Pengkhutbah 4:1-16

  • Penindasan lebih teruk daripada maut (1-3)

  • Pandangan seimbang tentang kerja (4-6)

  • Nilai seorang sahabat (7-12)

    • Berdua lebih baik daripada seorang diri (9)

  • Hidup seorang raja mungkin sia-sia (13-16)

4  Kemudian aku menumpukan perhatianku kepada segala penindasan yang berlaku di bawah matahari. Aku nampak orang yang ditindas menangis, tetapi tiada seorang pun yang melegakan hati mereka.+ Oleh sebab orang yang menindas mereka berkuasa, tiada seorang pun yang melegakan hati mereka. 2  Orang yang sudah mati lebih bahagia daripada orang yang masih hidup.+ 3  Tetapi yang lebih bahagia lagi ialah orang yang belum dilahirkan+ kerana dia belum nampak perkara-perkara buruk yang berlaku di bawah matahari.+ 4  Aku telah nampak orang bekerja keras dan menunjukkan kemahirannya kerana dia bersaing dengan orang lain.+ Semua ini juga sia-sia seperti mengejar angin. 5  Orang yang bodoh berpeluk tubuh dan membiarkan badannya menjadi semakin lemah.+ 6  Segenggam rehat lebih baik daripada dua genggam kerja keras dan usaha mengejar angin.+ 7  Aku menumpukan perhatianku kepada satu lagi perkara sia-sia yang berlaku di bawah matahari: 8  Ada seorang lelaki yang bersendirian. Dia tidak mempunyai teman, anak lelaki, atau saudara lelaki. Dia asyik bekerja keras, dan matanya tidak pernah puas dengan kekayaan.+ Tetapi pernahkah dia bertanya kepada dirinya, “Aku memerah keringat dan menolak segala kesenangan untuk siapa”?+ Sesungguhnya pekerjaannya itu sia-sia dan langsung tidak berfaedah.+ 9  Berdua lebih baik daripada seorang diri+ kerana mereka dapat bekerjasama dan menikmati hasil baiknya. 10  Jika salah seorang jatuh, yang seorang lagi dapat membantunya. Tetapi jika orang itu bersendirian, lalu jatuh, siapakah yang akan membantunya? 11  Tambahan lagi, jika dua orang berbaring bersama, mereka dapat saling memanaskan badan. Tetapi jika orang itu bersendirian, bagaimana pula dia dapat memanaskan badannya? 12  Orang yang bersendirian mudah dikalahkan, tetapi dua orang dapat menentang serangan musuh. Tiga utas tali yang dipintal menjadi satu, susah diputuskan. 13  Anak muda yang miskin tetapi bijak lebih baik daripada raja tua yang bodoh+ dan yang tidak mahu mendengarkan amaran.+ 14  Dia* keluar dari penjara dan menjadi raja,+ meskipun dia dilahirkan miskin dalam kerajaan itu.+ 15  Aku berfikir tentang semua orang yang hidup di bawah matahari dan tentang anak muda yang telah bangkit untuk menggantikan raja. 16  Meskipun banyak orang menyokongnya, mereka yang datang pada kemudian hari tidak akan menyukainya.+ Semua ini juga sia-sia seperti mengejar angin.

Nota Kaki

Mungkin merujuk kepada anak muda yang bijak itu.