Nehemia 9:1-38
9 Pada hari ke-24 bulan ketujuh, orang Israel berkumpul. Mereka berpuasa, memakai kain guni, dan menghamburkan tanah ke atas diri mereka.+
2 Kemudian orang Israel memisahkan diri daripada semua orang yang berbangsa asing.+ Mereka berdiri dan mengakui dosa mereka dan dosa bapa mereka.+
3 Mereka berdiri di tempat masing-masing dan membaca Hukum Yehuwa,+ Tuhan mereka, dengan suara yang kuat selama tiga jam.* Selama tiga jam yang berikutnya mereka mengakui dosa mereka dan bersujud kepada Yehuwa, Tuhan mereka.
4 Yeshua, Bani, Kadmiel, Syebania, Buni, Syerebia,+ Bani, dan Kenani berdiri di atas pentas+ yang disediakan untuk orang Lewi, lalu mereka berseru kepada Yehuwa, Tuhan mereka, dengan suara yang lantang.
5 Kemudian orang Lewi, iaitu Yeshua, Kadmiel, Bani, Hasabneya, Syerebia, Hodia, Syebania, dan Petahia, berkata, “Bangunlah dan pujilah Yehuwa, Tuhan kamu, buat selama-lamanya.+ Ya Tuhan, biarlah mereka memuji nama agung-Mu yang lebih mulia daripada segala berkat dan pujian!
6 “Hanya Engkaulah Yehuwa.+ Engkau telah menjadikan langit, ya, seluruh langit dan angkatan tenteranya.* Engkau telah menciptakan bumi dan laut serta segala isinya. Engkau memelihara semua benda hidup, dan angkatan tentera langit bersujud kepada-Mu.
7 Engkaulah Yehuwa, Tuhan yang benar, yang telah memilih Abram+ dan membawanya keluar dari Ur,+ kota orang Kasdim, lalu mengubah namanya menjadi Abraham.+
8 Engkau mendapati bahawa dia* setia kepada-Mu.+ Maka Engkau membuat perjanjian dengannya. Engkau berjanji untuk memberikan tanah orang Kanaan, orang Het, orang Amori, orang Feris, orang Yebus, dan orang Girgashi kepada dia dan keturunannya.+ Engkau menepati janji-Mu itu kerana Engkau Tuhan yang benar.
9 “Engkau nampak nenek moyang kami menderita di Mesir,+ dan Engkau mendengar seruan mereka di Laut Merah.
10 Kemudian Engkau memberikan tanda dan melakukan mukjizat untuk menghukum Firaun,* semua pegawainya, dan semua rakyat di negerinya,+ kerana mereka telah menindas* umat-Mu.+ Dengan demikian, Engkau telah membuat nama-Mu masyhur sehingga hari ini.+
11 Engkau membelah air laut di hadapan umat-Mu supaya mereka dapat berjalan melintasi dasar laut yang kering.+ Engkau melemparkan musuh yang mengejar mereka ke dalam laut yang dalam, seperti menghumban batu ke dalam laut yang bergelora.+
12 Pada siang hari, Engkau memimpin mereka dengan tiang awan. Pada malam hari, Engkau menerangi jalan yang harus ditempuh oleh mereka dengan tiang api.+
13 Engkau turun ke Gunung Sinai+ dan berfirman kepada mereka dari syurga.+ Engkau memberi mereka peraturan yang adil, hukum yang dapat dipercayai,* dan perintah serta arahan yang baik.+
14 Engkau mengajar mereka untuk merayakan hari Sabat yang suci,+ dan melalui hamba-Mu Musa, Engkau memberi mereka hukum, peraturan, dan perintah.
15 Engkau memberi mereka roti dari syurga apabila mereka lapar,+ dan mengeluarkan air dari bukit batu apabila mereka dahaga.+ Engkau menyuruh mereka untuk pergi dan menakluki tanah itu kerana Engkau telah bersumpah untuk memberikan tanah itu kepada mereka.
16 “Tetapi mereka, iaitu nenek moyang kami, bertindak dengan angkuh.+ Mereka keras kepala+ dan enggan mematuhi hukum-hukum-Mu.
17 Mereka langsung tidak mahu mendengar.+ Meskipun Engkau telah melakukan banyak perbuatan yang menakjubkan di hadapan mereka, mereka masih melupakan semua perbuatan-Mu itu. Mereka menjadi degil dan telah melantik seorang ketua untuk membawa mereka kembali ke Mesir dan menjadi hamba semula.+ Tetapi Engkau Tuhan yang sedia mengampuni, penuh rahmat, berbelas kasihan, tidak cepat marah, melimpah dengan kasih yang setia,+ dan Engkau tidak meninggalkan mereka.+
18 Biarpun mereka membuat sebuah patung anak lembu untuk diri mereka dan berkata, ‘Inilah Tuhan kita yang membawa kita keluar dari Mesir,’+ dan melakukan perbuatan-perbuatan teruk yang menghina Engkau,
19 Engkau masih menunjukkan belas kasihan dan tidak meninggalkan mereka di padang belantara.+ Tiang awan-Mu tidak meninggalkan mereka dan terus memimpin perjalanan mereka pada siang hari, dan tiang api-Mu juga terus menerangi jalan yang harus ditempuh oleh mereka pada malam hari.+
20 Selain itu, Engkau mengurniakan kuasa suci-Mu* kepada mereka supaya mereka mendapat pemahaman.+ Engkau terus memberi mereka manna,+ dan memberi mereka air apabila mereka haus.+
21 Selama 40 tahun, Engkau memberi mereka makanan di padang belantara.+ Mereka tidak kekurangan apa-apa pun. Pakaian mereka tidak koyak,+ dan kaki mereka tidak bengkak.
22 “Engkau membahagikan tanah milik kerajaan dan bangsa-bangsa, lalu memberikannya kepada mereka satu demi satu.+ Dengan demikian, mereka menakluki tanah Sihon,+ iaitu tanah raja Hesybon,+ dan tanah Raja Og+ dari Basan.
23 Engkau memberi mereka keturunan yang banyak seperti bintang di langit.+ Kemudian Engkau membawa mereka ke tanah yang telah Engkau janjikan kepada nenek moyang mereka, dan membiarkan mereka menduduki tanah itu dan menaklukinya.+
24 Oleh itu, keturunan mereka masuk ke negeri itu dan menaklukinya.+ Engkau mengalahkan orang Kanaan,+ iaitu penduduk negeri itu, di hadapan umat-Mu, lalu Engkau menyerahkan mereka ke dalam tangan umat-Mu, dan membenarkan umat-Mu memperlakukan raja dan penduduk negeri itu dengan sesuka hati.
25 Umat-Mu menawan kota-kota berkubu+ dan menduduki tanah yang subur.+ Mereka juga mendapat rumah yang penuh dengan pelbagai jenis barang yang baik, perigi yang sudah digali, kebun anggur, kebun zaitun,+ dan banyak sekali pokok buah-buahan. Mereka makan sepuas hati sehingga menjadi gemuk, dan mereka menikmati segala pemberian-Mu yang baik.
26 “Namun mereka tidak patuh, malah memberontak terhadap-Mu+ dan mengabaikan* Hukum-Mu. Engkau telah mengutus nabi-nabi untuk memberi mereka amaran dan menyuruh mereka kembali kepada-Mu, tetapi mereka membunuh semua nabi itu. Mereka juga telah melakukan perbuatan-perbuatan teruk yang menghina Engkau.+
27 Oleh itu, Engkau menyerahkan mereka ke dalam tangan musuh+ dan membiarkan mereka terus ditindas.+ Apabila mereka ditindas, mereka berseru kepada-Mu, dan Engkau mendengar seruan mereka dari syurga. Kerana Engkau sangat berbelas kasihan, Engkau mengutus para penyelamat untuk membebaskan mereka daripada tangan musuh-musuh mereka.+
28 “Tetapi sebaik sahaja mereka hidup aman, mereka melakukan perbuatan yang jahat di depan mata-Mu lagi.+ Maka Engkau menyerahkan mereka ke dalam tangan musuh dan membiarkan mereka ditakluki.*+ Kemudian mereka akan kembali kepada-Mu dan meminta tolong,+ dan Engkau akan mendengar dari syurga. Engkau menyelamatkan mereka berulang kali kerana Engkau sangat berbelas kasihan.+
29 Meskipun Engkau memberikan amaran kepada mereka dan menyuruh mereka mematuhi Hukum-Mu, mereka tetap bertindak dengan angkuh dan enggan mendengar perintah-perintah-Mu.+ Mereka berdosa kerana mereka melanggar peraturan-Mu. Biarpun peraturan-Mu dapat memberikan hidup kepada sesiapa sahaja yang mematuhinya,+ mereka berpaling daripada-Mu,* bersikap keras kepala, dan tidak mahu mendengar.
30 Engkau bersabar terhadap mereka+ selama bertahun-tahun dan terus memberikan amaran kepada mereka melalui nabi-nabi-Mu yang dipimpin oleh kuasa suci-Mu. Tetapi mereka enggan mendengar. Akhirnya Engkau menyerahkan mereka ke dalam tangan bangsa-bangsa lain.+
31 Namun Engkau sangat berbelas kasihan dan tidak melenyapkan mereka.+ Engkau Tuhan yang murah hati dan suka mengampuni,+ maka Engkau tidak meninggalkan mereka.
32 “Ya Tuhan kami, Tuhan yang agung, perkasa, dan menakjubkan.* Engkau telah berpegang pada perjanjian-Mu dan menunjukkan kasih setia+ kepada kami. Ingatlah segala kesusahan yang kami alami. Ingatlah juga segala kesusahan yang dialami oleh raja kami, pemimpin kami,+ imam kami,+ nabi kami,+ nenek moyang kami, dan semua umat-Mu sejak zaman raja-raja Assyria+ sehingga hari ini.
33 Engkau telah bertindak dengan adil dan setia. Semua hal ini menimpa kami kerana kami telah berbuat jahat.+
34 Raja kami, pemimpin kami, imam kami, dan nenek moyang kami tidak mematuhi Hukum-Mu. Mereka tidak mengendahkan perintah-Mu atau amaran yang telah Engkau berikan kepada mereka.
35 Walaupun mereka hidup di bawah pemerintahan raja mereka sendiri dan menikmati segala pemberian-Mu yang berlimpah-limpah, dan walaupun mereka tinggal di negeri yang luas dan subur, yang telah Engkau kurniakan kepada mereka, mereka tidak menyembah-Mu+ dan tidak berhenti melakukan amalan yang jahat.
36 Engkau telah memberikan tanah ini kepada nenek moyang kami supaya mereka dapat menikmati hasilnya dan segala yang baik. Tetapi sekarang kami menjadi hamba,+ ya, hamba di tanah ini, dan
37 hasil yang melimpah-limpah daripada tanah ini dinikmati oleh raja-raja yang telah menguasai kami kerana kami telah berdosa.+ Raja-raja ini berkuasa atas kami dan ternakan kami. Mereka memperlakukan kami dengan sesuka hati sehingga kami hidup sengsara.
38 “Oleh itu, kami membuat satu perjanjian bertulis dan mengesahkannya+ dengan meterai para pemimpin kami, orang Lewi, dan imam-imam.”+
Nota Kaki
^ Harfiah, “satu perempat siang hari.”
^ Ungkapan “angkatan tenteranya” boleh merujuk kepada makhluk roh di syurga.
^ Atau “hatinya.”
^ Gelaran bagi raja Mesir.
^ Atau “telah bertindak dengan angkuh terhadap.”
^ Atau “hukum yang benar.”
^ Atau “membelakangi.”
^ Atau “dihancurkan.”
^ Atau “mereka membelakangi-Mu.”
^ Atau “dan patut ditakuti dan dihormati.”