Matius 20:1-34

  • Pekerja ladang anggur dan upah yang sama (1-16)

  • Kematian Yesus dinubuatkan sekali lagi (17-19)

  • Meminta kedudukan dalam Kerajaan Tuhan (20-28)

    • Tebusan bagi banyak orang (28)

  • Dua lelaki buta disembuhkan (29-34)

20  “Kerajaan di syurga adalah seperti seorang pemilik ladang anggur yang keluar pada awal pagi untuk mengupah orang bekerja di ladangnya.+  Setelah dia bersetuju untuk membayar para pekerja upah satu denari* sehari, dia menyuruh mereka bekerja di ladang anggurnya.  Kira-kira pada jam sembilan pagi,* dia keluar dan nampak beberapa orang yang menganggur berdiri di tempat awam.*  Maka dia berkata kepada mereka, ‘Pergilah bekerja di ladang anggurku. Aku akan memberi kamu upah yang berpatutan.’  Jadi mereka pun pergi. Kira-kira pada jam 12 tengah hari* dan jam 3 petang,* pemilik ladang itu keluar dan melakukan hal yang sama.  Akhirnya, kira-kira pada jam lima petang* dia keluar sekali lagi dan nampak beberapa orang yang sedang berdiri tanpa membuat apa-apa. Maka dia bertanya kepada mereka, ‘Mengapakah kamu berdiri di sini sehari suntuk tanpa bekerja?’  Mereka menjawab, ‘Kerana tiada orang yang mengupah kami.’ Lalu dia berkata kepada mereka, ‘Kalau begitu, pergilah bekerja di ladang anggurku.’  “Apabila hari mula senja, pemilik ladang anggur itu berkata kepada ketua pekerja, ‘Panggillah semua pekerja dan bayarlah upah mereka,+ mulai daripada pekerja yang datang terakhir sehingga pekerja yang datang paling awal.’  Pekerja yang datang pada jam lima petang masing-masing menerima upah sebanyak satu denari. 10  Oleh itu, pekerja yang datang paling awal menyangka bahawa mereka akan dibayar lebih. Tetapi mereka juga menerima upah satu denari. 11  Ketika mereka menerima upah itu, mereka mula bersungut-sungut terhadap pemilik ladang. 12  Mereka berkata, ‘Pekerja yang datang terakhir bekerja satu jam sahaja, sedangkan kami bekerja keras sepanjang hari di bawah matahari yang terik. Tetapi tuan memperlakukan kami sama dengan mereka!’ 13  Dia menjawab salah seorang daripada mereka, ‘Dengarlah kawan. Aku tidak bersalah terhadapmu. Bukankah kamu sudah bersetuju untuk bekerja dengan upah satu denari sehari?+ 14  Ambillah upahmu dan pergilah. Aku mahu memberi pekerja yang terakhir upah yang sama dengan kamu. 15  Tidakkah aku berhak menggunakan harta milikku sendiri dengan sesuka hati? Atau adakah kamu cemburu* kerana aku baik?’*+ 16  Dengan cara ini, orang yang terakhir akan menjadi yang pertama, manakala orang yang pertama akan menjadi yang terakhir.”+ 17  Dalam perjalanan ke Yerusalem, Yesus membawa 12 orang muridnya ke tepi dan berkata kepada mereka sahaja,+ 18  “Lihatlah! Kita sedang menuju ke Yerusalem. Di situ, Anak Manusia akan diserahkan kepada ketua-ketua imam dan para jurutulis hukum. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati atasnya.+ 19  Kemudian, mereka akan menyerahkannya kepada orang daripada bangsa lain dan dia akan diperolok-olokkan, dicambuk, dan dihukum bunuh pada tiang.+ Pada hari ketiga, dia akan dibangkitkan.”+ 20  Kemudian, ibu kepada anak-anak Zebedeus+ membawa dua orang anaknya kepada Yesus. Dia sujud kepadanya dan ingin meminta sesuatu daripadanya.+ 21  Yesus bertanya, “Apakah yang kamu ingin aku lakukan untuk kamu?” Wanita itu menjawab, “Aku memohon supaya kedua-dua orang anak lelakiku diizinkan untuk duduk bersama Tuan dalam Kerajaan Tuan, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri.”+ 22  Yesus menjawab, “Kamu berdua tidak tahu apa yang sedang kamu minta. Sanggupkah kamu minum daripada cawan yang aku minum?”+ Mereka berkata, “Kami sanggup.” 23  Yesus berkata lagi, “Kamu memang akan minum daripada cawanku,+ tetapi aku tidak berhak untuk menentukan siapa yang akan duduk di sebelah kanan atau kiriku. Mereka yang akan duduk di situ ditentukan oleh Bapaku.”+ 24  Semasa 10 orang murid yang lain mendengar hal ini, mereka marah terhadap dua orang adik-beradik itu.+ 25  Oleh itu, Yesus memanggil mereka dan berkata, “Kamu tahu bahawa raja dan pembesar bangsa-bangsa lain menguasai dan mengawal rakyat mereka.+ 26  Hal seperti itu sepatutnya tidak berlaku dalam kalangan kamu.+ Sebaliknya, jika sesiapa antara kamu ingin menjadi besar, dia mesti melayani kamu.+ 27  Jika sesiapa antara kamu ingin menjadi yang pertama, dia mesti menjadi hamba kamu.+ 28  Hal ini demikian kerana Anak Manusia tidak datang untuk dilayani, tetapi untuk melayani+ dan menyerahkan nyawanya sebagai tebusan bagi banyak orang.”+ 29  Semasa mereka meninggalkan Yerikho, banyak orang mengikut Yesus. 30  Dua orang lelaki buta yang duduk di tepi jalan mendengar bahawa Yesus sedang lalu di situ. Maka mereka berseru, “Tuan, Anak Daud, kasihanilah kami!”+ 31  Dengan tegas, orang ramai menyuruh mereka diam. Tetapi mereka berseru dengan lebih kuat lagi, “Tuan, Anak Daud, kasihanilah kami!” 32  Maka Yesus berhenti dan memanggil mereka, lalu bertanya, “Apakah yang kamu ingin aku lakukan untuk kamu?” 33  Mereka menjawab, “Tuan, pulihkanlah penglihatan kami.” 34  Yesus berasa kasihan terhadap mereka lalu menyentuh mata mereka.+ Dengan serta-merta, mereka dapat melihat semula, lalu mereka mengikutnya.

Nota Kaki

Harfiah, “jam yang ke-3.”
Atau “pasar.”
Harfiah, “jam yang ke-6.”
Harfiah, “jam yang ke-9.”
Harfiah, “jam yang ke-11.”
Harfiah, “Atau adakah mata kamu jahat?”
Atau “murah hati?”