Matius 22:1-46

  • Perumpamaan tentang majlis perkahwinan (1-14)

  • Tuhan dan Kaisar (15-22)

  • Soalan tentang pembangkitan (23-33)

  • Dua hukum yang paling penting (34-40)

  • Adakah Kristus anak Daud? (41-46)

22  Sekali lagi Yesus bercakap kepada mereka dengan menggunakan perumpamaan. Dia berkata,  “Kerajaan di syurga adalah seperti seorang raja yang mengadakan majlis perkahwinan+ untuk anak lelakinya.  Raja itu mengutus hamba-hambanya untuk memanggil para jemputan, tetapi mereka enggan datang.+  Sekali lagi raja mengutus hamba-hambanya yang lain. Raja berkata, ‘Beritahulah para jemputan, “Beta sudah menyediakan jamuan makan malam. Lembu jantan dan binatang-binatang beta yang terbaik sudah disembelih, dan semuanya sudah tersedia. Datanglah ke majlis perkahwinan putera beta.”’  Tetapi mereka tidak mengambil peduli. Seorang pergi ke ladangnya; seorang lagi pergi menguruskan perniagaannya;+  yang lain pula menangkap hamba-hamba raja itu lalu memukul dan membunuh mereka.  “Raja menjadi marah lalu mengutus tenteranya untuk membunuh para pembunuh itu dan membakar kota mereka.+  Kemudian raja berkata kepada hamba-hambanya, ‘Majlis perkahwinan sudah tersedia, tetapi mereka yang dijemput tidak layak menghadirinya.+  Maka, pergilah ke jalan-jalan yang menuju ke luar kota dan jemputlah sesiapa sahaja yang kamu jumpa untuk datang ke majlis perkahwinan ini.’+ 10  Hamba-hamba itu menurut perintah raja lalu pergi ke jalan-jalan dan mengumpulkan semua orang yang dijumpai, baik yang jahat mahupun yang baik. Maka dewan majlis perkahwinan itu dipenuhi dengan tetamu. 11  “Semasa raja masuk untuk melihat para tetamunya, dia ternampak seorang lelaki yang pakaiannya tidak sesuai untuk majlis perkahwinan itu. 12  Raja berkata kepadanya, ‘Mengapakah kamu berada di sini sedangkan pakaianmu tidak sesuai?’ Orang itu diam sahaja. 13  Maka raja berkata kepada hamba-hambanya, ‘Ikatlah tangan dan kakinya lalu buanglah dia ke tempat yang gelap di luar. Di situ dia akan menangis dan menggertakkan gigi.’ 14  “Hal ini demikian kerana yang dijemput ramai tetapi yang dipilih sedikit.” 15  Lalu orang Farisi pergi dari situ dan berkomplot untuk memerangkap Yesus berdasarkan kata-kata yang diucapkannya.+ 16  Maka mereka mengutus murid-murid mereka bersama pengikut-pengikut Herodes+ untuk berkata kepada Yesus, “Guru, kami tahu bahawa Guru jujur dan mengajarkan jalan Tuhan berdasarkan kebenaran. Guru tidak pilih kasih dan tidak menghakimi seseorang berdasarkan penampilannya. 17  Oleh itu, menurut pandangan Guru, patutkah kita membayar cukai kepala kepada Kaisar?”* 18  Tetapi Yesus tahu bahawa mereka berniat jahat. Jadi dia berkata, “Hai orang yang bermuka dua, mengapakah kamu menguji aku? 19  Tunjukkanlah duit syiling yang kamu gunakan untuk membayar cukai kepala.” Mereka memberikan satu denari* kepadanya. 20  Maka dia bertanya kepada mereka, “Muka dan gelaran siapakah ini?” 21  Mereka menjawab, “Kaisar.” Dia berkata kepada mereka, “Jadi berikanlah milik Kaisar kepada Kaisar, tetapi berikanlah milik Tuhan kepada Tuhan.”+ 22  Apabila mereka mendengar jawapan itu, mereka berasa amat kagum. Mereka meninggalkan Yesus lalu pergi dari situ. 23  Orang Saduki tidak percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan.+ Pada hari itu, mereka datang kepada Yesus lalu bertanya,+ 24  “Guru, Musa berkata, ‘Jika seorang lelaki mati sebelum mempunyai anak, saudara kandungnya mesti berkahwin dengan balunya supaya dia mempunyai keturunan.’+ 25  Bersama kami ada tujuh orang adik-beradik. Yang sulung berkahwin lalu mati tanpa mempunyai anak. Maka adiknya mengahwini isterinya. 26  Hal yang sama berlaku kepada adik yang kedua, dan yang ketiga, sehingga adik yang ketujuh. 27  Akhirnya, wanita itu pun mati. 28  Memandangkan tujuh orang adik-beradik itu pernah berkahwin dengannya, siapakah antara mereka yang akan menjadi suaminya semasa pembangkitan nanti?” 29  Yesus berkata kepada mereka, “Kamu sudah silap kerana kamu tidak mengetahui Ayat-Ayat Suci ataupun kuasa Tuhan.+ 30  Semasa pembangkitan, lelaki dan perempuan tidak akan berkahwin, tetapi menjadi seperti malaikat di syurga.+ 31  Berkenaan dengan pembangkitan orang mati, belum pernahkah kamu baca apa yang difirmankan oleh Tuhan kepada kamu? Tuhan berfirman, 32  ‘Aku Tuhan Abraham, Tuhan Ishak, dan Tuhan Yakub.’+ Dia ialah Tuhan orang hidup, bukan Tuhan orang mati.”+ 33  Setelah mendengar kata-katanya, orang ramai terpesona dengan ajarannya.+ 34  Selepas orang Farisi mendengar bahawa Yesus membuat orang Saduki terdiam, mereka berkumpul lalu pergi kepadanya. 35  Salah seorang daripada mereka yang arif dalam Hukum mengujinya dengan bertanya, 36  “Guru, dalam Hukum Musa, hukum manakah yang paling penting?”+ 37  Yesus menjawab, “‘Kamu mesti mengasihi Yehuwa,* Tuhanmu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa,* dan dengan segenap akal.’+ 38  Inilah hukum pertama dan hukum yang terpenting. 39  Hukum kedua, yang hampir sama dengannya ialah ‘Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.’+ 40  Seluruh Hukum dan Ajaran Para Nabi didasarkan pada kedua-dua hukum ini.”+ 41  Sementara orang Farisi masih berkumpul, Yesus bertanya kepada mereka,+ 42  “Apakah pendapat kamu tentang Kristus? Dia itu anak siapa?” Mereka menjawab, “Dia anak Daud.”+ 43  Yesus berkata, “Kalau begitu, mengapakah Daud yang diilhami kuasa suci Tuhan+ memanggil dia Tuan? Daud berkata, 44  ‘Yehuwa* berfirman kepada Tuanku, “Duduklah di sebelah kanan-Ku sehingga Aku meletakkan musuh-musuhmu di bawah kakimu.”’+ 45  Memandangkan Daud memanggil dia Tuan, bagaimana mungkin Kristus itu anak Daud?”+ 46  Tidak seorang pun yang dapat menjawabnya. Sejak hari itu, tiada sesiapa lagi yang berani menanyakan apa-apa soalan kepadanya.

Nota Kaki

Gelaran bagi maharaja Roma.
Lihat Kamus.