi pada tubuhku sebagai persiapan sebelum pengebumianku.+
9 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Di mana sahaja berita baik disebarkan di seluruh dunia,+ perbuatan wanita ini juga akan diceritakan untuk mengenang dia.”+
10 Kemudian Yudas Iskariot, iaitu salah seorang daripada 12 orang rasul, pergi berjumpa dengan ketua-ketua imam untuk mengkhianati Yesus dan menyerahkannya kepada mereka.+
11 Mereka sangat gembira semasa mendengar hal itu dan berjanji untuk memberikan wang perak kepadanya.+ Maka Yudas mula mencari kesempatan yang baik untuk mengkhianati Yesus.
12 Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi,+ iaitu semasa orang biasanya mempersembahkan korban untuk Perayaan Paska,+ murid-muridnya bertanya, “Di manakah Guru mahu kami membuat persiapan untuk jamuan Paska?”+
13 Maka Yesus mengutus dua orang muridnya dan berkata kepada mereka, “Pergilah ke kota dan kamu akan berjumpa dengan seorang lelaki yang membawa sebuah tembikar air. Ikutlah dia+
14 sehingga dia masuk ke dalam sebuah rumah. Kemudian, katakanlah kepada tuan rumah itu, ‘Guru bertanya, “Di manakah bilik yang dapat aku gunakan untuk makan jamuan Paska bersama murid-muridku?”’
15 Dia akan menunjukkan sebuah bilik besar di tingkat atas yang sudah disediakan dan yang lengkap dengan perabot. Sediakanlah jamuan Paska untuk kita di situ.”
16 Maka kedua-dua murid itu pergi ke kota dan mendapati semuanya berlaku seperti yang telah dikatakan oleh Yesus kepada mereka. Selepas itu, mereka membuat persiapan untuk menyambut Perayaan Paska.
17 Selepas matahari terbenam, Yesus datang bersama 12 orang rasulnya.+
18 Semasa mereka duduk dan makan di meja, Yesus berkata, “Ketahuilah: Salah seorang daripada kamu yang sedang makan bersama aku akan mengkhianati aku.”+
19 Mereka sangat sedih, maka seorang demi seorang mula bertanya, “Adakah aku orangnya?”
20 Yesus menjawab, “Dia salah seorang daripada 12 orang yang mengambil makanan daripada mangkuk yang sama dengan aku.+
21 Seperti yang tertulis, Anak Manusia memang akan mati. Tetapi malanglah orang yang mengkhianati Anak Manusia!+ Lebih baik jika orang itu tidak dilahirkan.”+
22 Sementara mereka makan, Yesus mengambil roti lalu mengucapkan syukur. Dia membahagikan roti itu dan memberikannya kepada mereka sambil berkata, “Ambillah. Roti ini melambangkan tubuhku.”+
23 Kemudian, dia mengambil sebuah cawan. Selepas mengucapkan syukur, dia memberikan cawan itu kepada mereka dan mereka semua minum daripada cawan itu.+
24 Dia berkata kepada mereka, “Wain di dalam cawan ini melambangkan ‘darah+ perjanjian’+ aku yang akan dicurahkan untuk banyak orang.+
25 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Aku tidak akan minum wain lagi sehingga hari aku minum wain baharu dalam Kerajaan Tuhan.”
26 Akhirnya, selepas mereka menyanyikan lagu pujian,* mereka bertolak ke Gunung Zaitun.+
27 Kemudian Yesus berkata kepada mereka, “Kamu semua akan tersandung kerana ada tertulis, ‘Aku akan menyerang gembala,+ dan kawanan bebirinya akan berselerak ke merata tempat.’+
28 Tetapi selepas aku dibangkitkan, aku akan mendahului kamu untuk pergi ke Galilea.”+
29 Namun Petrus berkata kepadanya, “Walaupun mereka semua tersandung, aku tidak akan tersandung.”+
30 Yesus berkata kepada Petrus, “Ketahuilah: Pada malam ini juga, sebelum ayam jantan berkokok dua kali, kamu akan berkata sebanyak tiga kali bahawa kamu tidak mengenal aku.”+
31 Tetapi Petrus berkata dengan bersungguh-sungguh, “Biarpun aku terpaksa mati bersamamu, aku tidak akan menafikan bahawa aku mengenalmu.” Murid-murid yang lain juga mengatakan hal yang sama.+
32 Semasa mereka tiba di sebuah tempat yang bernama Getsemani, dia berkata kepada murid-muridnya, “Duduklah di sini sementara aku berdoa.”+
33 Dia membawa Petrus, Yakobus, dan Yohanes bersamanya.+ Pada masa itu, dia berasa sangat susah hati dan gelisah.
34 Dia berkata kepada mereka, “Aku sedih sekali+ sehingga hendak mati rasanya. Teruslah berada di sini dan berjaga-jagalah.”+
35 Dia pergi jauh sedikit daripada mereka lalu bersujud di tanah dan mula berdoa supaya jika boleh, saat penderitaan itu dijauhkan daripadanya.
36 Dia berkata, “Abba,* Bapa,+ tiada sesuatu pun yang mustahil bagi-Mu. Jauhkanlah cawan ini daripadaku. Namun, janganlah turut kehendakku, tetapi turutlah kehendak-Mu.”+
37 Semasa dia kembali, dia mendapati bahawa murid-muridnya sedang tidur. Maka, dia berkata kepada Petrus, “Simon, adakah kamu sedang tidur? Tidak dapatkah kamu berjaga-jaga bersama aku selama satu jam?+
38 Teruslah berjaga-jaga dan berdoa supaya kamu semua tidak terjerat oleh godaan.+ Sememangnya, hati ingin membuat apa yang benar tetapi tubuh* lemah.”+
39 Sekali lagi, Yesus pergi berdoa dan mengucapkan kata-kata yang sama.+
40 Semasa dia kembali, sekali lagi dia mendapati bahawa mereka sedang tidur kerana kelopak mata mereka terasa sangat berat. Mereka tidak tahu apa yang harus dikatakan kepada Yesus.
41 Semasa dia kembali untuk kali ketiga, dia berkata kepada mereka, “Adakah kamu masih tidur dan berehat pada saat genting ini? Cukuplah! Masanya sudah tiba!+ Lihatlah! Anak Manusia akan dikhianati dan diserahkan ke dalam tangan pendosa.
42 Bangunlah, mari kita pergi. Lihatlah! Pengkhianatku sudah dekat.”+
43 Sementara dia masih bercakap, salah seorang daripada 12 orang rasul yang bernama Yudas tiba. Bersamanya terdapat ramai orang yang membawa pedang dan belantan. Mereka diutus oleh para ketua imam, jurutulis hukum, dan pemimpin orang Yahudi.+
44 Pengkhianatnya telah memberi mereka satu tanda dengan berkata, “Sesiapa yang aku cium, dialah orang yang kamu cari. Tangkaplah dia dan bawalah dia dengan kawalan yang ketat.”
45 Apabila Yudas tiba, dia terus menghampiri Yesus dan berkata, “Rabbi!” lalu menciumnya.
46 Selepas itu, mereka menangkap Yesus.
47 Tetapi, salah seorang yang berdiri di situ menghunus pedangnya dan menyerang hamba imam agung lalu mengerat telinganya.+
48 Kemudian Yesus berkata kepada mereka, “Adakah kamu datang dengan membawa pedang dan belantan untuk menangkap aku seperti menangkap seorang perompak?+
49 Tiap-tiap hari aku bersama kamu semasa aku mengajar di Rumah Tuhan.+ Namun, kamu tidak menangkap aku. Tetapi semua ini berlaku supaya apa yang ditulis dalam Ayat-Ayat Suci menjadi kenyataan.”+
50 Ketika itu, semua muridnya meninggalkannya lalu melarikan diri.+
51 Namun begitu, ada seorang lelaki muda yang mengikut Yesus dari dekat. Dia memakai sehelai kain linen yang bermutu tinggi untuk menutupi tubuhnya, tetapi apabila orang mencuba menangkapnya,
52 dia membuang kain linennya dan melarikan diri dengan memakai jubah dalamnya sahaja.*
53 Kemudian, mereka membawa Yesus kepada imam agung.+ Semua ketua imam, pemimpin orang Yahudi, dan jurutulis hukum, berkumpul di situ.+
54 Petrus mengikut Yesus dari jauh sampai ke halaman dalam rumah imam agung. Dia duduk bersama hamba-hamba di situ dan memanaskan badan di depan api yang bernyala terang.+
55 Sementara itu, para ketua imam dan seluruh Majlis Orang Yahudi mencari bukti-bukti untuk menuduh Yesus supaya mereka dapat membunuhnya. Tetapi mereka tidak menjumpai apa-apa bukti.+
56 Walaupun banyak saksi palsu tampil,+ kesaksian mereka saling bercanggahan.
57 Ada juga beberapa orang yang berdiri untuk memberikan kesaksian palsu tentangnya. Mereka berkata,
58 “Kami pernah mendengar dia berkata, ‘Aku akan merobohkan Rumah Tuhan ini yang dibuat dengan tangan manusia, dan dalam masa tiga hari, aku akan membina Rumah Tuhan yang tidak dibuat dengan tangan manusia.’”+
59 Tetapi dalam hal ini pun kesaksian mereka saling bercanggahan.
60 Kemudian, imam agung berdiri di tengah-tengah mereka dan bertanya kepada Yesus, “Mengapakah kamu tidak menjawab? Tidakkah kamu mendengar tuduhan yang dilontarkan terhadap kamu?”+
61 Tetapi Yesus terus membisu dan tidak menjawab sepatah kata pun.+ Sekali lagi, imam agung bertanya kepadanya, “Adakah kamu Kristus, Anak kepada Tuhan Yang Suci?”
62 Maka Yesus menjawab, “Ya, dan kamu semua akan melihat Anak Manusia+ datang atas awan di langit+ dan duduk di sebelah kanan Dia Yang Berkuasa.”+
63 Imam agung mengoyakkan jubahnya lalu berkata, “Adakah kita memerlukan saksi lagi?+
64 Kamu semua telah mendengar dia menghina Tuhan. Apakah keputusan* kamu?” Mereka semua menyatakan bahawa Yesus mesti dihukum mati.+
65 Kemudian ada yang meludahinya+ dan menutup mukanya. Mereka menumbuknya dan berkata, “Buktikan bahawa kamu seorang nabi dan beritahulah kami siapa yang memukul kamu!” Para pengawal mahkamah menampar mukanya dan membawa dia pergi dari situ.+
66 Semasa Petrus berada di halaman dalam, seorang hamba perempuan imam agung datang kepadanya.+
67 Apabila dia nampak Petrus berdiri dekat unggun api, dia memandang Petrus lalu berkata, “Kamu juga bersama dengan Yesus, orang Nasaret itu!”
68 Tetapi Petrus menafikan hal itu dan berkata, “Aku tidak kenal dia dan tidak faham apa maksud kamu.” Selepas itu, dia keluar lalu pergi ke kawasan berhampiran pagar.
69 Di sana, hamba perempuan itu melihat dia lagi dan mula berkata kepada orang yang berdiri di sana, “Dia salah seorang murid Yesus.”
70 Sekali lagi, Petrus menafikannya. Tidak lama kemudian, orang yang berdiri di situ berkata sekali lagi kepada Petrus, “Tentu kamu salah seorang daripada mereka kerana kamu pun orang Galilea.”
71 Lalu Petrus bersumpah, “Terkutuklah aku jika aku berdusta! Aku tidak kenal lelaki yang kamu semua sebutkan itu!”
72 Pada saat itu juga seekor ayam jantan berkokok untuk kali kedua.+ Petrus teringat bahawa Yesus sudah berkata kepadanya, “Sebelum ayam jantan berkokok dua kali, kamu akan berkata sebanyak tiga kali bahawa kamu tidak mengenal aku.”+ Petrus tidak dapat menahan rasa sedih lalu dia mula menangis.
Nota Kaki
^ Pada zaman Bible, semasa makan, orang berbaring di atas kerusi panjang sambil bersandar pada satu siku.
^ Lihat Lampiran B14.
^ Atau “mereka menengking; mereka memarahi.”
^ Atau “mazmur.”
^ Perkataan bahasa Ibrani atau Aram yang bermaksud “Ya Bapa!”
^ Merujuk kepada keadaan manusia yang berdosa dan tidak sempurna.
^ Atau “melarikan diri dalam keadaan telanjang.”
^ Atau “pendapat.”