Pengkhutbah 11:1-10
11 Lemparkanlah* rotimu ke dalam air+ kerana kamu akan menemuinya semula pada kemudian hari.+
2 Bahagikanlah milikmu kepada tujuh atau lapan orang+ kerana kamu tidak tahu bencana apa yang akan berlaku di atas bumi.
3 Apabila awan penuh dengan air, hujan akan turun ke atas bumi. Apabila sebatang pokok tumbang ke arah selatan atau arah utara, di situlah pokok itu akan berada.
4 Orang yang asyik memerhatikan angin tidak akan menabur benih, dan orang yang asyik memerhatikan awan tidak akan menuai apa-apa.+
5 Sebagaimana kamu tidak tahu bagaimana daya hidup* berfungsi di dalam tulang bayi yang ada di dalam rahim ibunya,+ demikian juga kamu tidak akan mengetahui perbuatan Tuhan yang benar, yang telah menciptakan segala-galanya.+
6 Taburkanlah benih pada waktu pagi dan janganlah berehat sehingga waktu petang+ kerana kamu tidak tahu benih mana yang akan bertumbuh, mungkin benih ini atau benih itu, atau mungkin kedua-duanya akan bertumbuh dengan subur.
7 Cahaya dapat menyenangkan hati. Alangkah baiknya mata dapat melihat sinaran matahari!
8 Jika seseorang dapat hidup lama, biarlah dia menikmati hidupnya.+ Tetapi dia patut ingat bahawa hari-hari yang gelap akan datang, dan semua yang bakal berlaku itu sia-sia.+
9 Wahai orang muda, bersukacitalah sementara kamu masih muda. Hendaklah hatimu menikmati zaman mudamu. Ikutilah keinginan hatimu dan pandangan matamu. Tetapi ketahuilah bahawa Tuhan yang benar akan mengadili segala tindakanmu.+
10 Oleh itu, singkirkanlah keresahan daripada hatimu dan hindarilah apa-apa yang merosakkan tubuhmu, kerana usia muda dan masa terbaik dalam hidupmu itu sia-sia.+