Pengkhutbah 2:1-26

  • Salomo menilai segala usahanya (1-11)

  • Nilai kebijaksanaan manusia (12-16)

  • Sia-sia sahaja bekerja keras (17-23)

  • Makan, minum, dan nikmati hasil kerja (24-26)

2  Kemudian aku berkata dalam hatiku, “Aku akan mengejar nikmat hidup dan melihat sama ada aku akan bahagia atau tidak.” Tetapi sesungguhnya semua itu juga sia-sia.  2  Aku berkata, “Gelak ketawa itu suatu kebodohan!” Aku juga berkata, “Apa gunanya mengejar nikmat hidup?” 3  Aku membuat keputusan untuk minum banyak wain+ dan melihat sama ada aku akan bahagia atau tidak. Meskipun begitu, aku masih dibimbing kebijaksanaan sepanjang waktu itu. Aku bahkan menyerahkan diriku kepada kebodohan untuk mengetahui cara yang terbaik bagi manusia untuk menikmati hidupnya yang singkat di bumi ini. 4  Aku juga melakukan kerja-kerja yang menakjubkan.+ Aku membina rumah-rumah+ dan menanam banyak anggur untuk diriku.+ 5  Aku membuat taman dan kebun untuk diriku lalu menanam pelbagai jenis pokok buah-buahan di situ. 6  Aku membina kolam-kolam air bagi diriku, untuk mengairi pokok-pokok* yang rimbun. 7  Aku mendapatkan hamba-hamba lelaki dan perempuan,+ dan ada juga hamba-hamba yang lahir dalam rumah tanggaku. Aku juga memiliki banyak sekali binatang ternakan, seperti lembu, biri-biri, dan kambing.+ Bilangan ternakanku jauh lebih banyak daripada ternakan sesiapa pun yang pernah tinggal di Yerusalem. 8  Aku mengumpulkan perak dan emas untuk diriku,+ seperti yang dimiliki oleh raja-raja yang menguasai tanah jajahan.+ Selain itu, aku mengumpulkan ramai penyanyi lelaki dan wanita, serta apa yang menyenangkan hati manusia, iaitu wanita-wanita. 9  Demikianlah aku menjadi lebih agung daripada sesiapa pun yang pernah tinggal di Yerusalem.+ Kebijaksanaanku juga sentiasa membimbingku. 10  Aku memuaskan segala keinginanku.+ Aku tidak pernah menahan diriku daripada mengejar nikmat hidup. Hatiku bergembira dengan segala yang telah aku usahakan, dan itulah ganjaran bagi semua kerja kerasku.+ 11  Tetapi sewaktu aku merenungkan segala perbuatanku dan segala pekerjaan yang telah aku usahakan dengan susah payah,+ aku sedar bahawa semuanya sia-sia seperti mengejar angin.+ Tiada apa-apa pun di bawah matahari yang benar-benar bernilai.*+ 12  Kemudian aku menumpukan perhatianku dan berusaha untuk memahami kebijaksanaan, kebebalan, dan kebodohan.+ (Apakah yang dapat dilakukan oleh orang yang datang selepas aku mati? Hanya apa yang sudah dilakukan sebelumnya.) 13  Aku sedar bahawa kebijaksanaan lebih baik daripada kebodohan,+ seperti cahaya lebih baik daripada kegelapan. 14  Orang yang bijak dapat melihat dengan jelas,+ tetapi orang yang bodoh berjalan dalam kegelapan.+ Namun aku sedar bahawa kesudahan mereka semua sama.+ 15  Maka aku berkata dalam hatiku, “Kesudahanku sama dengan kesudahan orang bodoh.”+ Oleh itu, apa gunanya jika aku begitu bijak? Jadi aku berkata dalam hatiku, “Semua ini juga sia-sia.” 16  Baik orang yang bijak mahupun orang yang bodoh, tidak akan diingati.+ Pada kemudian hari, semua orang akan dilupakan. Lagipun bagaimanakah orang yang bijak akan mati? Sama seperti orang yang bodoh.+ 17  Maka aku mula membenci hidup ini+ kerana segala perkara yang berlaku di bawah matahari hanya meresahkan aku. Semuanya itu sia-sia+ seperti mengejar angin.+ 18  Aku membenci semua pekerjaan yang telah aku usahakan di bawah matahari,+ kerana aku harus meninggalkan semua itu untuk orang yang datang selepas aku mati.+ 19  Tidak kira sama ada orang itu bijak atau bodoh,+ akhirnya dia akan mengambil alih semua pekerjaan yang telah aku lakukan di bawah matahari dengan tenagaku dan kebijaksanaanku. Semua itu juga sia-sia. 20  Oleh itu, semasa aku memikirkan semua pekerjaan yang telah aku usahakan di bawah matahari, aku mula patah hati. 21  Seseorang bekerja keras dan mengusahakan sesuatu dengan kebijaksanaan, pengetahuan, dan kemahiran, tetapi kemudiannya dia terpaksa menyerahkan segala hasil jerih payahnya kepada seseorang yang langsung tidak berusaha untuknya.+ Bukankah hal itu sia-sia dan suatu malapetaka yang besar? 22  Manusia membanting tulang di bawah matahari dan berusaha untuk mencapai impiannya, tetapi semua itu untuk apa?+ 23  Seumur hidupnya, pekerjaannya membawa penderitaan dan keresahan,+ bahkan pada waktu malam hatinya tidak tenteram.+ Semua itu juga sia-sia. 24  Perkara terbaik yang dapat dilakukan oleh manusia ialah makan, minum, dan menikmati hasil kerja kerasnya.+ Aku sedar bahawa hal ini pemberian daripada Tuhan yang benar.+ 25  Lagipun siapa yang menikmati makanan dan minuman yang lebih baik daripada aku?+ 26  Tuhan mengurniakan kebijaksanaan, pengetahuan, dan sukacita kepada orang yang menyenangkan hati-Nya.+ Tetapi orang yang berdosa disuruh-Nya untuk bekerja dan mengumpulkan hasil, lalu menyerahkannya kepada orang yang menyenangkan hati Tuhan yang benar.+ Semua itu juga sia-sia seperti mengejar angin.

Nota Kaki

Atau “hutan.”
Atau “berfaedah.”