Pengkhutbah 12:1-14
12 Ingatlah akan Pencipta Agungmu semasa kamu masih muda,+ sebelum masa sengsara tiba+ dan tahun-tahun itu datang, dan kamu berkata, “Aku tidak menikmati hidupku.”
2 Pada waktu itu, cahaya matahari, bulan, dan bintang tidak lagi terang,+ dan awan-awan berkumpul sesudah* hujan;
3 para penjaga rumah mula terketar-ketar, badan lelaki yang kuat menjadi bongkok, wanita berhenti menggiling kerana bilangan mereka berkurangan, dan perempuan yang melihat ke luar jendela hanya nampak kegelapan;+
4 pintu-pintu di jalan telah ditutup, bunyi kisaran semakin perlahan, orang terjaga sebaik sahaja mendengar burung berkicau, dan nyanyian para wanita menjadi lemah.+
5 Selain itu, orang menjadi takut akan tempat-tempat tinggi, dan risau akan bahaya yang ada di jalan; pokok badam mula berbunga,+ belalang menyeret badannya, dan buah beri* pecah, kerana manusia menuju ke tempat tinggal* kekalnya+ dan orang berkabung di sepanjang jalan.+
6 Ingatlah akan Pencipta Agungmu sebelum rantai perak putus, mangkuk emas pecah, tempayan di mata air hancur, dan takal di perigi rosak.
7 Kemudian debu akan kembali ke tanah+ seperti pada mulanya. Nafas hidup akan kembali kepada Tuhan yang benar, yang telah memberikannya kepada manusia.+
8 “Semuanya sia-sia belaka!” kata Sang Penghimpun.+ “Semuanya sia-sia.”+
9 Penghimpun itu bukan sekadar menjadi bijaksana, dia juga mengajar rakyat apa yang diketahuinya.+ Dia berfikir secara mendalam dan mencari dengan bersungguh-sungguh agar dia dapat mengumpulkan banyak peribahasa.+
10 Dia berusaha mencari kata-kata indah+ dan mencatatkan ungkapan yang tepat dan benar.
11 Kata-kata orang bijaksana seperti tongkat yang digunakan untuk menggiring binatang,+ dan himpunan kata-kata mereka seperti paku yang terpasak dengan kukuh. Semua itu diberikan oleh seorang gembala.
12 Wahai anakku, kamu perlu ingat tentang satu hal lagi: Penulisan buku tidak ada akhirnya, dan orang yang asyik belajar hanya akan memenatkan diri sendiri.+
13 Aku telah mendengar semuanya dan inilah kesimpulannya: Takutlah kepada* Tuhan yang benar,+ dan patuhilah perintah-Nya+ kerana inilah kewajipan setiap orang.+
14 Hal ini demikian kerana Tuhan yang benar menghakimi setiap perbuatan, termasuk apa yang dilakukan secara tersembunyi, untuk menentukan sama ada perbuatan itu baik atau jahat.+