Pengkhutbah 9:1-18
9 Maka setelah merenungkan semua ini, aku menyimpulkan bahawa orang yang baik dan bijaksana, dan segala perbuatan mereka, ada dalam tangan Tuhan yang benar.+ Manusia tidak mengetahui kasih dan kebencian yang wujud pada masa lampau.
2 Semua orang mempunyai kesudahan yang sama,+ tidak kira mereka baik atau jahat,+ suci atau tidak suci, mempersembahkan korban atau tidak mempersembahkan korban. Orang yang baik sama dengan orang yang berdosa; orang yang bersumpah sama dengan orang yang takut untuk bersumpah.
3 Hal buruk ini juga berlaku di bawah matahari: Memandangkan semua manusia mempunyai kesudahan yang sama,+ mereka asyik memikirkan hal-hal yang jahat dan bertindak bodoh sehingga akhirnya mereka mati!
4 Sesiapa yang masih hidup mempunyai harapan kerana anjing yang hidup lebih baik daripada singa yang mati.+
5 Orang yang hidup tahu* bahawa mereka akan mati,+ tetapi orang mati tidak tahu apa-apa pun.+ Mereka juga tidak mendapat apa-apa ganjaran* kerana semua kenangan tentang mereka sudah dilupakan.+
6 Kasih, kebencian, dan kecemburuan mereka, semuanya turut lenyap. Mereka tidak lagi mengambil bahagian dalam segala sesuatu yang terjadi di bawah matahari.+
7 Pergilah, makanlah dengan gembira, dan minumlah wain dengan hati yang sukacita+ kerana Tuhan yang benar sudah berkenan dengan pekerjaanmu.+
8 Semoga pakaianmu sentiasa putih,* dan hendaklah kamu selalu menyapukan minyak pada kepalamu.+
9 Nikmatilah hidupmu dengan isterimu yang tersayang,+ sepanjang hidupmu yang sia-sia, yang diberikan oleh Tuhan kepadamu di bawah matahari. Nikmatilah setiap saat hidupmu yang sia-sia kerana inilah ganjaran untuk hidupmu dan untuk segala jerih payahmu di bawah matahari.+
10 Lakukanlah apa sahaja dengan sepenuh hati kerana di Kuburan,* iaitu tempat yang akan kamu pergi, tidak ada pekerjaan, rancangan, pengetahuan, atau kebijaksanaan.+
11 Selain itu, aku nampak hal ini terjadi di bawah matahari, iaitu orang yang cepat tidak semestinya menjadi juara, orang yang kuat tidak semestinya menang dalam pertempuran,+ orang yang bijaksana tidak semestinya mendapat makanan, orang yang pandai tidak semestinya kaya,+ dan orang yang berpengetahuan tidak semestinya berjaya,+ kerana waktu dan kejadian yang tidak terduga menimpa semua orang.
12 Manusia tidak mengetahui saatnya.+ Sebagaimana ikan tertangkap di dalam jala dan sebagaimana burung tertangkap di dalam jerat, demikian juga manusia terperangkap apabila bencana tiba-tiba melanda.
13 Aku nampak satu contoh kebijaksanaan yang luar biasa di bawah matahari:
14 Ada sebuah kota kecil yang tidak ramai penduduknya. Seorang raja yang kuat menyerang kota itu dan mengepungnya lalu membina benteng besar di sekeliling kota itu.
15 Di dalam kota itu, ada seorang lelaki yang miskin tetapi bijaksana. Dia telah menyelamatkan kota itu dengan kebijaksanaannya. Tetapi tidak seorang pun yang ingat akan lelaki miskin itu.+
16 Maka aku berkata kepada diriku, “Kebijaksanaan lebih baik daripada kekuatan.+ Namun kebijaksanaan seorang lelaki yang miskin dipandang hina, dan kata-katanya tidak diendahkan.”+
17 Lebih baik mendengar kata-kata orang bijaksana yang diucapkan dengan tenang daripada mendengar teriakan raja yang memerintah orang yang bodoh.
18 Kebijaksanaan lebih baik daripada senjata-senjata perang, tetapi seorang pendosa dapat merosakkan banyak hal yang baik.+