Nehemia 8:1-18

  • Hukum Tuhan dibacakan dan dijelaskan kepada rakyat (1-12)

  • Perayaan Pondok Daun disambut (13-18)

8  Semua orang berkumpul di tempat awam di hadapan Pintu Gerbang Air+ dengan satu matlamat. Mereka menyuruh Ezra,+ jurutulis* itu, untuk mengambil kitab yang mengandungi Hukum Musa,+ iaitu hukum yang telah diberikan oleh Yehuwa kepada orang Israel.+  Maka pada hari pertama bulan ketujuh,+ Ezra membawa Hukum itu ke hadapan orang yang berkumpul di situ.+ Mereka terdiri daripada lelaki, wanita, dan semua orang yang dapat mendengar dan memahami Hukum itu.  Ezra berdiri di tempat awam di hadapan Pintu Gerbang Air dan membaca Hukum itu dengan suara yang lantang+ dari subuh sehingga tengah hari. Lelaki, wanita, dan semua orang yang dapat memahami Hukum itu mendengar dengan penuh perhatian+ sepanjang masa Ezra membacanya.  Ezra, jurutulis* itu, berdiri di atas pentas kayu yang dibina khas untuk peristiwa itu. Matitia, Sema, Anaya, Uria, Hilkia, dan Maaseya berdiri di sebelah kanannya, manakala Pedaya, Misael, Malkia,+ Hasum, Has-badana, Zakharia, dan Mesulam berdiri di sebelah kirinya.  Pentas tempat Ezra berdiri lebih tinggi daripada semua orang, sehingga mereka dapat melihat Ezra membuka kitab itu. Sebaik sahaja dia berbuat demikian, mereka semua berdiri.  Kemudian dia memuji Yehuwa, Tuhan yang agung dan benar. Mereka semua pun mengangkat tangan dan berkata, “Amin!* Amin!”+ Kemudian mereka membongkok dan bersujud kepada Yehuwa.  Orang Lewi, iaitu Yeshua, Bani, Syerebia,+ Yamin, Akub, Sabetai, Hodia, Maaseya, Kelita, Azarya, Yozabad,+ Hanan, dan Pelaya, menjelaskan Hukum itu kepada rakyat+ yang sedang berdiri di situ.  Mereka terus membaca Hukum Tuhan yang benar dengan suara yang kuat. Di samping itu, mereka juga menghuraikan dan menjelaskannya dengan teliti supaya rakyat dapat memahami apa yang sedang dibacakan.+  Semua orang itu menangis setelah mereka mendengar Hukum itu dibacakan. Maka Nehemia, iaitu gabenor* pada masa itu, dan Ezra,+ iaitu imam dan jurutulis* itu, serta orang Lewi yang sedang mengajar rakyat berkata kepada mereka semua, “Hari ini hari yang suci untuk Yehuwa, Tuhan kamu.+ Janganlah berkabung atau menangis.” 10  Nehemia berkata kepada mereka, “Pergilah dan makanlah makanan yang terbaik. Minumlah apa yang manis. Kongsilah makanan+ kamu dengan mereka yang tidak mempunyai makanan. Hari ini ialah hari suci untuk Tuan kita, jadi janganlah bersedih kerana sukacita daripada Yehuwa akan menguatkan* kamu.” 11  Orang Lewi menenangkan hati rakyat dengan berkata, “Janganlah menangis! Hari ini ialah hari suci. Janganlah kamu semua bersedih.” 12  Maka segenap rakyat itu pun pergi untuk makan dan minum. Mereka juga berkongsi makanan dengan orang lain. Mereka sangat gembira+ kerana mereka memahami penjelasan yang telah diberikan kepada mereka.+ 13  Pada hari kedua, ketua-ketua puak seluruh rakyat Israel, para imam, dan orang Lewi berkumpul di sekeliling Ezra, jurutulis* itu, supaya mereka dapat lebih memahami apa yang tercatat dalam Hukum itu. 14  Menurut hukum yang diberikan oleh Yehuwa melalui Musa, mereka mendapati bahawa orang Israel perlu tinggal di dalam pondok-pondok* semasa mereka menyambut perayaan pada bulan ketujuh.+ 15  Mereka juga perlu mengumumkan+ perintah berikut di semua kota dan di seluruh Yerusalem: “Pergilah ke kawasan pergunungan, dan bawalah dahan-dahan daripada pokok zaitun, pokok pain, pokok mirtel, pokok palma, dan pokok-pokok lain, lalu dirikanlah pondok menurut apa yang tertulis.” 16  Oleh itu, mereka semua pergi mengambil dahan-dahan dan mendirikan pondok di atas bumbung rumah mereka, di halaman rumah mereka, di halaman rumah Tuhan yang benar,+ di tempat awam dekat Pintu Gerbang Air,+ dan di tempat awam dekat Pintu Gerbang Efraim.+ 17  Demikianlah semua orang* yang telah kembali daripada pembuangan mendirikan pondok-pondok dan tinggal di situ. Mereka berasa sangat gembira kerana mereka tidak pernah menyambut perayaan itu dengan cara sedemikian sejak zaman Yosua+ anak Nun.+ 18  Dari hari pertama perayaan itu sehingga hari terakhir, Hukum Tuhan yang benar dibacakan setiap hari.+ Mereka menyambut perayaan itu selama tujuh hari, dan pada hari kelapan, sebuah perhimpunan suci diadakan sesuai dengan apa yang tercatat dalam Hukum.+

Nota Kaki

Atau “penyalin hukum Tuhan.”
Atau “penyalin hukum Tuhan.”
Atau “Semoga begitu!”
Atau “penyalin hukum Tuhan.”
Lihat nota kaki bagi Ne 7:65.
Atau “akan menjadi kubu.”
Atau “penyalin hukum Tuhan.”
Atau “tempat perlindungan sementara.”
Atau “seluruh sidang.” Lihat Kamus.