Pengkhutbah 8:1-17
8 Siapakah seperti orang bijaksana? Siapakah yang dapat menyelesaikan masalah?* Kebijaksanaan seseorang membuat wajahnya berseri-seri dan melembutkan wajahnya yang tegas.
2 Aku berkata, “Patuhilah perintah raja+ kerana kamu telah bersumpah kepada Tuhan.+
3 Janganlah terburu-buru meninggalkan raja.+ Janganlah terlibat dalam perkara yang jahat.+ Raja dapat bertindak sesuka hatinya
4 kerana tiada sesiapa yang dapat mencabar perintah raja+ dan berkata, ‘Apakah yang tuanku sedang lakukan?’”
5 Orang yang mematuhi perintah tidak akan ditimpa masalah.+ Orang yang bijaksana tahu masa yang sesuai dan tindakan yang harus diambil.+
6 Manusia menghadapi banyak masalah, dan terdapat masa yang sesuai dan tindakan yang harus diambil untuk setiap perkara.+
7 Memandangkan tiada sesiapa pun yang tahu hal yang bakal berlaku, siapakah yang dapat menjelaskan bagaimana hal itu akan berlaku?
8 Sebagaimana tiada orang yang dapat menguasai atau mengawal nafas hidup, demikian juga tiada orang yang dapat menguasai hari kematian.+ Sebagaimana seorang askar tidak diizinkan untuk pulang semasa perang, demikian juga kejahatan tidak mengizinkan orang yang mengamalkannya untuk melepaskan diri.*
9 Aku telah melihat semua ini, dan hatiku merenungkan semua pekerjaan yang dilakukan di bawah matahari. Sepanjang masa itu, manusia menguasai manusia sehingga mereka menderita.+
10 Dahulunya orang jahat keluar masuk dari tempat suci, tetapi sekarang aku nampak mereka dikebumikan. Tidak lama lagi, mereka akan dilupakan di kota tempat mereka melakukan kejahatan.+ Semua ini juga sia-sia.
11 Manusia semakin berani melakukan kejahatan+ kerana orang yang berbuat jahat tidak segera dihukum.+
12 Walaupun orang yang berdosa melakukan 100 kesalahan, mereka masih dapat hidup lama. Tetapi aku sedar bahawa orang yang takut kepada Tuhan yang benar akan beroleh kebahagiaan kerana mereka takut kepada-Nya.+
13 Sebaliknya orang yang jahat tidak akan beroleh kebahagiaan+ dan tidak dapat memanjangkan umur mereka. Jangka hidup mereka seperti bayang-bayang+ kerana mereka tidak takut kepada Tuhan.
14 Ada suatu perkara sia-sia yang berlaku di bumi, iaitu orang baik diperlakukan seperti orang jahat,+ dan orang jahat diperlakukan seperti orang baik.+ Ya, hal ini memang sia-sia.
15 Oleh itu, aku menyimpulkan bahawa orang harus bergembira,+ kerana perkara terbaik yang dapat dilakukan di bawah matahari ialah makan, minum, dan bersukacita, serta menikmati hasil kerja keras mereka sepanjang hidup.+ Hal ini ialah pemberian daripada Tuhan yang benar kepada orang yang hidup di bawah matahari.
16 Aku bertekad untuk memperoleh kebijaksanaan dan melihat segala yang telah dilakukan di bumi ini,+ sehingga aku berjaga siang dan malam.*
17 Kemudian aku merenungkan segala perbuatan Tuhan yang benar, dan aku sedar bahawa manusia tidak dapat memahami apa yang berlaku di bawah matahari.+ Mereka telah berusaha dengan sedaya upaya, tetapi mereka masih tidak dapat memahaminya. Meskipun mereka mendakwa bahawa mereka cukup bijaksana untuk memahaminya, mereka sebenarnya masih tidak dapat memahaminya.+