Berita Baik yang Disampaikan oleh Markus 4:1-41
4 Sekali lagi Yesus mula mengajar di tepi tasik. Memandangkan begitu ramai orang berkumpul berhampirannya, dia menaiki sebuah perahu dan duduk di dalamnya. Perahu itu didayung tidak jauh dari darat, manakala orang ramai berada di tepi tasik.+
2 Kemudian dia mula mengajar mereka banyak hal dengan menggunakan perumpamaan.+ Semasa mengajar mereka, dia berkata,+
3 “Dengarlah! Seorang petani keluar untuk menabur benih.+
4 Semasa dia menabur benih, ada benih yang jatuh di jalan lalu burung datang dan memakannya.
5 Ada juga benih yang jatuh di tempat berbatu dan segera bertunas kerana tanahnya sedikit.+
6 Tetapi semasa matahari terbit, tunas-tunas itu layu lalu kering kerana akarnya tidak dalam.
7 Benih lain pula jatuh di antara semak berduri. Semak berduri itu tumbuh dan membantutkan tumbuhan tersebut sehingga tidak dapat berbuah.+
8 Ada juga benih yang jatuh di atas tanah yang subur. Benih itu tumbuh, membesar, dan mula berbuah. Ada yang hasilnya 30 kali ganda, ada yang 60 kali ganda, dan ada yang 100 kali ganda.”+
9 Kemudian dia berkata, “Hendaklah orang yang bertelinga, mendengar dengan teliti.”+
10 Apabila dia bersendirian, beberapa orang murid dan 12 orang rasulnya datang kepadanya untuk bertanya tentang perumpamaan itu.+
11 Dia berkata kepada mereka, “Tuhan sudah mengizinkan kamu untuk memahami rahsia suci+ tentang Kerajaan Tuhan. Tetapi orang lain dapat mendengar perumpamaan sahaja.+
12 Dengan ini, walaupun mereka melihat, mereka masih tidak dapat nampak, dan walaupun mereka mendengar, mereka masih tidak dapat faham, dan mereka tidak kembali kepada Tuhan untuk diampuni oleh-Nya.”+
13 Kemudian Yesus bertanya kepada mereka, “Jika kamu tidak memahami perumpamaan ini, bagaimanakah kamu dapat memahami semua perumpamaan yang lain?
14 “Petani itu menaburkan firman Tuhan.+
15 Sesetengah orang bagaikan benih yang jatuh di jalan. Sebaik sahaja mereka mendengar firman Tuhan, Syaitan datang+ dan merampas firman yang sudah ditanam dalam hati mereka.+
16 Benih yang jatuh di tempat berbatu pula ialah orang yang mendengar firman Tuhan dan segera menyambutnya dengan sukacita.+
17 Tetapi firman itu tidak berakar dalam hati mereka. Mereka menerimanya untuk seketika, tetapi sebaik sahaja mereka mengalami kesengsaraan atau penganiayaan kerana firman itu, mereka tersandung.
18 Benih yang jatuh di semak berduri ialah orang yang mendengar firman itu,+
19 tetapi kekhuatiran+ hidup sistem dunia ini* dan tipu daya kekayaan+ serta pelbagai keinginan+ mula meresap ke dalam hati mereka dan membantutkan firman itu sehingga tidak berbuah.
20 Akhirnya, benih yang jatuh di tanah yang subur ialah orang yang mendengar firman itu dan menyambutnya dengan baik lalu membuahkan hasil; ada yang 30 kali ganda, ada yang 60 kali ganda, dan ada yang 100 kali ganda.”+
21 Yesus berkata lagi, “Orang tidak akan meletakkan pelita di bawah bakul* atau di bawah katil, bukan? Pelita harus diletakkan di atas kaki pelita, bukan?+
22 Apa sahaja yang tertutup akan menjadi nyata, dan apa sahaja yang disembunyikan dengan cermat akan didedahkan.+
23 Hendaklah orang yang bertelinga, mendengar dengan teliti.”+
24 Yesus juga berkata kepada mereka, “Kamu harus menumpukan perhatian kepada apa yang sedang kamu dengar.+ Sukatan yang kamu gunakan untuk orang, juga akan digunakan untuk kamu. Malah, kamu akan menerima lebih banyak lagi,
25 kerana sesiapa yang memiliki pengertian akan diberi lebih banyak pengertian.+ Tetapi bagi sesiapa yang tidak berpengertian, bahkan sedikit pengertian yang dimilikinya pun akan diambil daripadanya.”+
26 Yesus menyambung, “Kerajaan Tuhan bagaikan seorang lelaki yang menabur benih di tanah.
27 Setiap hari dia tidur pada waktu malam dan bangun pada waktu siang. Benih-benih itu bercambah dan bertumbuh tinggi, tetapi dia tidak tahu bagaimana hal itu berlaku.
28 Tanah itulah yang mengeluarkan hasilnya secara bertahap-tahap: Mula-mula tangkai, kemudian bulir, dan akhirnya gandum yang masak.
29 Sebaik sahaja gandum itu masak, dia mengeluarkan sabitnya kerana musim menuai sudah tiba.”
30 Yesus berkata lagi, “Apakah yang boleh disamakan dengan Kerajaan Tuhan? Apakah perumpamaan yang dapat kita gunakan untuk menjelaskannya?
31 Kerajaan Tuhan bagaikan biji sawi. Semasa ditanam, biji sawi ialah benih yang terkecil di bumi.+
32 Tetapi apabila biji sawi yang ditanam bertumbuh, tumbuhan itu menjadi lebih besar daripada semua sayuran lain. Dahannya yang besar menjadi naungan dan tempat tinggal bagi burung-burung di langit.”
33 Demikianlah Yesus menggunakan banyak perumpamaan+ seperti itu untuk mengajarkan firman Tuhan berdasarkan tahap pemahaman mereka.
34 Dia tidak akan bercakap kepada mereka tanpa menggunakan perumpamaan. Semasa dia bersama murid-muridnya sahaja, dia akan menjelaskan segala-galanya kepada mereka.+
35 Pada lewat petang hari itu, Yesus berkata kepada mereka, “Marilah kita menyeberangi tasik.”+
36 Setelah murid-murid Yesus meminta orang ramai bersurai, mereka menaiki perahu bersamanya untuk menyeberangi tasik. Ada juga perahu-perahu lain yang menyertainya.+
37 Tiba-tiba, angin ribut yang kencang melanda. Perahu itu dipukul ombak sehingga hampir penuh dengan air.+
38 Tetapi Yesus masih tidur di atas bantal di belakang perahu. Jadi mereka mengejutkannya daripada tidur dan berkata, “Tidakkah Guru peduli bahawa kami hampir mati?”
39 Maka Yesus bangun lalu menegur angin dan tasik dengan berkata, “Diam! Tenanglah!”+ Angin pun reda dan tasik menjadi tenang sekali.
40 Dia berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu begitu takut? Adakah kamu masih tidak beriman?”
41 Tetapi mereka masih sangat takut lalu berkata sesama sendiri, “Siapakah sebenarnya orang ini? Angin dan ombak pun mematuhinya.”+