Nehemia 2:1-20
2 Pada bulan Nisan,* tahun ke-20+ pemerintahan Raja Artahsasta,+ wain dihidangkan kepada raja. Seperti biasa, aku menghidangkan wain itu kepadanya.+ Tetapi sebelum ini, aku tidak pernah berwajah muram di hadapannya.
2 Oleh itu, raja bertanya kepadaku, “Mengapakah kamu kelihatan muram sedangkan kamu tidak sakit? Tentu ada perkara yang menyusahkan hatimu.” Aku menjadi sangat takut pada saat itu.
3 Aku pun menjawab raja, “Daulat tuanku! Bagaimana mungkin hamba tidak bersedih, apabila kota tempat nenek moyang hamba dikebumikan sudah binasa, dan pintu gerbangnya sudah dijilat api?”+
4 Raja bertanya, “Kalau begitu, apakah permintaanmu?” Pada saat itu juga aku berdoa kepada Tuhan di syurga+
5 lalu menjawab raja, “Jika tuanku berkenan, dan jika hamba menyenangkan hati tuanku, benarkanlah hamba pergi ke Yehuda, ke kota tempat nenek moyang hamba dikebumikan, supaya hamba dapat membina semula kota itu.”+
6 Pada waktu itu, raja sedang duduk di sisi permaisurinya. Dia berkata kepadaku, “Berapa lamakah perjalananmu itu? Bilakah kamu akan kembali?” Aku pun memberitahu raja bila aku akan kembali,+ dan raja membenarkan aku pergi.+
7 Aku berkata lagi, “Jika tuanku berkenan, berilah hamba surat untuk ditunjukkan kepada gabenor-gabenor di wilayah seberang Sungai Efrat,*+ supaya hamba dapat melalui kawasan mereka dan tiba di Yehuda dengan selamat.
8 Selain itu, berilah hamba surat untuk ditunjukkan kepada Asaf, iaitu penjaga hutan diraja,* agar dia membekalkan kayu balak kepada hamba untuk membina pintu gerbang Kubu+ Rumah Tuhan, tembok-tembok kota,+ dan tempat kediaman hamba.” Maka raja memberikan surat-surat itu kepada aku+ kerana Tuhanku menyertaiku.+
9 Apabila aku berjumpa dengan gabenor-gabenor di wilayah seberang Sungai Efrat, aku memberi mereka surat raja. Raja juga mengutus panglima-panglima tentera dan askar berkuda untuk mengiring aku.
10 Sanbalat+ dari Bet-horon dan Tobia,+ seorang pegawai dari Ammon,+ mendengar tentang hal ini dan mereka sangat marah kerana ada orang yang datang untuk menolong* bangsa Israel.
11 Akhirnya, aku sampai di Yerusalem dan tinggal di sana selama tiga hari.
12 Pada waktu malam, aku bangun dan membawa beberapa orang bersamaku. Aku tidak memberitahu sesiapa pun bahawa Tuhan telah menggerakkan hatiku untuk melakukan sesuatu bagi Yerusalem. Aku tidak membawa binatang lain bersamaku, selain binatang yang aku tunggangi.
13 Aku keluar dari kota melalui Pintu Gerbang Lembah+ pada waktu malam. Aku lalu di hadapan Mata Air Ular Besar sehingga aku sampai di Pintu Gerbang Timbunan Abu.+ Aku memeriksa tembok-tembok Yerusalem yang telah runtuh dan pintu-pintu gerbangnya yang telah dibakar api.+
14 Kemudian aku lalu di Pintu Gerbang Mata Air+ dan pergi ke Kolam Raja. Kawasan di situ terlalu sempit sehingga binatang yang aku tunggangi tidak dapat melaluinya.
15 Tetapi aku meneruskan perjalanan pada malam itu sehingga aku sampai di sebuah lembah.*+ Aku terus memeriksa tembok kota sehingga aku kembali ke Pintu Gerbang Lembah.
16 Para pembesar+ tidak tahu ke mana aku pergi dan apa yang telah aku lakukan kerana aku belum memberitahu mereka apa-apa pun. Aku juga belum memberitahu apa-apa kepada orang Yahudi, para imam, golongan bangsawan, dan pekerja yang lain.
17 Tetapi kemudian aku berkata kepada mereka, “Kamu semua tentu sedar betapa teruknya keadaan kita sekarang. Kota Yerusalem tinggal reruntuhan dan pintu-pintu gerbangnya musnah dibakar api. Marilah kita bina semula tembok Yerusalem supaya kita tidak lagi dipandang hina.”
18 Setelah itu, aku memberitahu mereka bagaimana Tuhan menyertai aku dan menolong aku.+ Aku juga memberitahu mereka apa yang telah dikatakan oleh raja kepadaku.+ Selepas mendengarnya, mereka berkata, “Marilah kita mulakan kerja pembinaan!” Oleh itu, mereka bersiap sedia untuk memulakan kerja pembinaan itu.+
19 Apabila Sanbalat dari Bet-horon, Tobia,+ seorang pegawai dari Ammon,+ dan Gesyem dari Arab+ mendengar tentang apa yang telah berlaku, mereka mula mengejek kami.+ Mereka menghina kami dengan berkata, “Apa yang sedang kamu lakukan? Adakah kamu hendak memberontak terhadap raja?”+
20 Aku menjawab, “Kami akan melakukan kerja pembinaan ini. Kami ialah hamba-hamba Tuhan di syurga, dan Dia pasti akan menjayakan usaha kami.+ Tetapi kamu tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Yerusalem. Kamu tidak berhak untuk menuntut apa-apa pun, dan kamu tidak akan diingati di kota ini.”+