Berita Baik yang Disampaikan oleh Markus 6:1-56

  • Yesus tidak diterima di kampung halamannya (1-6)

  • Arahan tentang kerja menginjil (7-13)

  • Kematian Yohanes Pembaptis (14-29)

  • 5,000 lelaki diberi makanan (30-44)

  • Yesus berjalan di atas air (45-52)

  • Menyembuhkan orang di Genesaret (53-56)

6  Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke kampung halamannya.+ Murid-muridnya juga mengikutnya. 2  Pada hari Sabat, dia mengajar di rumah ibadat dan kebanyakan orang yang mendengar ajarannya berasa sangat kagum. Mereka berkata, “Dari manakah orang ini mempelajari semua hal ini?+ Mengapakah dia begitu bijaksana dan bagaimanakah dia mendapat kuasa untuk melakukan mukjizat sebegini?+ 3  Bukankah dia tukang kayu itu?+ Bukankah dia anak Maria,+ dan abang kepada Yakobus,+ Yusuf, Yudas, dan Simon?+ Bukankah adik-adik perempuannya juga ada bersama kita?” Oleh itu, mereka enggan percaya kepadanya.* 4  Yesus berkata kepada mereka, “Seorang nabi dihormati di mana-mana sahaja, kecuali di kampung halamannya dan dalam kalangan sanak saudaranya serta dalam keluarganya sendiri.”+ 5  Jadi dia tidak melakukan banyak mukjizat di situ kecuali meletakkan tangannya ke atas beberapa orang yang sakit dan menyembuhkan mereka. 6  Yesus berasa hairan kerana mereka tidak beriman. Kemudian dia mengunjungi semua pekan di sekitar tempat itu untuk mengajar orang di situ.+ 7  Dia memanggil 12 orang rasulnya, memberi mereka kuasa atas roh-roh jahat,+ lalu mengutus mereka secara berpasangan.+ 8  Dia juga memberi mereka arahan supaya tidak membawa apa-apa untuk perjalanan mereka, seperti roti, beg makanan, atau wang tembaga, di dalam beg duit mereka. Mereka hanya boleh membawa sebatang tongkat,+ 9  memakai sepasang kasut, dan mengenakan sehelai baju.* 10  Selanjutnya dia memberitahu mereka, “Setiap kali kamu memasuki sebuah rumah, tinggallah di sana sehingga kamu meninggalkan tempat itu.+ 11  Jika orang di suatu kawasan tidak menerima kamu atau tidak mendengar kata-kata kamu, kebaskanlah debu daripada kaki kamu semasa kamu beredar sebagai amaran kepada mereka.”+ 12  Maka mereka bertolak dan menyebarkan berita bahawa orang harus bertaubat.+ 13  Mereka mengusir banyak roh jahat+ dan menyapu minyak pada ramai orang yang sakit lalu menyembuhkan mereka. 14  Pada masa itu, nama Yesus tersebar luas, dan Raja Herodes juga mendengar tentangnya. Ramai orang berkata, “Yohanes Pembaptis telah dibangkitkan daripada kematian. Itulah sebabnya dia mempunyai kuasa untuk melakukan mukjizat.”+ 15  Tetapi ada yang berkata, “Dia ialah Elia.” Ada juga yang berkata, “Dia ialah seorang nabi, seperti nabi pada zaman dahulu.”+ 16  Apabila Herodes mendengar hal itu, dia berkata, “Beta telah mengarahkan agar kepala Yohanes dipancung. Sekarang dia sudah dibangkitkan.” 17  Herodes telah mengahwini Herodias, isteri kepada abangnya Filipus. Bagi menyenangkan hati Herodias, Herodes telah mengutus orang untuk menangkap Yohanes dan merantainya di dalam penjara.+ 18  Hal ini demikian kerana Yohanes sering berkata kepada Herodes, “Tuan bersalah kerana berkahwin dengan isteri abang tuan!”+ 19  Herodias menaruh dendam terhadap Yohanes dan mahu membunuhnya, tetapi dia tidak dapat berbuat demikian 20  kerana Herodes melindungi Yohanes. Herodes takut akan Yohanes kerana Herodes tahu bahawa dia seorang lelaki yang suci dan yang melakukan apa yang benar.+ Setiap kali Herodes mendengar kata-kata Yohanes, dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Namun dia tetap suka mendengar kata-katanya. 21  Akhirnya peluang yang dinantikan Herodias tiba pada hari jadi Herodes.+ Herodes mengadakan jamuan makan untuk pegawai tinggi, ketua-ketua pasukan tentera, dan orang yang berpengaruh di Galilea.+ 22  Anak perempuan Herodias datang dan mempersembahkan tarian yang membuat Herodes dan tetamunya gembira. Maka Raja Herodes berkata kepada gadis itu, “Mintalah apa sahaja dan beta akan memberikannya kepadamu.” 23  Dia bahkan bersumpah kepadanya, “Apa sahaja yang kamu minta, beta akan memberikannya, biarpun kamu meminta separuh daripada kerajaan beta.” 24  Oleh itu, gadis itu pergi kepada ibunya dan bertanya, “Apakah yang patut saya minta?” Ibunya berkata, “Mintalah kepala Yohanes Pembaptis.” 25  Dengan segera, gadis itu menghadap raja dan memohon, “Berilah saya kepala Yohanes Pembaptis di atas sebuah dulang sekarang juga.”+ 26  Hal itu membuat raja sangat sedih. Tetapi memandangkan dia telah bersumpah di hadapan semua tetamunya, dia tidak mahu menolak permintaan gadis itu. 27  Maka raja segera mengarahkan pengawalnya untuk membawakan kepala Yohanes. Pengawal itu pun pergi ke penjara dan memancung kepala Yohanes. 28  Dia membawa kepala Yohanes di atas sebuah dulang dan memberikannya kepada gadis itu, lalu gadis itu memberikannya kepada ibunya. 29  Selepas murid-murid Yohanes mendengar hal itu, mereka datang mengambil mayatnya lalu mengebumikannya. 30  Para rasul berkumpul di sekeliling Yesus dan memberitahunya semua yang telah dilakukan dan diajarkan oleh mereka.+ 31  Yesus berkata kepada mereka, “Marilah kita pergi ke suatu tempat yang sunyi untuk berehat.”+ Dia berkata demikian kerana terdapat begitu ramai orang yang datang dan pergi sehingga mereka langsung tidak ada masa untuk makan. 32  Maka mereka menaiki perahu dan pergi ke suatu tempat yang sunyi.+ 33  Tetapi ada orang yang nampak mereka bertolak dan ada ramai orang yang mengetahui hal ini. Maka orang dari semua kota berlari dan tiba di tempat itu terlebih dahulu. 34  Apabila Yesus keluar dari perahu, dia melihat banyak orang di situ. Dia berasa kasihan terhadap mereka+ kerana mereka seperti biri-biri tanpa gembala,+ lalu dia mula mengajarkan banyak perkara kepada mereka.+ 35  Pada waktu petang, murid-muridnya datang dan berkata kepadanya, “Tempat ini terpencil dan masa sudah lewat.+ 36  Suruhlah orang ramai pergi ke desa dan pekan yang berhampiran agar mereka dapat membeli makanan.”+ 37  Tetapi Yesus berkata, “Kamu berilah mereka makanan.” Mereka pun bertanya, “Adakah Guru mahu kami membelanjakan 200 denari* untuk membeli roti bagi semua orang di sini?”+ 38  Dia berkata kepada mereka, “Pergilah dan lihat berapa banyak roti yang ada pada kamu.” Mereka pun pergi. Setelah itu, mereka berkata, “Lima ketul roti dan dua ekor ikan.”+ 39  Kemudian dia menyuruh semua orang duduk dalam kumpulan di atas rumput hijau,+ 40  lalu mereka pun duduk. Ada kumpulan yang mempunyai 100 orang, dan ada kumpulan yang mempunyai 50 orang. 41  Dia mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu lalu menengadah ke langit dan mengucapkan syukur.*+ Selepas itu, dia membahagikan roti itu dan memberikannya kepada murid-muridnya untuk diedarkan kepada orang ramai. Dia juga membahagi-bahagikan dua ekor ikan itu dan memberikannya kepada semua orang. 42  Semua orang makan sampai kenyang 43  dan baki roti yang dikumpulkan oleh mereka telah mengisi 12 buah bakul. Selain itu masih ada baki ikan.+ 44  Lelaki yang makan roti berjumlah 5,000 orang. 45  Kemudian tanpa berlengah-lengah, dia menyuruh murid-muridnya menaiki perahu terlebih dahulu dan bertolak ke seberang tasik, iaitu ke arah Betsaida. Sementara itu dia menyuruh orang ramai bersurai.+ 46  Selepas orang ramai pergi, dia pergi ke gunung untuk berdoa.+ 47  Perahu murid-muridnya sudah berada di tengah-tengah tasik apabila matahari terbenam, tetapi Yesus masih berada di darat seorang diri.+ 48  Sebelum fajar menyingsing,* dia nampak mereka bersusah payah mendayung perahu kerana angin bertiup dari arah yang bertentangan. Maka dia berjalan di atas air ke arah mereka, seolah-olah dia mahu lalu di hadapan mereka sahaja. 49  Apabila mereka nampak bayang-bayang seorang lelaki berjalan di atas air, mereka menjerit. 50  Mereka semua berasa takut setelah melihatnya. Tetapi Yesus segera berkata, “Ini aku. Janganlah takut!”+ 51  Apabila dia masuk ke dalam perahu bersama mereka, angin pun reda. Mereka sangat hairan, 52  kerana mereka masih belum memahami pengajaran daripada peristiwa Yesus membahagi-bahagikan roti itu. Ya, hati mereka masih tidak mengerti. 53  Mereka menyeberangi tasik lalu tiba di Genesaret. Di situ mereka menambat perahu di tepi tasik.+ 54  Apabila mereka keluar dari perahu, orang ramai mengenal Yesus dengan serta-merta. 55  Maka, mereka berlari untuk memberitahu penduduk kawasan itu supaya mengusung orang sakit kepada Yesus. 56  Tidak kira Yesus berada di pekan, di kota, atau di desa, penduduk di situ akan membawa orang yang sakit ke tempat awam.* Mereka merayu kepadanya supaya sekurang-kurangnya diizinkan untuk menyentuh hujung jubah luarnya.+ Semua orang yang menyentuh hujung jubah luarnya pun sembuh.

Nota Kaki

Atau “mereka tersandung kerana dia.”
Harfiah, “tidak mengenakan dua helai pakaian.”
Harfiah, “berkat.”
Harfiah, “waktu ke-4.” Iaitu, kira-kira pukul 3 pagi sehingga matahari terbit kira-kira pada pukul 6 pagi.
Atau “pasar.”