Markus 15:1-47

  • Di hadapan Pilatus (1-15)

  • Diejek di depan umum (16-20)

  • Dipakukan pada tiang di Golgota (21-32)

  • Kematian Yesus (33-41)

  • Yesus dimakamkan (42-47)

15  Sebaik sahaja matahari terbit, ketua-ketua imam, pemimpin orang Yahudi, dan para jurutulis hukum, iaitu seluruh Majlis Orang Yahudi, mengadakan mesyuarat. Mereka mengikat tangan Yesus dan menyerahkannya kepada Pilatus.+  Pilatus bertanya kepadanya, “Adakah kamu Raja orang Yahudi?”+ Dia menjawab, “Kamu sendiri yang mengatakannya.”+  Memandangkan ketua-ketua imam melemparkan banyak tuduhan terhadap Yesus,  Pilatus bertanya kepadanya sekali lagi, “Mengapakah kamu tidak menjawab?+ Lihatlah betapa banyaknya tuduhan yang dilemparkan oleh mereka terhadapmu.”+  Tetapi Yesus tidak menjawab apa-apa pun, sehingga Pilatus berasa sangat hairan.+  Pada setiap Perayaan Paska, Pilatus biasanya membebaskan seorang tahanan yang dikehendaki orang ramai.+  Pada masa itu, ada seorang lelaki bernama Barabas yang dipenjarakan bersama para pemberontak. Mereka pernah membunuh orang semasa memberontak melawan kerajaan.  Maka, orang ramai pun datang kepada Pilatus dan memintanya membebaskan seorang tahanan seperti yang biasa dilakukannya.  Dia berkata kepada mereka, “Adakah kamu mahu aku membebaskan Raja orang Yahudi?”+ 10  Sebenarnya dia tahu bahawa ketua-ketua imam menyerahkan Yesus kepadanya kerana mereka iri hati.+ 11  Tetapi ketua-ketua imam menghasut orang ramai untuk meminta agar Barabas dibebaskan.+ 12  Pilatus berkata kepada mereka, “Kalau begitu, apakah yang harus aku lakukan terhadap orang yang kamu gelar Raja orang Yahudi?”+ 13  Sekali lagi mereka berteriak, “Bunuhlah dia pada tiang!”+ 14  Pilatus berkata kepada mereka, “Mengapa? Apakah kesalahannya?” Namun mereka berteriak dengan lebih kuat lagi, “Bunuhlah dia pada tiang!”+ 15  Pilatus ingin menyenangkan hati orang ramai, jadi dia membebaskan Barabas dan mengarahkan supaya Yesus dicambuk.+ Kemudian, dia menyerahkannya kepada askar-askar untuk dihukum bunuh pada tiang.+ 16  Selepas itu, askar-askar membawa Yesus ke halaman dalam kediaman gabenor dan semua askar disuruh berkumpul.+ 17  Mereka mengenakan kain ungu padanya dan membuat mahkota daripada duri lalu meletakkannya di atas kepala Yesus. 18  Kemudian mereka berkata, “Salam sejahtera, hai Raja orang Yahudi!”+ 19  Mereka juga memukul kepalanya dengan sebatang kayu dan meludahinya. Kemudian mereka melutut dan sujud di hadapannya. 20  Setelah mengejek Yesus, mereka menanggalkan kain ungu itu dan mengenakan jubah luarnya padanya. Kemudian mereka membawa dia untuk dipakukan pada tiang.+ 21  Pada masa itu, Simon yang berasal dari Kirene lalu di situ. Dia merupakan bapa kepada Aleksander dan Rufus, dan dia baru datang dari desa. Askar-askar mengarahkannya untuk mengangkat tiang seksaan* Yesus.+ 22  Kemudian mereka membawa Yesus ke sebuah tempat yang dipanggil Golgota, yang bererti “Tempat Tengkorak.”+ 23  Di situ mereka mencuba untuk memberi dia wain yang bercampur mur yang memabukkan,+ tetapi dia enggan meminumnya. 24  Setelah memakukannya pada tiang, mereka membahagi-bahagikan jubah luarnya dengan membuang undi untuk menentukan bahagian masing-masing.+ 25  Mereka telah memakukannya pada tiang pada jam sembilan pagi.* 26  Di sebelah atas kepalanya tertulis tuduhan terhadapnya: “Raja orang Yahudi.”+ 27  Mereka juga menghukum bunuh dua orang perompak pada tiang bersamanya, seorang di sebelah kanannya dan seorang lagi di sebelah kirinya.+ 28 * —— 29  Orang yang lalu di situ mula mencemuhnya. Sambil menggelengkan kepala,+ mereka berkata, “Cis, kamu berkata bahawa kamu dapat merobohkan Rumah Tuhan dan membinanya semula dalam masa tiga hari!+ 30  Selamatkanlah dirimu sendiri dan turunlah dari tiang seksaan* itu!” 31  Dalam cara yang sama, para ketua imam dan jurutulis hukum juga mentertawakannya dan berkata sesama sendiri, “Dia menyelamatkan orang lain tetapi tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri!+ 32  Biarlah Kristus, Raja orang Israel, turun dari tiang seksaan* sekarang supaya kita melihat dan percaya kepadanya.”+ Bahkan perompak-perompak yang dihukum pada tiang bersamanya juga menghinanya.+ 33  Dari sekitar jam 12 tengah hari* sehingga jam 3 petang,* seluruh bumi menjadi gelap.+ 34  Pada jam tiga petang, Yesus berseru dengan suara yang lantang, “Eli, Eli, lama sabakhtani?” yang bermaksud, “Tuhanku, Tuhanku, mengapakah Engkau meninggalkan aku?”+ 35  Apabila orang yang berdiri berhampirannya mendengarnya, mereka mula berkata, “Lihat! Dia sedang memanggil Elia.” 36  Kemudian ada orang berlari untuk merendamkan span ke dalam wain masam. Dia menggunakan sebatang kayu untuk menghulurkan span itu kepada Yesus supaya dia dapat minum.+ Dia berkata, “Biarkan dia! Mari kita lihat sama ada Elia akan datang untuk menyelamatkannya atau tidak.” 37  Tetapi Yesus berseru dengan suara yang lantang lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir.+ 38  Ketika itu, tirai di Rumah Tuhan+ koyak menjadi dua dari atas sampai ke bawah.+ 39  Semasa pegawai tentera yang berdiri di depan Yesus melihat semua perkara yang berlaku semasa Yesus mati, pegawai itu berkata, “Lelaki ini sememangnya Anak Tuhan.”+ 40  Di situ ada juga wanita-wanita yang sedang memandang dari jauh, termasuk Maria Magdalena, Maria, iaitu ibu kepada Yakobus Kecil dan Yoses, dan juga Salome.+ 41  Merekalah yang selalu mengikut Yesus dan menolongnya+ semasa dia berada di Galilea. Selain itu, ada ramai lagi wanita yang telah datang ke Yerusalem bersama Yesus. 42  Memandangkan hari sudah petang, dan hari itu ialah hari Persiapan, iaitu hari sebelum Sabat, 43  Yusuf dari Arimatea datang ke situ. Dia seorang ahli Majlis Orang Yahudi yang dihormati, dan dia juga sedang menantikan Kerajaan Tuhan. Dengan berani, dia menghadap Pilatus dan meminta mayat Yesus.+ 44  Tetapi Pilatus ingin tahu sama ada Yesus sudah mati. Jadi, dia memanggil pegawai tenteranya dan bertanya sama ada Yesus sudah mati atau tidak. 45  Setelah mendapatkan pengesahan daripada pegawai tentera itu, dia mengizinkan Yusuf mengambil mayat Yesus. 46  Yusuf membeli kain linen yang bermutu tinggi dan menurunkan mayat Yesus. Kemudian, dia membalutnya dengan kain linen itu dan meletakkan mayat Yesus ke dalam sebuah makam+ yang digali di bukit batu. Selepas itu, dia menggulingkan sebuah batu ke depan pintu masuk makam.+ 47  Tetapi Maria Magdalena dan Maria, iaitu ibu Yoses, terus memperhatikan tempat mayat Yesus diletakkan.+

Nota Kaki

Lihat Kamus.
Harfiah, “jam yang ke-3.”
Lihat Kamus.
Lihat Kamus.
Harfiah, “jam yang ke-6.”
Harfiah, “jam yang ke-9.”