Berita Baik yang Disampaikan oleh Markus 16:1-8
-
Yesus dibangkitkan (1-8)
16 Setelah hari Sabat berlalu,+ Maria Magdalena, Maria,+ iaitu ibu kepada Yakobus, dan juga Salome, membeli bahan-bahan wangi supaya mereka dapat pergi ke makam Yesus untuk melumuri mayatnya.+
2 Mereka bertolak pada awal pagi hari Ahad,* dan tiba di makam semasa matahari terbit.+
3 Mereka berkata sesama sendiri, “Siapakah yang akan menggulingkan batu penutup makam ke tepi untuk kita?”
4 Tetapi semasa mereka melihat ke arah pintu makam, mereka nampak bahawa batu penutup yang sangat besar itu telah digulingkan ke tepi.+
5 Semasa mereka masuk ke dalam makam, mereka terkejut kerana nampak seorang pemuda yang berjubah putih sedang duduk di sebelah kanan makam.
6 Dia berkata kepada mereka, “Janganlah takut.+ Aku tahu bahawa kamu sedang mencari Yesus orang Nasaret yang dihukum bunuh pada tiang. Dia sudah dibangkitkan.+ Dia tidak ada di sini. Lihat! Di sinilah mereka meletakkan mayatnya.+
7 Pergilah dan beritahulah Petrus dan murid-murid Yesus, ‘Sekarang dia dalam perjalanan ke Galilea,+ dan kamu akan menjumpainya di sana, seperti yang telah dikatakannya kepada kamu.’”+
8 Mereka berasa hairan dan menggigil ketakutan. Apabila mereka keluar dari makam itu, mereka terus berlari dari situ. Mereka tidak berkata apa-apa kepada sesiapa pun, kerana mereka takut.*+
Nota Kaki
^ Harfiah, “hari pertama dalam seminggu.” Bagi orang Yahudi, hari Ahad ialah hari pertama dalam seminggu.
^ Menurut naskhah-naskhah Bible kuno yang dapat dipercayai, Berita Baik yang Disampaikan oleh Markus berakhir dengan kata-kata yang terdapat di ayat 8. Lihat Lampiran A3.