Berita Baik yang Disampaikan oleh Matius 2:1-23

  • Lawatan ahli nujum (1-12)

  • Pergi ke Mesir (13-15)

  • Pembunuhan budak lelaki (16-18)

  • Kembali ke Nasaret (19-23)

2  Yesus dilahirkan di Betlehem+ yang terletak di Yudea pada zaman pemerintahan Raja Herodes.*+ Kemudian, beberapa orang ahli nujum dari Timur datang ke Yerusalem. 2  Mereka bertanya, “Di manakah raja orang Yahudi+ yang telah dilahirkan itu? Kami nampak bintangnya semasa kami berada di Timur, dan kami datang untuk sujud kepadanya.” 3  Apabila mendengar hal ini, Raja Herodes dan semua penduduk Yerusalem menjadi gelisah. 4  Herodes memanggil semua ketua imam dan jurutulis hukum lalu bertanya kepada mereka di mana Kristus* akan dilahirkan. 5  Mereka menjawab, “Di Betlehem+ yang terletak di Yudea, kerana inilah yang ditulis oleh seorang nabi: 6  ‘Hai Betlehem di Yehuda, para gabenor Yehuda yang lain tidak harus memandangmu sebagai kota yang terkecil, kerana daripadamu akan lahir seorang pemerintah yang akan menggembala umat-Ku Israel.’”+ 7  Kemudian Herodes mengadakan pertemuan rahsia dengan para ahli nujum itu. Setelah bertanya kepada mereka dengan terperinci, akhirnya Herodes mengetahui masanya bintang itu muncul. 8  Dia mengutus mereka ke Betlehem dan berkata, “Carilah anak kecil itu dengan cermat. Apabila kamu menjumpai dia, laporkanlah kepada beta agar beta juga dapat pergi dan bersujud kepadanya.” 9  Selepas menerima perintah raja, mereka pun berangkat. Dalam perjalanan, mereka nampak bintang yang sebelumnya muncul ketika mereka berada di Timur.+ Bintang tersebut mendahului mereka lalu berhenti di atas rumah yang didiami anak kecil itu. 10  Mereka sangat bersukacita apabila melihat bintang itu berhenti. 11  Mereka masuk ke dalam rumah itu dan melihat anak kecil tersebut bersama ibunya Maria. Mereka bersujud kepadanya lalu mengeluarkan emas, kemenyan putih, dan mur sebagai hadiah kepadanya. 12  Tetapi Tuhan telah memberikan amaran kepada mereka menerusi mimpi+ agar tidak kembali kepada Herodes. Maka mereka pulang ke tanah air mereka melalui jalan lain. 13  Setelah mereka berangkat, malaikat Yehuwa* muncul dalam mimpi Yusuf+ dan berkata, “Cepatlah bangun dan bawa anak kecil itu dengan ibunya ke Mesir. Tinggallah di situ sehingga aku memberimu arahan selanjutnya, kerana Herodes ingin mencari anak kecil itu untuk membunuhnya.” 14  Pada malam itu juga, Yusuf bangun dan membawa anak kecil itu bersama ibunya ke Mesir. 15  Dia menetap di situ sehingga Herodes meninggal. Maka terjadilah apa yang difirmankan oleh Yehuwa* menerusi nabi-Nya, “Aku akan memanggil anak-Ku keluar dari Mesir.”+ 16  Apabila Herodes sedar bahawa dirinya telah diperdaya oleh para ahli nujum tersebut, dia sangat marah lalu mengutus orang untuk membunuh semua budak lelaki yang berusia dua tahun ke bawah di Betlehem dan daerah-daerah yang berdekatan. Dia berbuat demikian berdasarkan maklumat yang diberikan oleh para ahli nujum.+ 17  Maka terjadilah apa yang difirmankan menerusi Nabi Yeremia, 18  “Kedengaran suara tangisan dan ratapan di Rama. Itulah suara Rahel+ yang sedang menangisi anak-anaknya. Dia enggan dihiburkan kerana mereka sudah tiada lagi.”+ 19  Selepas Herodes meninggal, malaikat Yehuwa* muncul dalam mimpi Yusuf.+ Pada masa itu, Yusuf berada di Mesir. 20  Malaikat itu berkata, “Bangunlah dan bawa anak kecil itu dengan ibunya ke negeri Israel, kerana mereka yang ingin mengambil nyawa anak kecil itu sudah meninggal.” 21  Maka Yusuf bangun dan membawa anak kecil itu dengan ibunya ke negeri Israel. 22  Tetapi apabila Yusuf mendapat tahu bahawa Arkelaus telah menggantikan bapanya Herodes sebagai raja Yudea, dia berasa takut. Tambahan lagi, dia telah mendapat amaran daripada Tuhan dalam mimpi+ agar tidak pergi ke situ. Oleh itu, dia bertolak ke kawasan Galilea+ 23  dan menetap di kota Nasaret.+ Maka, terjadilah apa yang dinubuatkan oleh para nabi, “Dia akan dipanggil orang Nasaret.”*+

Nota Kaki

Lihat Kamus.
Atau “Mesias; Dia yang Terurap.”
Mungkin berasal daripada perkataan Ibrani “tunas.”