Berita Baik yang Disampaikan oleh Matius 16:1-28
16 Orang Farisi dan Saduki datang kepada Yesus untuk mengujinya. Mereka memintanya menunjukkan suatu tanda dari syurga.+
2 Dia berkata, “Pada waktu senja, kamu biasanya berkata, ‘Esok cuaca akan baik kerana langit merah marak.’
3 Pada waktu pagi pula, kamu akan berkata, ‘Langit merah tetapi mendung. Nampaknya hari ini akan sejuk dan hujan.’ Kamu dapat menjelaskan keadaan cuaca dengan melihat langit, tetapi tidak dapat menjelaskan tanda-tanda yang berlaku sekarang.
4 Generasi yang jahat dan tidak setia kepada Tuhan* asyik meminta tanda. Tetapi tiada tanda yang akan diberikan kepada generasi ini+ kecuali tanda Yunus.”+ Selepas itu, dia meninggalkan mereka.
5 Semasa murid-murid Yesus menyeberangi tasik, mereka lupa membawa roti.+
6 Yesus berkata kepada mereka, “Berwaspadalah dan berjaga-jagalah terhadap ragi orang Farisi dan Saduki.”+
7 Oleh itu mereka berkata sesama sendiri, “Mungkin dia berkata demikian kerana kita lupa membawa roti.”
8 Yesus mengetahui hal ini lalu berkata, “Alangkah kecilnya iman kamu! Mengapakah kamu berbincang tentang roti yang kamu lupa bawa?
9 Belumkah kamu faham? Adakah kamu sudah lupa berapa bakul makanan yang dikumpulkan setelah lima ketul roti dibahagikan kepada 5,000 orang lelaki?+
10 Atau adakah kamu sudah lupa berapa bakul besar makanan yang dikumpulkan setelah tujuh ketul roti dibahagikan kepada 4,000 orang lelaki?+
11 Mengapakah kamu tidak mengerti bahawa aku bukannya bercakap tentang roti? Aku sedang berkata bahawa kamu perlu berjaga-jaga terhadap ragi orang Farisi dan Saduki.”+
12 Barulah mereka sedar bahawa dia sedang mengingatkan mereka agar berjaga-jaga terhadap ajaran orang Farisi dan Saduki, bukannya terhadap ragi di dalam roti.
13 Semasa Yesus tiba di kawasan Kaisarea Filipi, dia bertanya kepada murid-muridnya, “Menurut orang, siapakah Anak Manusia itu?”+
14 Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis,+ yang lain berkata Elia,+ dan ada juga yang berkata Yeremia atau salah seorang nabi.”
15 Dia berkata kepada mereka, “Bagaimana pula dengan kamu? Menurut kamu, siapakah aku?”
16 Simon Petrus menjawab, “Guru ialah Kristus,+ Anak kepada Tuhan yang hidup.”+
17 Yesus berkata kepadanya, “Berbahagialah kamu Simon anak Yunus, kerana yang menyingkapkan hal ini kepada kamu bukanlah manusia tetapi Bapaku yang di syurga.+
18 Aku juga berkata kepadamu: Kamu ialah Petrus.+ Di atas batu ini+ aku akan membina sidangku, dan kuasa maut* tidak dapat mengalahkannya.
19 Aku akan memberimu kunci-kunci Kerajaan di syurga. Apa sahaja yang kamu ikat di bumi sudah diikat di syurga, dan apa sahaja yang kamu lepaskan di bumi sudah dilepaskan di syurga.”
20 Kemudian dia melarang murid-muridnya memberitahu sesiapa pun bahawa dia ialah Kristus.+
21 Sejak masa itu, Yesus mula menjelaskan kepada murid-muridnya bahawa dia mesti pergi ke Yerusalem dan dianiaya dengan teruk oleh para pemimpin orang Yahudi, ketua imam, dan jurutulis hukum. Dia juga menjelaskan bahawa dia akan dibunuh, tetapi pada hari yang ketiga, dia akan dibangkitkan.+
22 Lalu Petrus membawanya ke tepi dan mula menegurnya, “Tuan, janganlah cakap begitu.* Perkara sebegini tidak akan sekali-kali menimpamu.”+
23 Tetapi Yesus berpaling daripada Petrus lalu berkata, “Jauhkanlah dirimu daripadaku, Syaitan! Kamu ialah batu sandungan bagiku, kerana fikiranmu ialah fikiran manusia, bukan fikiran Tuhan.”+
24 Kemudian Yesus memberitahu murid-muridnya, “Jika sesiapa ingin mengikutku, hendaklah dia menolak kepentingan sendiri, memikul tiang seksaannya,* dan terus mengikut aku.+
25 Sesiapa yang ingin menyelamatkan nyawanya akan kehilangan nyawanya, tetapi sesiapa yang kehilangan nyawanya demi aku akan menyelamatkan nyawanya.+
26 Sesungguhnya, apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia tetapi kehilangan nyawanya?+ Biarpun seseorang menggadaikan segala yang dimilikinya, dapatkah dia menyelamatkan nyawa sendiri?+
27 Dengan kemuliaan yang dikurniakan oleh Bapanya, Anak Manusia akan datang bersama para malaikatnya untuk membalas setiap orang mengikut kelakuan masing-masing.+
28 Sesungguhnya aku memberitahu kamu bahawa beberapa orang yang berdiri di sini tidak akan mati selagi mereka tidak melihat Anak Manusia datang dalam Kerajaannya.”+