Nehemia 4:1-23

  • Kerja pembinaan diteruskan meskipun ditentang (1-14)

  • Para pekerja membina sambil memegang senjata (15-23)

4  Sebaik sahaja Sanbalat+ mendengar bahawa kami sedang membina semula tembok itu, dia tidak senang hati.* Dia sangat marah dan asyik menghina orang Yahudi. 2  Dia berkata di hadapan rakan-rakannya dan tentera Samaria, “Apakah yang sedang dilakukan oleh orang Yahudi yang lemah ini? Mampukah mereka menyiapkan kerja pembinaan ini tanpa bantuan? Adakah mereka akan mempersembahkan korban dan menyelesaikan kerja ini dalam masa satu hari? Dapatkah mereka membuat batu binaan daripada timbunan reruntuhan yang sudah dibakar menjadi abu?”+ 3  Tobia,+ orang Ammon+ yang berdiri di sebelah Sanbalat, berkata, “Kalau seekor rubah* memanjat tembok batu yang didirikan oleh mereka, tembok itu pasti akan roboh!” 4  Kemudian Nehemia berkata, “Ya Tuhan, dengarlah doa kami kerana mereka telah menghina kami!+ Biarlah hinaan mereka itu menimpa diri mereka sendiri.+ Biarlah mereka menjadi seperti barang rampasan lalu dibawa ke negeri lain sebagai tawanan. 5  Janganlah lupakan kesalahan mereka atau mengampunkan dosa mereka+ kerana mereka telah menghina orang yang sedang membina tembok ini.” 6  Oleh itu, kami terus membina tembok itu sehingga bahagian-bahagian tembok itu disambung menjadi satu dan tembok itu mencapai setengah ketinggiannya. Semua orang terus bekerja dengan sepenuh hati. 7  Sebaik sahaja Sanbalat, Tobia,+ orang Arab,+ orang Ammon, dan orang Asdod+ mendengar bahawa kerja membaiki tembok Yerusalem berjalan dengan lancar dan lubang-lubang tembok itu mula ditutup, mereka menjadi sangat marah. 8  Mereka bersubahat untuk pergi ke Yerusalem dan menyerang orang di situ dan menimbulkan kekacauan. 9  Tetapi kami berdoa kepada Tuhan kami dan menempatkan pengawal untuk menjaga kota itu siang dan malam. 10  Biarpun begitu, orang Yehuda berkata, “Timbunan reruntuhan masih banyak, tetapi para pemikul beban semakin lemah. Kami tidak berdaya membina tembok ini.” 11  Musuh-musuh kami juga asyik berkata, “Kami akan menyerang mereka sebelum mereka nampak kami atau mengetahui apa yang sedang berlaku. Kami akan membunuh mereka dan menghentikan kerja pembinaan itu.” 12  Selain itu, orang Yahudi yang tinggal berhampiran dengan musuh kami datang dan memberitahu kami berkali-kali,* “Mereka akan menyerang kamu dari semua arah.” 13  Maka aku menempatkan pengawal di belakang tembok, iaitu di bahagian tembok yang terendah dan terdedah. Aku menempatkan mereka menurut keluarga masing-masing, dan mereka berkawal di tempat mereka dengan pedang, tombak, dan busur. 14  Apabila aku nampak bahawa semua orang berasa takut, aku segera pergi kepada para bangsawan,+ para pembesar, dan rakyat yang lain. Aku berkata, “Janganlah takut akan musuh!+ Ingatlah, Yehuwa ialah Tuhan yang agung dan yang dihormati!+ Berjuanglah demi saudara-saudara kamu, anak isteri kamu, dan kampung halaman kamu!” 15  Kami mengetahui rancangan musuh-musuh kami, dan Tuhan yang benar telah menggagalkan rancangan mereka itu. Oleh itu, kami semua meneruskan kerja pembinaan tembok. 16  Sejak hari itu, setengah daripada anak buahku bekerja,+ dan setengah lagi berkawal dengan memakai baju perang dan memegang tombak, perisai, dan busur. Para pemimpin+ berdiri di belakang orang Yehuda 17  yang membina tembok. Para pemikul beban pula mengangkat beban hanya dengan satu tangan kerana tangan yang lain membawa senjata. 18  Selain itu, setiap orang yang membina tembok mengikat sebilah pedang pada pinggang semasa bekerja, dan orang yang ditugaskan untuk meniup trompet tanduk+ berdiri di sisiku. 19  Kemudian aku berkata kepada para bangsawan, pembesar, dan rakyat yang lain, “Kita masih ada banyak kerja dan kawasan pembinaan kita sangat luas. Kita bekerja jauh daripada satu sama lain. 20  Jadi apabila kamu mendengar bunyi trompet tanduk, segeralah berkumpul di sekelilingku. Tuhan kita akan berjuang untuk kita.”+ 21  Demikianlah kami terus bekerja dari fajar menyingsing sehingga bintang-bintang kelihatan di langit. Separuh daripada kami membina tembok, dan separuh lagi memegang tombak. 22  Pada masa itu, aku berkata kepada mereka, “Setiap orang haruslah bermalam di dalam kota Yerusalem bersama pembantunya. Mereka akan bekerja pada siang hari dan mengawal kota pada malam hari.” 23  Oleh itu, aku, saudara-saudaraku, pembantuku,+ dan semua pengawal yang mengiringiku tidak pernah menanggalkan pakaian kami, dan tangan kanan kami juga sentiasa memegang senjata.

Nota Kaki

Atau “dia tersinggung.”
Sejenis binatang di negeri Israel yang menyerupai anjing.
Harfiah, “10 kali.”