Nehemia 6:1-19

  • Kerja pembinaan terus ditentang (1-14)

  • Tembok siap dibina dalam masa 52 hari (15-19)

6  Sanbalat, Tobia,+ dan Gesyem, seorang lelaki Arab,+ serta musuh-musuh kami yang lain mendapat berita bahawa aku telah membina semula tembok Yerusalem+ dan menutup semua lubang di tembok itu. (Pada masa itu, aku belum memasangkan daun pintu pada pintu-pintu gerbang.)+  Maka Sanbalat dan Gesyem mengirim pesanan berikut kepadaku dengan segera: “Marilah kita buat temu janji untuk berjumpa di perkampungan yang terletak di Dataran Ono.”+ Namun aku tahu bahawa mereka merancang untuk mencelakakan aku.  Oleh itu, aku menghantar utusan kepada mereka untuk menyampaikan pesanan ini: “Aku sedang menjalankan kerja yang penting, jadi aku tidak dapat berjumpa dengan kamu. Mengapa aku harus berhenti melakukan kerja ini dan datang berjumpa dengan kamu?”  Mereka mengirim pesanan yang sama kepada aku sebanyak empat kali, dan aku pun memberi mereka jawapan yang sama setiap kali.  Kemudian, Sanbalat mengutus pembantunya kepadaku buat kali kelima dengan pesanan yang sama. Tetapi kali ini, pembantunya juga membawa sepucuk surat yang terbuka.  Demikianlah kandungan surat itu: “Ada khabar angin yang tersebar dalam kalangan bangsa-bangsa lain bahawa kamu dan orang Yahudi sedang merancang untuk memberontak.+ Bahkan Gesyem+ juga mengatakan hal yang sama. Itulah sebabnya kamu membina semula tembok itu. Selain itu, aku juga mendengar bahawa kamu akan menjadi raja mereka,  dan kamu melantik nabi-nabi untuk mengumumkan di seluruh Yerusalem bahawa Yehuda mempunyai seorang raja. Hal-hal ini pasti akan diketahui oleh raja. Jadi marilah kita berjumpa dan berbincang tentangnya.”  Aku mengirim jawapan berikut kepadanya: “Semua yang kamu katakan itu langsung tidak benar. Kamu sendiri yang mereka-reka cerita itu.”  Mereka mencuba menakut-nakutkan kami. Mereka berkata sesama sendiri, “Tangan mereka akan menjadi lemah, dan kerja ini pasti tergendala.”+ Oleh itu, aku berdoa, “Ya Tuhan, kuatkanlah tanganku.”+ 10  Kemudian aku pergi ke rumah Semaya anak Delaya, iaitu cucu Mehetabel, kerana dia tidak dapat meninggalkan rumahnya. Semaya berkata kepadaku, “Marilah kita buat temu janji untuk berjumpa di rumah Tuhan yang benar. Kita akan masuk ke dalam rumah itu lalu menutup pintu-pintunya kerana ada orang yang akan datang untuk membunuh kamu. Mereka akan datang pada waktu malam untuk membunuh kamu.” 11  Aku pun menjawabnya, “Haruskah seseorang seperti aku melarikan diri? Bolehkah seseorang seperti aku masuk ke dalam Rumah Tuhan dan terus hidup?+ Aku tidak akan pergi!” 12  Tetapi kemudiannya aku sedar bahawa Semaya tidak diutus oleh Tuhan. Sebenarnya Tobia dan Sanbalat+ telah mengupah dia untuk menyampaikan nubuat palsu itu kepadaku. 13  Mereka juga mengupah dia untuk menakut-nakutkan aku dan membuat aku berdosa. Dengan demikian, mereka akan mendapat peluang untuk memburukkan namaku dan memalukan aku. 14  Maka aku berdoa, “Ya Tuhanku, ingatlah akan Tobia+ dan Sanbalat serta apa yang telah dilakukan oleh mereka. Ingatlah juga akan Noadia, iaitu nabi wanita itu, dan nabi-nabi lain yang sering kali mencuba menakut-nakutkan aku.” 15  Demikianlah tembok itu siap dibina pada hari ke-25 bulan Elul,* iaitu dalam masa 52 hari. 16  Sebaik sahaja musuh-musuh kami mendengar tentang hal ini dan semua bangsa di sekeliling kami menyaksikannya dengan mata mereka sendiri, mereka berasa sangat malu.+ Mereka sedar bahawa kerja pembinaan kami dilakukan dengan pertolongan Tuhan. 17  Pada waktu itu, golongan bangsawan+ di Yehuda mengirim banyak surat kepada Tobia, dan Tobia juga membalas surat-surat mereka. 18  Ramai penduduk Yehuda berpihak kepada Tobia kerana dia ialah menantu Sekania anak Arah.+ Selain itu, anak Tobia, iaitu Yehohanan, telah berkahwin dengan anak perempuan Mesulam+ anak Berekia. 19  Penduduk Yehuda juga selalu memuji Tobia di hadapanku, dan melaporkan kepadanya kata-kataku. Kemudian Tobia akan mengirim surat untuk menakut-nakutkan aku.+

Nota Kaki