Pengkhutbah 7:1-29

  • Nama yang baik dan hari kematian (1-4)

  • Teguran orang yang bijaksana (5-7)

  • Kesudahan lebih baik daripada permulaan (8-10)

  • Kelebihan kebijaksanaan (11, 12)

  • Masa senang dan masa susah (13-15)

  • Hindari sikap keterlaluan (16-22)

  • Pemerhatian Sang Penghimpun (23-29)

7  Nama* yang baik lebih baik daripada minyak yang bermutu tinggi.+ Hari kematian lebih baik daripada hari kelahiran. 2  Lebih baik pergi ke rumah orang yang berkabung daripada pergi ke rumah orang yang berpesta+ kerana akhirnya semua orang akan mati. Mereka yang masih hidup perlu ingat akan hal ini. 3  Kesedihan lebih baik daripada gelak ketawa+ kerana wajah yang sedih adalah baik untuk hati.+ 4  Hati orang yang bijaksana berada di rumah orang yang berkabung, tetapi hati orang yang bodoh berada di rumah orang yang berpesta.*+ 5  Lebih baik mendengar teguran orang yang bijaksana+ daripada mendengar nyanyian orang yang bodoh. 6  Gelak ketawa orang bodoh seperti bunyi duri yang dibakar di bawah periuk.+ Semua ini juga sia-sia. 7  Orang bijaksana akan bertindak seperti orang gila jika dia ditindas, dan rasuah dapat merosakkan hati seseorang.+ 8  Kesudahan sesuatu perkara lebih baik daripada permulaannya. Kesabaran lebih baik daripada keangkuhan.+ 9  Jangan cepat tersinggung+ kerana hanya orang bodoh yang cepat tersinggung.*+ 10  Janganlah bertanya, “Mengapakah keadaan dahulu lebih baik daripada sekarang?” kerana orang yang menanyakan soalan itu tidak mempunyai kebijaksanaan.+ 11  Alangkah baiknya jika seseorang yang bijaksana memiliki harta warisan kerana kebijaksanaan dapat membantu orang yang hidup.* 12  Kebijaksanaan dapat melindungi seseorang,+ sebagaimana duit dapat melindungi seseorang,+ tetapi inilah kelebihan pengetahuan: Kebijaksanaan memelihara hidup orang yang memilikinya.+ 13  Renungkanlah perbuatan Tuhan yang benar. Bolehkah sesiapa meluruskan apa yang telah dibengkokkan oleh Tuhan?+ 14  Apabila kamu hidup senang, tunjukkanlah kebaikan.+ Tetapi apabila kamu hidup susah, ingatlah bahawa Tuhan telah mengizinkan kesenangan dan kesusahan+ supaya manusia tidak dapat mengetahui apa yang akan berlaku pada masa hadapan.+ 15  Sepanjang hidupku yang sia-sia ini,+ aku telah nampak segala-galanya. Aku nampak orang baik pendek umur walaupun mereka baik,+ dan orang jahat panjang umur walaupun mereka jahat.+ 16  Janganlah terlampau baik+ atau terlampau bijaksana.+ Mengapa kamu mencelakakan diri sendiri?+ 17  Janganlah terlampau jahat atau terlampau bodoh.+ Mengapa kamu mahu mati sebelum waktunya?+ 18  Adalah baik jika kamu berpegang pada nasihat yang pertama dan tidak mengabaikan nasihat yang kedua+ kerana orang yang takut kepada Tuhan akan mematuhi kedua-duanya. 19  Kebijaksanaan menjadikan seseorang yang bijaksana lebih berkuasa daripada 10 orang yang kuat di sebuah kota.+ 20  Tiada orang baik di bumi yang selalu berbuat baik dan tidak pernah berdosa.+ 21  Selain itu, janganlah ambil hati terhadap setiap kata yang diucapkan orang.+ Jika kamu berbuat demikian, kamu mungkin mendengar hambamu mengutukmu. 22  Kamu sendiri sedar bahawa kamu pun kerap kali mengutuk orang lain.+ 23  Aku telah memeriksa semua ini dengan bijaksana dan berkata, “Aku akan menjadi bijaksana!” Tetapi aku tidak dapat mencapainya. 24  Apa yang telah berlaku terlalu dalam dan jauh. Siapakah yang dapat memahaminya?+ 25  Aku bertekad dalam hatiku untuk mencari, memeriksa, dan memahami kebijaksanaan dan maksud di sebalik segala kejadian. Aku juga bertekad untuk memahami bahawa kejahatan itu kebodohan dan kegilaan itu kebebalan.+ 26  Aku mendapati hal ini: Yang lebih pahit daripada maut ialah seorang wanita yang seperti jala pemburu. Hatinya seperti pukat dan tangannya seperti rantai penjara. Orang yang menyenangkan hati Tuhan yang benar dapat melepaskan diri daripada wanita ini,+ tetapi orang yang berdosa akan ditangkapnya.+ 27  “Lihatlah! Inilah apa yang telah aku temui,” kata Sang Penghimpun.+ “Aku memeriksa semuanya satu demi satu untuk mencapai kesimpulanku. 28  Tetapi aku tidak dapat menemui apa yang aku cari. Aku menemui seorang lelaki yang baik antara seribu orang, tetapi aku tidak menemui seorang wanita yang baik antara mereka. 29  Hanya inilah yang telah aku temui: Tuhan yang benar telah menciptakan manusia yang jujur,+ tetapi mereka memilih untuk mengikut haluan sendiri.”+

Nota Kaki

Atau “Reputasi.”
Atau “bersuka ria.”
Atau mungkin, “kerana itulah tanda orang yang bodoh.”
Harfiah, “yang melihat matahari.”